Pantai Morib belum dilupakan


Ingin mencari pantai yang tenang tanpa perlu jangkaan komersial tinggi? Pandulah bersama teman-teman ke arah selatan Selangor untuk ke Pantai Morib.


BAZAR bermusim, taman permainan, medan selera dan gerai jualan adalah antara entiti yang memeriahkan kunjungan seseorang ke Pantai Morib.



pabila tiba giliran Morib untuk menjadi destinasi persinggahan minggu ini, terlintas juga di hati; ‘Apakah yang ada di situ? Masih bernyawakah pantainya?’

Tanggapan itu segera berubah saat kami tiba. Nyata sudut istimewa di daerah Kuala Langat, Selangor ini amat relevan dengan produk pelancongan itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Walaupun nilai komersial Pantai Morib tidak sehebat pantai popular lain di sebelah barat Semenanjung Malaysia, ia masih menyimpan banyak tarikan rekreasi, sejarah lampau dan kenangan percutian.

Terletak berdekatan Simpang Morib, kira-kira 10 kilometer dari pekan Banting, Morib adalah kawasan pesisiran pantai yang menarik kedatangan ribuan pengunjung setiap tahun.

Suatu ketika dahulu, ia pernah menjadi pintu masuk terawal bagi angkatan tentera British dan India ketika Perang Dunia Kedua. Hari ini, sebuah tugu bagi mengingati peristiwa tersebut masih boleh ditemukan.

“Orang masih datang ke Pantai Morib terutamanya di sebelah pantai yang landai di sana. Hujung minggu lebih meriah kerana ramai pengunjung.


SEMENTARA urusan riadah boleh dilakukan di banyak bahagian Pantai Morib, tuntutan ibadat pula selesa ditunaikan di Masjid Jamek Morib yang terletak berdekatan.



“Medan selera pun nampak bernyawa. Itu belum termasuk keseronokan mereka yang mencuba bakat nyanyian karaoke berdekatan auditorium,” ujar salah seorang penjaja gerai di pantai tersebut.

Diberitahu oleh penduduk tempatan, apabila air pasang, paras air dikatakan hampir sama tinggi dengan tebing batu di sepanjang kawasan medan selera pantai itu.

Namun, apabila air surut, seseorang perlu berjalan di atas pasir yang rata dan landai sejauh 400 meter dari pantai untuk sampai ke gigi air. Sesiapa yang berminat menambah koleksi cangkerang laut, inilah masanya!

Terdapat dua buah penginapan yang paling hampir dengan pantai. Sementara Hotel Sri Morib menambah nilai penginapannya dengan akses ke kelab golf, Impian Morib Hotel pula merangkaikan tarikan penginapannya dengan pakej kursus selain kolam renang yang besar.

“Ramai datang ke Morib untuk beristirehat dan menikmati keringkasan gaya hidup. Biasanya tetamu hotel kami disyorkan untuk melawat perusahaan membuat kerepek dan ladang buah-buahan yang terletak di sekitar Tanjung Sepat,” kata penyelaras jualan Impian Morib Hotel, Siti Faradilah Tamby.

Apa yang jelas, kebersihan Pantai Morib kekal terjaga. Biarpun airnya belum tentu menjanjikan warna kebiruan, ia masih lagi menjadi tumpuan pengunjung dalam kumpulan teman mahupun bersama keluarga untuk mandi-manda.

Namun, jika tidak bercadang untuk membasahkan diri, mungkin aktiviti bermain layang-layang, beriadah atau berkelah di hamparan rumput hijau yang diredup pohon-pohon rhu dan palma boleh menceriakan hujung minggu seseorang.

Selain itu, aksi lasak boleh disaksikan di Padang Awam Pantai Morib kerana ia banyak kali menjadi gelanggang bagi sukan ragbi dan bola sepak pantai.

Anda kaki pancing? Mungkin gian itu boleh dilepaskan di beberapa tempat di sepanjang pantai. Tanyakan saja pada penduduk tempatan untuk tip dan panduan lokasi.

Sambil keperluan beribadat boleh ditunaikan di Masjid Jamek Morib yang terletak tidak jauh dari padang awam itu, keinginan selera pula boleh dilunaskan di medan selera dan bazar bermusim.

Deretan gerai yang menawarkan pelbagai snek tradisi juga boleh didatangi jika sekadar hendak mengisi perut sambil menikmati hembusan angin dan panorama matahari terbenam.

“Tulis yang baik-baik ya,” kata seorang mak cik yang leka menyusun barang jualannya di sebuah gerai. Mungkin bimbang jika masih ada yang tidak percaya bahawa pantai tempatnya mencari rezeki itu masih indah dengan pelbagai tarikannya.

Ya mak cik, Pantai Morib pastinya belum dilupakan! – HAMZAH ABDUL HAMID

Advertisements

2 Respons

  1. morib anyak maksiatt

  2. Hmmm… belum cuba belum tahu, planning ahead to step in for the 1st time there…. Morib, tunggu kedatangan kami…!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: