Sydney tawar pelbagai destinasi menarik


Oleh Afiq Hanif

“BILA nak sampai, dah penat duduk dalam kapal terbang ini… kebas kaki dibuatnya.”


“BILA nak sampai, dah penat duduk dalam kapal terbang ini… kebas kaki dibuatnya.”

Itulah rungutan pertama selepas lebih lapan jam dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) walaupun sebenarnya masa itu bukanlah lama jika mahu dibandingkan dengan penerbangan yang memakan masa sehari suntuk.


Sejuk rasanya badan apabila keluar daripada lapangan terbang antarabangsa Sydney sambil pemandu yang bakal membawa rombongan Nokia dari Malaysia melambai-lambaikan papan tanda menyambut kehadiran kami yang diketuai Pengurus Komunikasi Nokia Malaysia, Hazel Abu Samah.

Turut menyertai rombongan yang mahu melihat perasmian produk baru keluaran syarikat telefon bimbit gergasi itu dua rakan wartawan lain, Siti Syameen dan Zam serta dua ahli blog.

Kami diberitahu, Sydney adalah syurga bagi peminat golf kerana memiliki lebih 50 padang golf awam dengan harga serendah RM60 sekali masuk.

Berada 6,616 kilometer dari Kuala Lumpur pasti ada kelainan kerana suasana di Australia berbeza dengan Singapura, Indonesia atau Thailand.

Kami tiba di Hotel Sheraton On The Park di Jalan Elizabeth ketika matahari tegak di kepala tapi suasananya nyaman dengan udara segar mungkin kerana kota raya Sydney di tepi laut.

Perut dah mula memainkan irama setinggi nada suara ‘Luciano Pavarotti’ tapi terfikir pula di mana pula hendak makan walaupun ada lebih 200 restoran makanan halal di kota metropolitan itu.

Nasib kurang baik kerana tidak bertemu nasi atau sambal belacan tetapi restoran Itali di tepi pelabuhan. Hidangan makanan lautnya lazat dan menyelerakan.

Udang, sotong dan ikan yang bersaiz besar sungguh mengujakan.

Kota Sydney, New South Wales menjadi masyhur dalam peta dunia melalui Opera House di antara lautan dan daratan dengan reka bentuk bangunan unik seakan-akan sebahagian kulit durian serta menjadi tumpuan pelancong sejak sekian lama.

Hotel kami berhadapan dengan taman Hyde Park yang memiliki keluasan hampir sama dengan tiga padang bola sepak.

Terfikir sejenak mengenai taman di Kuala Lumpur. Jika Sydney boleh mewartakan Hyde Park dan pelbagai lagi taman hijau di tengah bandar raya membangun, mungkin kita boleh mengambil langkah serupa di Kuala Lumpur.

Mulanya kami tidak menyangka hotel itu berdekatan Menara Sydney dan memang menarik perhatian dengan pemandangan menakjubkan menara mencakar langit itu.

Apa yang boleh dilakukan jika melancong di Sydney?

Kota metropolitan itu menawarkan pelbagai destinasi menarik yang mesti dilawati, antaranya Sydney Opera House, Sydney Harbour Bridge, Akuarium Sydney, pantai Bondi, Masjid Gallipoli, The Rocks Market, Paddy’s Market, The Australia Reptile Park dan Taman Marks.

Sydney Opera House mempunyai reka bentuk bangunan abad ke-20 yang unik dan terkenal.

Rumah opera itu terletak berdekatan Sydney Harbour Bridge di Darling Harbour, sekali gus menjadikan kedua-duanya sebagai mercu tanda Australia.

Rumah opera itu memiliki daya tarikan dengan reka bentuk bersumberkan cengkerang laut.

Selain objek pelancongan, rumah opera itu menjadi tempat untuk pelbagai pertunjukkan teater muzikal, opera, balet dan lain-lain seni teater. Reka bentuknya berdasarkan kerja arkitek dari Denmark, Jorn Utzon, pada 1957.

Mengunjungi Muzium Maritim memang menarik apatah lagi bersebelahan Akuarium Sydney yang menempatkan lebih 11,000 hidupan laut, termasuk jerung dan anjing laut.

Pada malam harinya, kebanyakan pusat membeli belah tutup mengikut waktu pejabat kerana difahamkan kebanyakan penduduk gemar melepak di pub atau rumah.

Keindahan malam membolehkan suasana romantik tercipta dengan beberapa tempat menawarkan limpahan cahaya lampu menarik dan kami bertuah Nokia membawa menikmati makan malam di kapal mewah mengelilingi Sydney.

Kalau mahu membeli-belah, beberapa tempat sedia menunggu dan kami memilih Harbour Mall yang mempunyai harga berpatutan terutama cenderahati untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

Mengenai pantai, antara yang menarik termasuk Pantai Bondi terletak kira-kira 20 minit perjalanan menaiki bas dengan bayaran hampir RM12.

Pantainya memang bersih ditambah pula angin sejuk ketika kami berada pada waktu petang menyebabkan kadangkala menggigil badan dibuatnya.

Pemandangan dari atas bukit berhampiran pantai membuktikan kuasa Tuhan yang Maha Agung apabila dapat melihat betapa luasnya alam dibina tapi manusia kerap tidak mensyukuri nikmat diperoleh.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: