Kabus di puncak Ciremai



Ciremai adalah gunung tertinggi di Jawa Barat, Indonesia dan puncaknya terletak di ketinggian 3,078 meter dari paras laut. Ia dianggap gunung kedua paling ‘keras’ di Pulau Jawa.




“BANYAK plastik atau botol-botol bekas air mineral yang berisi air seni bergantungan di pohon kerana adanya larangan kencing secara langsung pada gunung yang dianggap suci ini,” – begitulah tulis Herman O. Lantang yang merupakan tokoh legenda dalam dunia pencinta alam di Indonesia dalam kata-kata pengantar yang dipetik dari buku tulisan Harley Bayu Sastha bertajuk Mountain Climbing For Everybody: Panduan Mendaki Gunung (cetakan 2007). Air seni bermaksud air kencing dan gunung yang dianggap suci ini merujuk kepada Gunung Ciremai.

Ciremai adalah gunung tertinggi di Jawa Barat, Indonesia dan puncaknya terletak di ketinggian 3,078 meter dari paras laut (dpl). Ia dianggap gunung kedua paling ‘keras’ di Pulau Jawa. Gunung paling ‘keras’ adalah Gunung Raung yang terletak di Jawa Timur.

Seperti benar apa yang dikatakan itu. Ini kerana saya melihatnya sendiri ketika mendaki Gunung Ciremai yang juga disebut sebagai Cereme, Careme dan Cerme pada bulan Februari lalu.

Berikut catatan pendakian kami seramai sembilan orang yang terdiri daripada pendaki Malaysia dan Indonesia ke puncak Ciremai pada 6 hingga 8 Februari 2008.

Hari pertama Awal-awal lagi, saya telah dimaklumkan oleh Kak Leha tentang betapa ‘keras’nya gunung ini.

Masih saya teringat kata-katanya: ”Kau nak daki Gunung Ciremai…keras tempat tu. Nak kencing…kena tadah. Tak boleh kena tanah.”

Jika mengikut jadual asal, kami sepatutnya mendaki sehingga ke Pos 11 (Pengasinan) untuk bermalam. Keesokan harinya, barulah kami mendaki ke puncak Ciremai. Namun, segala perancangan itu tidak menjadi kerana kami mengambil masa hampir empat jam untuk sampai ke Pos 3 (Condang Amis).

Biasanya, untuk sampai ke pos itu dari tempat mula mendaki di sebuah vila di kaki gunung, hanya dua jam diperlukan.

Oleh kerana itu dan ditambah pula dengan hujan maka pendakian hari pertama terhenti di pos ini pada pukul 1.45 petang. Faktor ini juga memaksa kami memulakan pendakian ke puncak pada pukul 2 pagi keesokan harinya.

Hari kedua: Kami memulakan pendakian pada pukul 2.15 pagi bertemankan lampu suluh. Yang tinggal di pondok bagi menjaga beg galas besar dan peralatan perkhemahan ialah Kak Leha, Ana dan Opek yang merupakan penduduk Desa Cilimus. Kak Leha dan Ana tidak mahu ke puncak kerana kata mereka: “Malas nak redah hujan.”


SALING bekerjasama menempuh laluan di tepi cerun yang curam.



Desa Cilimus terletak di kaki gunung Ciremai di Linggarjati yang terletak dalam wilayah Kuningan, Jawa Barat.

Kami hanya membawa beg kecil berisi bekalan minuman dan makanan untuk perjalanan sehari suntuk ke puncak dan berpatah balik ke Condang Amis.

Selain jalur Linggarjati, terdapat dua lagi laluan lain ke puncak Ciremai iaitu jalur Palutungan dan jalur Apuy.

Trek yang kami lalui ini adalah jalur yang paling panjang dan lebih curam berbanding dua trek tersebut.

“Kenapa pilih jalur ini. Lain kali pilihlah jalur yang paling mudah dan cepat,” kata seorang rakan pendaki yang merungut kerana katanya, saya telah membuat kesilapan kerana memilih jalur Linggarjati untuk ke puncak Ciremai.

“Mana aku tahu…Anton yang bawa,” jawab saya ringkas.

Anton ialah penunjuk arah yang merupakan kenalan kami dari Jakarta. Turut menyertai ekspedisi ini ialah rakan-rakan pendaki Indonesia seperti Bismo, Stanley dan Lando. Dalam kegelapan subuh yang hitam pekat, kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di pos berikutnya iaitu Pos 4 (Kuburan Kuda). Trek yang dilalui terus menanjak dan semakin curam. Oleh kerana, sehari sebelumnya, trek disimbah hujan maka laluan amat licin. Kami memerah tenaga untuk sampai ke pos berikutnya iaitu Pos 5 (Pangalap) dan cerun yang didaki semakin curam di antara 65 hingga 75 darjah.

Sepanjang jalan ke pos ini, kami melintasi beberapa tempat yang dianggap keramat oleh penduduk kampung seperti Ceblokan dan Pangalas. Anton bercerita mengenai seorang pendaki yang kerasukan telah mencungkil kedua-dua mata rakannya sehingga buta di kawasan yang kami sedang lalui. Terasa seram tatkala dia bercerita.

Ceritanya: “Apabila tersedar rasukan, pendaki itu terus berlari turun ke desa untuk memberitahu penduduk yang kemudian membuat laporan polis.

“Apabila polis tiba, pendaki malang itu dibawa turun dan dihantar ke hospital,”ujarnya.

Ketika kami mendekati Pos 6 (Tanjakan Seruni), trek semakin tegak dan curam. Ini merupakan trek yang paling mencabar kerana kecuramannya. Cukup membuatkan kami ‘lelah’ kala melepasi kawasan ini. Selepas lebih satu jam menempuh trek ini, kami sampai di Pos 7 (Tanjakan Bapatere).

Semakin ke hadapan semakin mencanak cerun yang didaki sehingga memaksa kami menggunakan kudrat tangan dan kaki untuk melonjakkan badan bagi melepasi cerun curam. Nasib baik ada akar-akar pokok yang boleh dipegang untuk membantu kami naik ke atas.

Tidak lama kemudian, kami sampai di Pos 8 (Batu Lingga). Trek semakin menanjak dan tiada langsung kawasan yang landai. Pos ini merupakan dataran yang luas dan terbuka dan sesuai untuk didirikan khemah. Ia dinamakan Batu Lingga kerana dahulu, terdapat sebuah batu besar tetapi kini, batu itu telah tiada dan dipercayai hilang secara misteri.

Dari Pos 8 ke Pos 9 (Sangga Buana 1), trek yang ditempuh sama sahaja seperti sebelumnya. Kawasan di pos ini juga cukup datar dan luas dan sesuai untuk mendirikan tiga atau empat khemah.


JALUR Gemilang berkibar di puncak Gunung Ciremai.



Masih didominasi trek yang mencanak, kami kemudiannya sampai di Pos 10 (Sangga Buana 2) yang kawasannya tidak begitu luas. Kami berhenti rehat di pos ini agak lama untuk mengalas perut yang mulai berbunyi minta diisi.

“Ada satu lagi pos sebelum sampai puncak,” kata Anton sambil memberitahu kami perlu menempuh Pos 11 (Pengasinan) terlebih dahulu.

“Jauh lagi ke…,” saya bersuara dalam kepenatan.

“Sekitar 45 minit, sampai ke Pengasinan dan 45 minit lagi ke puncak,” jawab Anton. Ini bermakna kami memerlukan kira-kira 1 jam 30 minit untuk menjejak kaki ke puncak Ciremai.

Tanpa membuang masa, kami mengerah lagi sisa-sisa kudrat yang ada untuk menjejak puncak Ciremai. Trek yang dilalui mulai dipenuhi batuan. Dalam kalangan pendaki Indonesia, kawasan seperti ini dinamakan cadas.

Oleh kerana hujan mulai turun ketika kami berehat di Pos 10 maka laluan ke puncak yang curam menjadi amat licin. Sesekali kami terjatuh menyembah bumi. Ini membuatkan kami lebih berhati-hati mengatur langkah.

Setelah berhempas pulas hampir dua jam, akhirnya, kami sampai di puncak Ciremai pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Ini bermakna perjalanan dari Condang Amis ke puncak Ciremai mengambil masa hampir 10 jam.

Ia satu perjalanan yang amat jauh dan begitu memenatkan. Benarlah kata Anton bahawa trek Linggarjati merupakan trek paling sukar ditempuh.

Kami memanjatkan kesyukuran kerana semuanya selamat dan dalam kabus tebal serta suhu yang sejuk sehingga ke tulang, kami bergambar kenangan. Tiada pemandangan menarik yang dapat dilihat lantaran kabus terlalu tebal.

Oleh kerana terlalu sejuk dengan angin yang sesekali bertiup kencang, kami tidak berada lama di puncak. Selepas bergambar, kami terus berjalan turun menuju Condang Amis. Saya dan Lando sampai di pos ini pada pukul 4.30 petang dan yang lain pada pukul 6.45 petang dalam suasana hari yang semakin gelap.

Oleh kerana hari semakin gelap manakala Bib dan Jun pula terlalu lemah untuk berjalan turun ke kaki gunung, kami akhirnya bermalam sehari lagi di Condang Amis.

Hari ketiga: Menyedari hari semakin tinggi, kami secepat kilat berkemas dan meninggalkan Condang Amis pada pukul 8 pagi. Sepatutnya, perjalanan turun hanya mengambil masa kurang dua jam tetapi keadaan Bib dan Jun yang masih letih dan mengalami sakit kaki, menyebabkan perjalanan turun mengambil masa hampir empat jam. Menjelang tengah hari, kami tiba di sebuah vila di kaki gunung. Kami singgah di situ untuk membersihkan diri dan selepas itu, kami menempuh laluan berturap tar menuju ke rumah Opek. Selepas bersalaman dengan keluarga Opek, kami menaiki sebuah van yang disewa khas untuk meneruskan ekspedisi ke Gunung Galunggung yang terletak di Tasikmalaya, Jawa Barat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: