Seperti berada di London


Pandangan saya terhadap kota metropolitan ini berubah sekelip mata. Bukan saja inovasi sistem eskalatornya yang canggih, malah Hong Kong adalah antara bandar moden dan terbersih di dunia yang pernah saya kunjungi.


DISNEYLAND Hong Kong berjaya menarik ribuan pelancong mengunjungi republik itu.



SEBELUM saya tiba di Hong Kong, apa yang terbayang di fikiran hanyalah sebuah kota metropolitan yang sibuk dan mengalami pencemaran akibat keadaan trafik yang teruk. Agaknya, ia tidak jauh bezanya dengan kota Bangkok yang sesak dan penuh dengan pekikan serta bunyi hon kenderaan.Perasaan resah bercampur keliru semakin dirasai setiap kali saya mengunjungi negara baru yang mungkin memberikan kejutan budaya.

Tetapi, tempat yang akan saya kunjungi ini jelas berbeza. Ia bukan sahaja tidak sesesak dan sesibuk yang saya sangkakan, malah saya rasa bagaikan berada di rumah sendiri.

Memandangkan saya sering melancong, adalah agak pelik apabila saya tidak sedikit pun merasai hilang arah tuju apabila mengunjungi sesebuah negara Asia. Apakah antara perkara pertama yang saya lihat sebaik sahaja menjejakkan kaki di Hong Kong? Ya, bas dua tingkat atau double-decker!

Jika ini merupakan kali pertama anda melawat Hong Kong, mungkin apa yang tergambar dalam fikiran adalah patung-patung bintang kung fu seperti Jackie Chan mahupun kota metropolitan yang penuh dengan pencemaran.


HONG KONG tidak sesesak dan sesibuk yang disangkakan.



Sukar dinafikan, pada kebanyakan masa, pandangan stereotaip orang di sekeliling mungkin memenuhi minda kita. Tetapi, hakikatnya, ia tidak semestinya begitu.

Setelah menghabiskan sejumlah masa meneroka Hong Kong, berani saya katakan, Hong Kong adalah antara bandar paling moden dan bersih di dunia biarpun ia sebuah kota yang kecil dari segi saiz.

Seperti kebanyakan pelancong, salah satu persinggahan pertama saya adalah melawat tempat tertinggi di kepulauan Hong Kong yang biasa dikenali sebagai Victoria Peak. Meskipun anda tidak boleh naik ke puncak Victoria Peak dengan teksi ataupun bas, salah satu kaedah menarik adalah dengan menggunakan trem.

Mungkin anda tidak tahu, sesiapa yang berada di Hong Kong akan terdengar kisah mengenai kereta trem ini atau digelar Peak Tram.

Untuk mendedahkan anda dengan sedikit sejarah, rangkaian kereta trem ini dibina sekitar tahun 1888 oleh Phineas Kyrie dan William Kerfoot Hughes. Pada awalnya, Hughes dan Kyrie mencadangkan usul ini pada tahun 1885, ramai yang menyangkakan mereka gila.

Tetapi, sejarah telah membuktikan cadangan mereka akhirnya bertukar menjadi satu kejayaan besar sekali gus menjadikannya antara destinasi menarik di Hong Kong pada waktu kini.

Mendaki kecerunan bukit yang begitu curam, percayalah, ia sememangnya curam! Semakin hampir anda dengan puncaknya, pemandangan bangunan-bangunan pencakar langit bertukar menjadi sudut pandangan yang menarik.


PANORAMA waktu malam di Hong Kong begitu menakjubkan.


Perjalanan ke puncak mungkin bukan satu pengalaman yang selesa dan sebanyak mana wang yang anda ada, tidak mungkin anda diberikan tempat duduk kelas pertama.

Tetapi, pemandangan malam Hong Kong yang begitu menakjubkan menghilangkan rasa tidak selesa itu.

Kereta trem ini ditarik naik menggunakan kabel besi tebal membuatkan sesetengah orang kelihatan kurang selamat sepanjang perjalanan tersebut.

Bagaimanpun, lega rasanya apabila mengetahui sepanjang tempoh ia beroperasi, belum pernah berlaku sebarang kemalangan.

Panorama indah dan suhu yang lebih sejuk berbanding di pusat bandar memberikan saya ketenangan yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Saya diberitahu, biasanya suhunya adalah lima darjah lebih dingin di puncak dan justeru itu, tidak hairanlah apabila Victoria Peak ini popular selepas penjajahan British di Hong Kong pada pertengahan abad ke-19.

Suatu ketika dahulu, pemilik-pemilik syarikat Britain pernah mendirikan rumah-rumah di puncak ini semata-mata untuk melarikan diri daripada kehangatan musim panas dan cuaca yang lembap.

Kini, sebuah kompleks moden telah dibina yang merangkumi sebuah pusat beli-belah, pusat hiburan, restoran menjadikannya antara tempat paling menarik untuk dikunjungi di Hong Kong. Saya berada di sana sehingga senja menjelma dan menyaksikan sendiri betapa indahnya pemandangan Hong Kong pada waktu malam.

Pada keesokan harinya, saya kembali ke pusat bandar dan kagum dengan kesan peninggalan rejim kolonial Britain. Adakalanya, saya terasa seakan berada di London.


PENGALAMAN gastronomi di Hong Kong tidak mengecewakan.


Kelibat bas-bas double-decker dan Soho memberikan saya kejutan indah. Disebabkan kunjungan saya ke Hong Kong tanpa perancangan rapi, saya terpaksa bergantung pada sebuah buku panduan dan mengambil keputusan untuk melawat Taman Hong Kong.

Ketika bersiar-siar di taman itu, saya menemui rumah hijau terbesar di Asia Tenggara, The Forsgate Conservatory. Apa yang menakjubkan, lebih daripada 2,000 spesies tumbuhan yang jarang ditemui dan kira-kira 800 jenis burung eksotik menetap dalam habitat hutan hujan tropika ini.

Pada bahagian utara taman itu, berdiri sebuah bangunan terkenal di Taman Hong Kong dan terdapat bukti nyata penjajahan British iaitu The Flagstaff House Museum of Tea Ware.

Bangunan tersebut begitu terkenal kerana ia merupakan bangunan kolonial tertua di Hong Kong. Ia dibina pada tahun 1846 untuk pemimpin-pemimpin angkatan kolonial. Saya terkejut melihat bangunan tersebut masih tersergam indah dan tampak baru. Di dalam bangunan tersebut, sebuah muzium seramik yang menempatkan barangan-barangan teh Cina dan aksesori boleh ditemui.

Andainya anda pencinta taman seperti saya, sudah pasti anda tidak ingin ketinggalan melawat Taman Botani dan Zoologikal Hong Kong yang dibuka sejak tahun 1871.


VICTORIA Peak, salah satu lokasi popular Hong Kong yang dikunjungi dengan menaiki trem.


Kawasan berbukit-bukit di sepanjang taman ini adalah satu keadaan tipikal pulau Hong Kong.

Seperkara yang membuatkan saya kagum tentang Hong Kong adalah eskalatornya. Disebabkan keadaan geografi Hong Kong yang berbeza, satu sistem telah dibangunkan untuk membolehkan pejalan kaki bergerak dengan lebih cepat dan efisien.

Di pusat bandar, bangunan-bangunan dihubungkan oleh eskalator-eskalator kaca, membolehkan pengguna bergerak dari satu bangunan ke bangunan lain tanpa perlu melintas jalan. Di kawasan-kawasan berbukit pula, eskalator vertikal pula disediakan.

Eskalator Mid-Levels adalah yang terbesar dan terpanjang di dunia. Ia meliputi 20 eskalator dan tiga tempat pejalan kaki bergerak sejauh 800 meter dan 135 meter tinggi.


HONG KONG adalah antara bandar termoden dan bersih di dunia biarpun ia sebuah kota yang kecil dari segi saiznya.


Ini merupakan satu inovasi yang cukup mengagumkan sekali gus menggugurkan pandangan saya sebelum ini yang merasakan diri seperti berada di kota London timur.

Namun malangnya, kunjungan ke Hong Kong yang agak singkat menyebabkan saya kesal kerana tidak berpeluang menaiki Feri Star yang terkenal. Namun, pengalaman beberapa hari di pulau ini sudah cukup membuahkan hasil.

Jika anda pelancong seperti saya yang inginkan suasana melancong yang tidak banyak kejutan budaya dan seolah berada di rumah, Hong Konglah destinasi untuk anda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: