Kuasa jentera oren




RC-8 sebenarnya lebih daripada sekadar sebuah superbike. Ia adalah curahan teknologi yang pelbagai, berinovasi dan juga moden dari segenap aspek.

ADA dua perkara yang tentu sahaja merujuk terus kepada pembuat motosikal dari Austria ini. Motosikal jenis offroad dan warna oren.

Selain dikenali sebagai pengeluar yang berinovasi dalam segmen motosikal lasak, KTM juga seakan tidak boleh dipisahkan dengan identiti warna oren mereka. Jika Kawasaki dikenali dengan warna hijau terang, KTM jauh lebih terkenal kerana mereka lahir di benua yang mana tiada industri automotif yang benar-benar mantap seperti Jepun.

Malah, separuh daripada peminat motosikal bukan KTM jika ditanya pasti tidak menyangka bahawa jenama asal ini berasal dari Austria.

Syarikat KTM bermula seawal tahun 1934 oleh seorang jurutera bernama Hans Trunkenpolz. Ia adalah sebuah syarikat kejuruteraan besi yang dikenali dengan nama Kraftfahrzeuge Trunkenpolz Mattighofen yang diringkaskan menjadi KTM.

Hanya pada tahun 1953, KTM mengubah dasar perniagaan mereka kepada pembina motosikal. Dengan hanya 20 orang pekerja, kapasiti yang mampu dihasilkan mereka ialah sekitar tiga unit sehari.


RC8 banyak mendapat sentuhan simetrikal pada reka bentuknya.



Pada tahun 1955, sebahagian saham syarikat ini dibeli oleh Ernst Kronreif yang melihat masa depan KTM sebagai pembuat motor yang serius. Ia dinamakan semula kepada Kronreif & Trunkenpolz Mattighofen, masih mengekalkan akronim KTM.Uniknya, semenjak daripada unit motosikal pertamanya dibina, syarikat ini menghasilkan kesemua bahagian motosikal mereka secara in-house tanpa meminjam mana-mana teknologi dari syarikat lain.

RC8 1190 adalah contoh inovasi ulung pembuat motosikal ini dalam meletakkan mereka sebagai pembuat motosikal superbike yang serius.

Walaupun separuh dari produksi mereka sebelum ini adalah motosikal yang digunakan untuk tujuan offroad, RC8 sebenarnya lebih daripada sekadar sebuah superbike. Ia adalah curahan teknologi yang pelbagai, berinovasi dan juga moden daripada segenap aspek.

Menghasilkan 155 kuasa kuda dan 440 paun tork, ia bukanlah sebuah jentera yang bertaraf handicap yang sering diperkatakan oleh pemerhati industri sebelum kelahirannya.

Di Pameran Motosikal Milan tahun lalu, RC8 1190 mengejutkan banyak pihak dengan keberanian KTM menghasilkan superbike dalam rangkaian offroad mereka.


BAHAGIAN depan RC8 yang kukuh.



Pihak KTM mendakwa mereka mempunyai strategi bijak untuk memperkenalkan model ini kepada umum. Dan sebagai langkah awal, RC8 akan bertanding dalam kejuaraan superstock dunia, sebelum memanjangkan langkahnya ke dalam kejuaraan superbike dunia dalam dekad akan datang.

Ini sudah pasti menggusarkan pencabarnya kerana kelihatannya KTM memang benar-benar serius untuk menghasilkan produksi penuh motosikal ini, selepas tiga tahun mempamerkan menerusi model Super Duke.

Nadi penggerak RC8 ini dihasilkan bersama menerusi model terdahulunya. Unit tingkat taraf ini dijana enjin oleh dua silinder yang dikenali sebagai barisan LC8.

Enjin ini telah digunakan terlebih dahulu dalam barisan model konsep Super Duke 999cc yang telah ditingkatkan kepada 1148cc. Ia dipasangkan dengan susunan enjin moden kontemporari dengan aci sesondol berkembar, empat injap setiap silinder dan disejukkan cecair.

Dengan penghasilan sehingga 155 kuasa kuda pada berat 188 kilogram, fakta tentang kestabilan sudah tentu menjadi tajuk utama.

Kerangka RC8 ini dibina menerusi rangka besi kukuh yang digabungkan dengan aluminium tempa. Suspensinya jenis USD yang diperbuat daripada aloi sementara lengan ayun belakangnya mengekalkan tradisi KTM, berkembar yang direka oleh syarikat subsidiari KTM, WP. Sistem suspensinya juga direka oleh firma yang sama.

Sistem breknya menampilkan brek cakera berkembar dengan pengangkup empat omboh dari Brembo di hadapan. Brek belakangnya pula dengan dua omboh bersama cakera bersaiz 220 mm.


BERASAL dari Australia RC8 berbeza dengan motosikal offroad lain di pasaran.


Selain itu, saiz tayarnya berdasarkan ukuran universal untuk motosikal satu liter dengan 120/70/17 di hadapan dan 190/55/17 di belakang.

Reka bentuk motosikal ini memang benar-benar berbeza dengan mana-mana motosikal dalam kelasnya. Bentuk simetrikal hampir kelihatan pada setiap bahagian.

KTM berjaya menjadikan bahagian belakang RC8 ini setirus mungkin dengan meletakkan peredam bunyi di bahagian bawah enjin.

Reka bentuk tajam dan bersudut dapat dilihat pada bahagian tangki, lampu hadapan, fairing dan juga ‘ekor’ jentera ini.

KTM memang diakui selangkah di hadapan dalam bidang pembuatan motosikal luar litar. Mereka mencipta motosikal berenjin empat lejang offroad pertama yang menggunakan sistem sejukan cecair.

Motosikal offroad mereka juga adalah yang pertama menggunakan brek cakera depan dan belakang dan juga yang pertama dipasangkan dengan klac hidraulik. Dengan itu adalah tidak mustahil untuk melihat model pertama superbike mereka bakal menguasai pasaran tidak lama lagi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: