Pesona dasar laut Farasan Banks

Arab Saudi sering dianggap pilihan percutian yang kontroversi. Tetapi bagi penyelam, ia menawarkan beberapa lokasi terumbu karang terakhir dunia yang masih belum disentuh.


TERUMBU karang Farasan Banks belum pernah disentuh oleh manusia sebelum ini.


JIKA anda seorang ejen pelancongan, anda mungkin mendapati bahawa Arab Saudi ialah salah sebuah negara yang sukar untuk dijual atau dipromosi sebagai sebuah lokasi percutian popular.

Apatah lagi negara Barat sering melaung-laungkan bahawa ia adalah sebuah negara yang penuh dengan ancaman pengganas, satu pandangan yang skeptikal dan tidak wajar.

Namun, mungkin ramai tidak menyedari bahawa Arab Saudi sebenarnya mampu menyediakan satu pakej percutian yang menarik iaitu di kawasan sekitar pesisir pantai Laut Merah.

Untuk pengetahuan anda, di Laut Merah terdapat beberapa lokasi atau kawasan di mana terdapat terumbu karang dara terakhir dunia yang masih belum disentuh atau tercemar, selain kawasan menyelam yang paling jernih di planet Bumi.

Itulah perkara yang menyebabkan saya begitu tertarik dan terpesona dengan keindahan pemandangan dasar laut di Laut Merah.

Saya sebenarnya telah dijemput ke Arab Saudi oleh Dream Divers, sebuah syarikat selaman yang beroperasi di selatan negara tersebut.

Selepas mendarat di landasan lapangan terbang Sultan Abdulaziz di Jeddah, kami memulakan perjalanan menaiki kereta selama dua jam setengah ke selatan Arab Saudi di mana jalan tersebut berakhir di Yaman.

PENYU Hawksbill adalah antara penghuni dasar Farasan Banks.



Untuk beberapa kilometer perjalanan dan setelah kami merentasi pesisir pantai Laut Merah, kami sampai di bandar Al Lith yang kelihatan banyak masjid, rumah dan padang bola sepak.

Ia juga merupakan rumah kepada ketua Al Ahlam Marina, Eric Mason, bekas rakyat Britain yang menubuhkan Dream Divers selepas tiba di negara tersebut 36 tahun lalu.

Kami kemudian bertemu Eric yang telah memeluk agama Islam tujuh tahun lalu sebelum dibawa menaiki bot dan meronda menyaksikan keindahan air laut yang begitu jernih.

Hampir dua jam setengah selepas itu, kami mula memasuki lokasi yang dikenali sebagai salah satu tempat paling berbahaya di dunia di mana lanun-lanun menjalankan operasi mereka dari Sudan dan Somalia.

Tetapi kami bernasib baik kerana dapat sampai di Farasan Banks, sebuah pulau kecil yang kaya dengan keindahan semula jadi, terumbu karangnya yang masih belum disentuh tanpa masalah.

Enam bulan lalu, saya tidak dibenarkan untuk menjejakkan kaki di sini. Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi mula mengeluarkan visa kumpulan pelancong pada penghujung tahun 2007.

HIDUPAN laut yang pelbagai menjadi tarikan.



Saya juga dimaklumkan bahawa saya merupakan pelancong Britain pertama yang berpeluang melawat tempat ini. Di dalam hati, terselit juga rasa bangga kerana mendapat kelebihan sebegini.

Eric memberitahu bahawa dia percaya negara ini mempunyai potensi pelancongan yang amat besar. Jika dimajukan, tidak mustahil Jeddah mampu menarik minat ramai pelancong dari serata dunia.

“Kawasan pesisir laut di Jeddah amat unik. Hanya terdapat dua buah bot yang berfungsi di pesisir pantai sepanjang 1,800 kilometer. Ia masih dara dan belum tercemar. Laut Merah mampu menawarkan satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan.

“Dengan keindahan terumbu karang serta spesies hidupan lautnya yang pelbagai, ia menjanjikan keseronokan yang tidak terhingga,” jelas Eric.

UNDANG-UNDANG ketat di Arab Saudi sebelum ini tidak begitu terbuka pada pelancongan.



HAMPARAN gurun menjadi pemandangan dalam perjalanan ke Al Lith.



Farasan Banks juga tidak kurang uniknya. Airnya yang jernih kehijauan serta pasir pantainya yang memutih memukau pandangan mata.

Untuk pengetahuan anda, Farasan Banks merupakan siri mengenai ribuan terumbu karang kecil dan beberapa buah pulau sebesar saiz padang bola. Ia terletak bersempadan dengan Sudan dan lebih ribuan kilometer ke selatan Sharm El Sheikh di Mesir.

Antara pulau-pulau kecil yang terdapat di Farasan Banks termasuklah Malattu, Dohar, Marmar dan Jadir.

Kawasan ini adalah tempat strategik untuk penyu Hawksbill dan Green Turtles bersarang.

Anda boleh menyaksikan penyu-penyu melintasi pantai-pantai di sini pada setiap petang sama ada untuk berehat atau menimbus diri di dalam pasir dan juga untuk bertelur. Namun, jika anda menghampirinya terlalu rapat, ia mungkin akan menyerang.

Tetapi keajaiban sebenar terletak di bawah air iaitu terumbu karang Long Reef yang masih belum disentuh atau dicemari ‘tangan-tangan manusia’ sambil dikelilingi ikan-ikan kecil yang berwarna-warni.

“Lokasi ini lebih baik berbanding Mesir kerana ia mempunyai lebih banyak ikan dan batu karang yang berwarna-warni,” kata Ralph, seorang warga Jerman yang bertugas sebagai instruktor di Sharm el-Sheikh.

“Semalam saya melihat beberapa ekor ikan jerung hammerhead. Mereka mungkin hanya melihat 50 orang penyelam dalam hidup mereka. Anda tidak dapat melihatnya di Mesir kerana terdapat lebih 20 buah bot berulang-alik di sana setiap hari.”

Selepas tiga hari di pulau tersebut, kami kembali semula ke Jeddah dengan perasaan yang berbelah bahagi kerana terpaksa meninggalkan kawasan yang indah ini.

Di Jeddah, kami dapat melihat ramai wanita Afrika menjual barangan cenderamata seperti tulisan khat dan sebagainya.

Untuk pengetahuan anda, tahun 2008 menyaksikan wanita di Arab Saudi buat kali pertamanya dibenarkan mengembara tanpa ditemani lelaki yang mempunyai pertalian saudara atau sebagai mahram.

FARASAN Banks menjadi syurga baru bagi para penyelam.



Bagaimanapun, menurut Eric, pada hujung tahun ini, dia percaya wanita juga akan dibenarkan untuk memandu. – Agensi

*** Untuk sebarang maklumat mengenai Dream Divers, bolehlah melayari laman web http://www.dreamdiver.net.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: