Mengecap ketenangan hakiki



Suasana hening pada waktu subuh di Brastagi cukup menggetarkan sukma ditambah pula tanaman yang subur dan hamparan padi menghijau menyejukkan mata memandang.


PEMANDANGAN Danau Toba yang memukau pelancong.



TIADA yang lebih indah apabila pesawat AirAsia AK939 meluncur laju memasuki ruang udara Sumatera Utara, Indonesia sekali gus menandakan kami semakin hampir dengan tempat dituju, Medan.

Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa bunga-bunga keriangan memenuhi ruang hati penulis dan rombongan Nestle, Shah Alam. Tidak sabar rasanya untuk menikmati keindahan dan pengalaman di kota terbesar di daerah Sumatera Utara ini.

Rombongan penulis yang dibawa oleh Nusa Leisure Travel Sdn. Bhd. disambut dengan senyuman mesra pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia yang menjadi salah satu gerbang masuk utama ke bahagian utara Indonesia. Sememangnya pengalaman melancong bersama Nusa Leisure Travel tidak sedikit pun membuatkan anda berasa rugi atau bosan kerana tempat yang dijanjikan menarik dan mempunyai keistimewaan tersendiri.


MAKAM Batu Raja Batak yang sangat menarik untuk dilawati.



Tidak hanya mementingkan masa membeli-belah, mereka turut menyajikan tempat-tempat bersejarah dan menarik untuk dilawati oleh kami.

Pakej paling murah yang ditawarkan oleh Nusa Leisure Travel ini bukan sahaja mampu dibayar tetapi juga memberi kepuasan.

Agenda utama percutian selama empat hari tiga malam tentulah menyaksikan keindahan Danau Toba atau dikenali sebagai tasik lautan.

Tasik seluas mata memandang yang terbentuk hasil letusan gunung berapi dan dikelilingi bukit bukau yang menghijau serta perairan yang membiru turut bertambah unik dengan kehadiran kaum Batak sekali gus tradisinya pasti menjanjikan kelainan dalam diari percutian anda.

Lupakan jarak perjalanan yang agak jauh iaitu 200 kilometer gara-gara kesibukan lalu lintas dan struktur geografinya yang berbukit-bukau kerana keindahan panorama sepanjang jalan cukup memukau mata.

Dengan menaiki bas, perjalanan menuju ke tempat idaman pencinta alam semula jadi ini lebih bertumpu kepada pemandangan pola penduduk dari segi taraf hidup, fahaman dan aktiviti seharian.


RUMAH-RUMAH tradisi kaum Batak yang masih gah untuk dilawati.



Kami menempuh beberapa daerah dan pekan sebelum sampai ke destinasi pilihan seperti Lubuk Pakam, Perbaungan, Sei Rampah, Tebing Tinggi, Pematang Siantar dan Tigadolok sebelum sampai ke Parapat. Ia cukup memberi perspektif baru kepada penulis dalam memahami cara hidup rakyat negara yang mempunyai umat Islam paling ramai di dunia.

Walaupun sebentar, persinggahan di pekan Pematang Siantar cukup menarik perhatian penulis kerana ia merupakan bandar kedua terbesar yang terletak kira-kira 128km ke selatan Medan. Sepanjang perjalanan ke sana, kami dijamu dengan panorama kawasan pertanian seperti pokok getah, pokok kelapa sawit, teh dan tembakau.

Menenggelamkan diri sebentar dengan hasil bumi yang menjadi eksport komoditi utama daerah ini, Permatang Siantar, ibu kota daerah Simalungan di Sumatera Utara ini cukup kaya dengan jualan produk makanan kering seperti biskut dan kerepek berasaskan kekacang.

Sesekali mata terarah ke beberapa lokasi persemadian di kawasan tertentu sekali gus membuatkan penulis faham mengenai populasi di tempat ini yang diwarnai dengan pelbagai agama didahului Kristian diikuti Islam, Hindu dan Buddha.

Keunikan kubur-kubur ini adalah kerana ia mudah sahaja dilihat di halaman atau belakang rumah atau kawasan pertanian.


PENGANGKUTAN utama untuk membawa pelancong ke perkampungan Batak.



“Dah sedia nak ambil gambar?” bisik seorang teman ketika bas yang dinaiki melalui satu kawasan. Dengan sedikit terpinga-pinga, ruang cermin bas itu dijengah dan hati mula berbunga apabila tasik yang membiru mula menampakkan dirinya di balik celahan pepohon kayu hutan yang merimbun.

Tidak dapat dinafikan bahawa saya benar-benar teruja apabila destinasi yang sering bermain di benak iaitu Parapat, terbentang jelas di depan mata.

Gah tasik seluas 1,130 kilometer persegi dengan kedalaman 450 meter serta 35km lebar tidak dapat disembunyikan lagi. Ungkapan mudah, penulis sendiri tidak pasti di mana hujung atau pangkalnya tasik ini. Memang benar, ia selaut mata memandang.

Usai mengabadikan diri dengan keindahan ciptaan Tuhan itu, kami bertolak pulang dengan segala kepuasan yang tidak dapat diungkap. Pastinya, hati cukup berat meninggalkan Danau Toba.

Fajar yang menjengah keesokan hari memberi laluan kepada satu lagi pengalaman berharga buat penulis. Kunjungan ke perkampungan kaum Batak yang terkenal dengan legenda tersendiri pasti tidak akan dilupakan.

“Kalau ikutkan hati, nak saja dibawa pulang ukiran kayu ini,” gurau seorang teman yang teruja dengan keindahan ukiran tangan di setiap sudut rumah kaum istimewa ini.

Melawat Desa Tomok dan Ambarita sebagai hentian seterusnya di Pulau Samosir yang merupakan perkampungan kaum Batak yang masih menyimpan pelbagai khazanah peninggalan nenek moyang termasuk adat dan tradisi tersendiri, ia cukup memberikan gambaran bahawa khazanah itu tidak dapat dijual beli.

Ternyata, kegusaran kunjungan singkat ke Danau Toba mengenai penginapan, makan dan minum tidak perlu difikirkan. Ini kerana anda hanya perlu memilih di mana untuk anda melabuhkan tirai malam sama ada di kawasan bukit atau di tepi-tepi perairan tasik.

Yang pasti, kedua-dua pilihan ini menjanjikan pengalaman menarik serta malam yang menyegarkan tanpa gangguan.

Bagi penggemar fotografi, pengabadian keindahan panorama di Bukit Simarjarunjung pasti memberi kepuasan kepada anda kerana sajian bukit bukau dan tanaman di lereng bukit cukup membuatkan lensa anda tidak henti dipetik.

Nasihat penulis bagi yang ingin berkunjung ke sini, jangan lupa menikmati secawan teh halia dan pisang goreng panas. Cukup lazat.

“Macam di Cameron Highlands,” kata seorang ahli rombongan setibanya di Brastagi. Pemandangan enak pada waktu subuh di Brastagi cukup menggetarkan sukma ditambah pula dengan tanaman yang subur dan hamparan padi menghijau. Melihatnya, seolah-olah menunaikan janji kepada ketenangan jiwa yang hakiki.

Destinasi terakhir penulis ialah Medan.

Perjalanan ke Medan hanya mengambil masa lebih kurang sejam membawa penulis ke pasar buah yang menjual pelbagai jenis buah-buahan segar seperti buah salak madu, pisang kaki dan buah cinta. Malah penulis sempat menikmati jagung manis yang dijual peniaga di situ.

Kemudian, penulis dan rombongan dibawa melawat Istana Maimoon. Istana ini merupakan antara warisan budaya nenek moyang yang masih segar dengan seni reka bentuknya tidak ubah seperti seni bentuk tradisional istana-istana Melayu.

Dilihat dari segi reka bentuknya, Istana Maimoon memiliki nilai tinggi dan mendapat tempat tersendiri dalam sejarah kesenian Islam di Indonesia. Melihat ruang dalam istana tersebut, nyata masih terpelihara segala ukiran malah singgahsana sultannya turut tersergam indah untuk dilihat.

Tidak lengkap rasanya jika tidak membeli-belah di pasar terkenal di Medan iaitu pasar ikan! Jangan tertipu kerana pasar ikan yang dimaksudkan ini adalah tempat menjual pakaian dan perhiasan diri.

Pelbagai jenis fabrik boleh didapati di situ malah, jika anda ingin membeli telekung, sejadah, kain batik dan pelekat untuk diberi kepada rakan-rakan atau ahli keluarga, inilah tempatnya.

Tentang harga, usah risau kerana ia pasti berbaloi dan sekiranya anda pandai tawar-menawar maka sudah tentu harga yang diinginkan boleh diterima. Untuk bakal pengantin, di sini juga anda boleh membeli fabrik yang cantik dan sesuai untuk dipakai pada majis raja sehari.

Pastinya, pengalaman penulis bersama rombongan berkunjung ke Medan menjadi satu peristiwa yang sangat berharga.


SEBAHAGIAN peserta rombongan yang tidak melepaskan peluang meneroka keunikan Istana Maimon.



Jika inginkan percutian yang lebih menarik dan berbaloi, Nusa Leisure Travel pasti menjanjikan kepuasan. Selain lawatan ke Medan, Nusa Leisure Travel turut menawarkan pakej ke Thailand, Indonesia dan Beijing dengan harga mampu bayar.

Sekiranya berminat untuk menyertai rombongan seterusnya dengan layanan lima bintang, hubungi Nazeran Jusoh di talian 012-3829202 atau 019-3829202 atau layari http://www.nusatra.com untuk keterangan lanjut.

Advertisements

Satu Respons

  1. no comment at all.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: