Dekati kesempurnaan


Model yang dibangunkan oleh Mercedes-Benz sejak tahun 2006 ini terus cuba untuk meraih sokongan mereka yang sudah sebati dengan kemewahan jenama Mercedes.


R280L pasti sesuai bagi mereka yang inginkan sebuah jentera terbaik.



MULA menerjah ke pasaran kenderaan tujuh tempat duduk mewah di Malaysia pada tahun lalu, pengenalan R-Class di pasaran tempatan diwakili oleh model R350L.Bagi pengguna yang lebih mengenali siri model C, E dan S Class, kehadiran model R-Class sememangnya memberi satu lagi pilihan bagi mereka yang tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan ratusan ribu ringgit untuk sebuah kenderaan.

Sebagaimana yang diketahui, R-Class adalah kenderaan crossover MPV/SUV bersaiz penuh yang dihasilkan oleh Daimler AG di bawah jenama Mercedes-Benz dan mahu dikenali sebagai model Grand Sports Tourer.

Bertindak selaku model paling besar dalam rangkaian produk keluaran Mercedes, ia memulakan debut pada tahun 2001 di Detroit Auto Show sebagai model konsep Vision GST (Grand Sports Tourer).

Sementara hasil produksi pertamanya dipamerkan kepada khalayak pada New York International Auto Show empat tahun kemudian.

Membuka tahun 2008 dengan model daripada segmen sama tetapi menerusi sesaran enjin lebih kecil, Mercedes-Benz Malaysia tetap optimis R280L bakal menerima maklum balas positif.

Model Grand Sports Tourer ini disifatkan sebagai sebuah jentera yang menggabungkan kekuatan beberapa segmen kenderaan. Menawarkan keselesaan untuk perjalanan jauh, pemanduan dinamik, prestasi enjin tidak mengecewakan, ruang kabin luas, reka bentuk mengagumkan dan menjadi bukti kepada kemajuan Mercedes dalam aspek keselamatan kenderaan, membuatkan model R280L ini kedengaran seperti sebuah jentera yang sempurna.

Penampilan R280L nyata nampak lebih bergaya menerusi rekaan gaya AMG Sports Tourer yang boleh dilihat pada bumper hadapan baru yang lengkap dengan sepasang lampu kabus, selain bumper belakang serta rim aloi 18 inci.

Berbanding model R350L yang digerak menerusi sistem AWD (All Wheel Drive), R280L didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang yang dipadankan dengan varian enjin baru.


JENTERA Mercedes-Benz R280L hadir dalam pasaran automotif dengan dilengkapi pelbagai teknologi baru yang pasti menarik minat peminat label mewah ini.


Di bawah hudnya, terletak unit enjin petrol berkonfigurasi V6 yang menawarkan kuasa memberangsangkan, di sebalik penggunaan bahan api yang sederhana. Enjin bersesaran tiga liter ini berupaya menghasilkan kuasa sehingga 170 kW dengan kuasa tork mencecah 300 Nm pada enjin sekitar 2,500 ke 5,000 rpm.

Kuasa ini membolehkan jentera besar ini memecut dari titik pegun ke kelajuan 100 km/j dalam tempoh hanya 9.6 saat. Mercedes mendakwa, penggunaan bahan api R280L adalah dianggarkan sebanyak 11.1 liter bagi setiap 100 kilometer.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan yang lebih dikenali sebagai 7G-Tronic, lengkap bersama butang Direct Select pada sterengnya.

Mahu memberikan keselesaan maksimum kepada semua penumpangnya, R280L dipasangkan dengan sistem suspensi udara Airmatic yang dilengkapi dengan sistem penyerap Adaptive Damping System (ADS) sebagai salah satu peralatan standard. Lebih menarik lagi, ia boleh dikawal dengan hanya menekan satu butang khas.

Mengekalkan DNA jentera keluaran Jerman, R280L sarat dengan sistem keselamatan terkini ciptaan Mercedes. Pada R280L, anda boleh memperoleh manfaat daripada sistem perlindungan Pre-Safe yang telah berjaya memenangi banyak anugerah dalam dunia automotif.

Pre-Safe bertanggungjawab mengesan situasi pengendalian yang kritikal dengan memberikan isyarat kepada pemandu agar lebih bersedia.

Antara isyarat yang disalurkan ialah mengetatkan tali pinggang keledar pemandu dan penumpang hadapan, mengubahsuai kedudukan tempat duduk dan menutup bumbung suria secara automatik.

Selain beg udara adaptif di bahagian sisi dan hadapan, windowbags juga dipasang sebagai spesifikasi standard dalam model R-Class. Selain itu, ciri Neck-Pro juga dikatakan dapat mengurangkan kesan kecederaan pada bahagian leher sekiranya berlaku kemalangan.


RUANG kargo R280L yang luas.



Varian R280L menawarkan ruang kabin yang bukan sahaja luas, malah cukup mewah berbanding mana-mana pesaingnya. Sebahagian besar ruang ini disalut dengan material berwarna cerah dengan kemasan kayu berwarna gelap pada sebahagian kecil papan pemuka dan konsol tengahnya.

Ia juga lebih luas dan mampu menempatkan tujuh orang penumpang dewasa dengan selesa berbanding hanya enam orang pada model R350L. Buat pertama kalinya, model ini memiliki ciri tempat duduk barisan kedua yang boleh memuatkan tiga orang penumpang.




Ingin memenuhi gaya hidup individu yang aktif bersukan dan aktiviti rekreasi, keluasan ruang kargo R280L mencecah sehingga 2,366 liter apabila keempat-empat tempat duduk dilipat sepenuhnya. Kedudukannya yang rata dan lapang juga memudahkan penumpang untuk mengangkat barang mereka tanpa sebarang masalah.

Keselesaan semua penumpang juga dijamin menerusi ciri sistem pendingin hawa Thermotronic automatik yang membolehkan individu mengawal sendiri suhu di mana mereka duduk.

Mahu mendengar muzik daripada unit MP3 anda sendiri? Jangan bimbang kerana R280L menyediakan sambungan Aux-In untuk anda berhibur. Mencari lokasi yang tidak pernah anda kunjungi juga menjadi semakin mudah dengan sistem GPS yang disediakan, lengkap dengan peta Malaysia terkini.

Timbalan Presiden, Jualan & Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Florian Muller mensasarkan model ini akan dapat dijual sebanyak 100 unit pada tahun ini.

“Walaupun jumlah itu mungkin kedengaran kecil, tetapi ia tetap membuatkan usaha membawa masuk model R280L berbaloi. Apatah lagi ia merupakan sebuah Grand Sports Tourer mewah dengan kapasiti tujuh tempat duduk,” kata Muller yang menegaskan model R350L turut dijual seperti biasa.

Mercedes-Benz R280L ditawarkan pada harga RM458,888 seunit (tanpa insurans). Untuk maklumat lanjut mengenai Mercedes-Benz R-Class, sila layari http://www.mercedes-benz.com.my.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: