Bermalam di bibir kawah


Penduduk desa di kaki Gunung Galunggung mengumpamakan gunung ini sebagai ‘Singa Yang Tidur Lelap’. Kenapa?


ANTON (kiri) bersama pendaki Malaysia di tepi kawah Gunung Galunggung di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia.



“KETIKA meletus pada tahun 1982, saya masih kecil. Tapi saya masih dapat mengingati langit yang gelap dan debu-debu halus memenuhi langit Jakarta,” kata penunjuk arah, Anton kepada kami.

Saya bersama enam rakan pendaki Malaysia ketika itu sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van yang meredah jalan yang rosak teruk dan berlubang besar di hampir seluruh permukaan jalan bertar di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.

Turut bersama kami dalam ekspedisi mendaki Gunung Galunggung ini ialah rakan pendaki dari Indonesia, Bismo Ariodewo, 19.

Gunung berketinggian 2,167 meter dari paras laut itu terletak kira-kira 20 kilometer (km) ke barat daya Tasikmalaya.

Dalam sejarahnya, ia pernah meletus beberapa kali dan terakhir pada 5 April 1982. Letusan terakhir dikategorikan sebagai vulcanian vertical iaitu seperti letusan cendawan bom atom dan mencapai ketinggian 20km ke angkasa.

Diikuti semburan piroclastic (debu halus) yang menghujani kota Bandung, Tasikmalaya, Garut, Cianjur dan kota lainnya dalam radius 100km. Debu tebal selama empat bulan terus menutup langit kota-kota itu sekali gus mendatangkan kesengsaraan yang cukup menyedihkan. Sebanyak 68 penduduk dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian ini.


MENURUNI 620 anak tangga dari puncak Galunggung.

Setelah letusan berlaku, kira-kira 100,000 hektar daerah sekitarnya rata dengan tanah diliputi batu, lahar dan debu. Puncak gunungnya juga telah runtuh dan hanyut dibawa lahar ke kawasan sekitarnya.

Pada saat letusan tersebut, sebuah pesawat Boeing 747 British Airways dan Singapore Airlines yang sedang melintasi kawasan berdekatan Galunggung hampir terhempas apabila enjin pesawat berkenaan terhenti akibat dimasuki debu-debu halus yang tersembur keluar dari kawah gunung ini.

Dalam detik cemas itu, enjin berjaya dihidupkan semula tetapi terpaksa mendarat cemas di lapangan terbang antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

Meneliti sejarah letusan gunung ini, dipercayai pusingan letusan berikutnya hanya akan berlaku dalam tempoh 43 tahun dari tahun 1982. Ini bermakna gunung yang digelar penduduk tempatan sebagai ‘Singa Yang Tidur Lelap’ itu dijangka akan terjaga semula pada tahun 2025.

Gunung untuk bersantai

Oleh kerana Gunung Galunggung sedang tidur lelap maka banyak aktiviti menarik dapat dilakukan di sekitarnya termasuk berkhemah di bibir kawahnya yang cantik dan dilatari cerun gunung yang menghijau. Kawahnya kini menjadi tumpuan pelancong yang sama ada datang untuk menikmati panorama pergunungan yang menakjubkan atau meneroka lantai kawah yang memerlukan sedikit kudrat untuk sampai ke sana.

Sebenarnya, ekspedisi ke gunung ini tidak ada dalam jadual pengembaraan kami di bumi Jawa Barat dari tarikh 5 Februari hingga 12 Februari lalu. Semuanya berlaku secara tidak sengaja. Ketika itu, kami sedang berkhemah di Pos 3 (Condong Manis) iaitu salah satu pos daripada 11 pos yang terdapat di sepanjang laluan ke puncak Gunung Ceremai di Linggajati, Kuningan, Jawa Barat.


TIUPAN angin yang terlalu kencang menyebabkan atap kedai di tepi kawah diterbangkan angin.

“Selepas Ceremai, mahu ke mana bu…,” tanya Ishak, seorang pendaki dari Jakarta yang berehat di Pos 3. Ishak bersama rakannya, Rizki ketika itu berehat di Pos 3 sebelum meneruskan pendakian ke puncak.

Ketika itu, hanya saya dan Kak Leha berada di Pos 3 kerana rakan-rakan yang lain sedang bekerja keras untuk sampai ke puncak Ceremai. Kami berdua tidak mahu meneruskan pendakian ke puncak kerana ‘malas’ meredah hujan.

“Mahu ke Tasikmalaya. Tapi kami tak tahu apa yang menariknya di sana,” jawab saya.

“Boleh ke Galunggung. Tasiknya cantik dan ada bumi perkhemahan,” kata Ishak sambil memberitahu, beliau berasal dari sebuah desa yang terletak di kaki Gunung Galunggung.

Mendengar itu, saya terus teruja untuk berkhemah di kawah gunung berapi itu. Justeru, apabila kesemua rakan-rakan selamat kembali ke Pos 3 selepas menggapai puncak Ceremai, saya kemukakan cadangan ini dan diterima oleh kesemua anggota ekspedisi.

Pada tengah hari 8 Februari, kami memulakan perjalanan ke sana dengan menaiki sebuah van yang disewa khas. Kami membayar RM236.00 untuk perjalanan yang memakan masa kira-kira dua jam.

Lewat petang barulah kami sampai di kota Tasikmalaya yang terletak kira-kira 17km dari kaki Gunung Galunggung. Kami sempat membeli-belah di sebuah pasar raya untuk juadah makan malam. Setelah berpuas hati dengan bekalan yang dibawa, kami meneruskan perjalanan yang penuh berliku.

Rupa-rupanya, pemandu van yang disewa tidak tahu di mana letaknya Gunung Galunggung dan setelah puas meredah seluruh pelosok kota dengan menempuh jalan tar yang rosak teruk, akhirnya kami menemui jalan masuk ke kaki gunung. Itupun, selepas bertanya beberapa kali kepada penduduk tempatan.

‘Cabaran’ naik ojek

Perjalanan ini menempuh beberapa buah desa yang begitu indah kerana dikelilingi sawah padi yang menghijau. Sesekali kami berselisih dengan kereta kuda yang membawa penumpang.

Akhirnya, kami sampai di pintu gerbang yang tertulis perkataan mengalu-alukan kedatangan pelancong.

Setelah membayar tiket masuk berharga kira-kira RM1.50 seorang, kami menaiki ojek (motosikal) dengan bayaran kira-kira RM3.50 seorang. Setiap orang menaiki sebuah ojek dan bermulalah cabaran membonceng ojek dengan menempuh jalan tar yang menanjak menuju ke kawasan parkir. Terdapat sederet kedai yang menjual makanan dan minuman ringan serta buah-buahan, masjid dan tandas awam di kawasan parkir ini.

Banyak pula halnya berlaku ketika kami menaiki ojek. Oleh kerana, kami membawa beg galas yang berat dan besar yang disandang di belakang maka apabila ojek menaiki kawasan tinggi, beg yang berat itu menarik kami ke belakang sehinggakan ada kalanya, kami terasa mahu terjatuh.

Bib pula lebih malang apabila ojek yang dinaikinya kehabisan petrol dan tuan punya ojek itu terpaksa meninggalkannya seorang diri di tepi jalan yang ketika itu sudahpun gelap gelita. Jarun jam menunjukkan hampir pukul 6.30 petang dan sayup-sayup terdengar suara azan Maghrib berkumandang dari desa berhampiran.

Saya pula hampir ‘tercicir’ apabila ojek yang dinaiki terlanggar lubang dan terus mati enjinnya. Latif, lain pula halnya apabila dia yang menjinjing dua beg plasik berisi barangan yang dibeli di pasar raya tadi terhidu bau ‘benda’ terbakar.

Selepas diperiksa, rupa-rupanya, beg plastik yang dijinjing terkena ekzos ojek dan melecur terbakar! Beberapa barang tercicir di jalanan termasuk uncang teh.

Mendaki 620 anak tangga

Kami tiba di kawasan tangga dalam cahaya terang bulan. Saya masih dapat melihat betapa tingginya tangga yang perlu didaki. Sebanyak 620 anak tangga perlu ditempuh yang berjarak hampir 200 meter. Saya menjadi insan pertama yang mendaki anak tangga ini tetapi di pertengahan jalan, Latif dan Kak Kay memotong saya. Dalam kegelapan malam dan bertemankan lampu suluh, saya terasa seperti ada ‘sesuatu’ yang mengikut saya. Ketika itu, saya berjalan sendirian. Saya cepat-cepat mengatur langkah dan akhirnya selamat tiba di bibir kawah pada kira-kira pukul 7.15 malam. Ini bermakna saya mengambil masa 20 minit untuk mendaki kesemua anak tangga ini tanpa berhenti rehat.


TUJUH pendaki Malaysia dan seorang pendaki Indonesia, Bismo Ariodewo (empat dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang di tangga menuju ke puncak.

“Untuk sampai ke tapak perkhemahan, kamu perlu berjalan kaki selama 45 minit mengikut arah kanan kawah dan terus turun ke lantai kawah,” kata pemandu ojek yang membawa saya ketika dalam perjalanan tadi.

Memandangkan hari malam dan tiada seorang pun dalam kalangan kami yang pernah sampai di gunung ini maka kami sepakat tidak mahu turun ke lantai kawah. Sebaliknya, kami memasang khemah di bahagian kiri anak tangga terakhir. Di situ, terdapat deretan gerai yang kesemuanya tidak berbumbung. Memang aneh melihatnya dan membuatkan saya tertanya-tanya, kenapa begitu jadinya.

Waktu malam di tepi kawah Galunggung begitu dingin dengan tiupan angin yang teramat kencang.

Advertisements

4 Respons

  1. panjang betul karangan ni susah nak salin balik mengunakan tangan

  2. wat is this stupid

  3. woy maling…
    pergi engko dari tasik!!

  4. bahaya nih malingsia ke galunggung..
    ntar diklaim lageeh!!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: