Amsterdam ibarat syurga dunia


Oleh: ASMIZAN MOHD SAMIRAN

“DUDUK di bilik hotel sajalah.” Itu sindiran seorang rakan ketika bersama penulis menukar mata wang Ringgit Malaysia (RM) kepada Euro sehari sebelum bertolak ke Belanda untuk mengikuti program temuramah eksklusif bersama penerbit, pengarah dan pereka bunyi filem animasi Wall.E atas jemputan Buena Vista Columbia Tristar Films (Malaysia) Sdn Bhd, baru-baru ini.

Bukan apa, ketika itu mata wang Euro yang diterima hanya beberapa keping walaupun rasanya banyak RM dikeluarkan. Ia sekali gus memberi bayangan, peluang untuk penulis melawat lokasi menarik di Belanda tipis.

Begitupun, apabila di Belanda, semua kebimbangan itu hilang kerana penulis tidak duduk memendam rasa di bilik hotel.

Sepanjang tiga hari di negara kincir angin itu, puas rasanya apabila berjaya memanfaatkan masa terluang dan wang yang ada dengan berkunjung ke beberapa lokasi menarik.

Di Belanda, penulis menetap di Grand Hotel Huis Ter Duin yang terletak dalam daerah Noordwijk — satu lokasi pinggir bandar yang mempunyai kampung dan pantainya sendiri.

Memandangkan penulis kini di Noordwijk, masa terluang untuk hari pertama dimanfaatkan dengan berkunjung ke Amsterdam.

Bersama rakan dari akhbar The Star dan Sin Chew Daily, kami berbincang bagaimana untuk ke Amsterdam dari Noordwijk. Pada mulanya kami memilih jalan mudah iaitu menaiki teksi, tetapi apabila bertanya kakitangan hotel, kami diberitahu perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya 100 euro (RM500).

Selepas saling berpandangan, kakitangan hotel mencadangkan kami menaiki bas dan kemudian tren ke Amsterdam kerana kosnya jauh lebih rendah.

Perjalanan dimulakan dengan berjalan kaki ke perhentian bas berhampiran hotel yang mengambil masa hanya lima minit. Kami menaiki bas berwarna hijau yang menggunakan nama connexxion.

Keadaan bas itu tidak banyak bezanya dengan bas Rapid KL. Tambangnya pula dibayar kepada pemandu untuk mendapatkan tiket.

Dengan tambang sebanyak 2,20 euro (RM11), kami berhenti di stesen Laiden Centraal selepas menempuh perjalanan selama 20 minit.

Tiba di stesen itu, kami cuba mendapatkan tiket tren untuk ke Amsterdam menerusi sebuah mesin tiket yang tersedia di pintu masuk.

Memang canggih mesin itu kerana ia turut menerima kad kredit, tetapi dalam pada canggih, rupa-rupanya ia hanya menerima wang syiling.

Hendak masuk ke dalam, bimbang tidak boleh masuk kerana kami sangka ia pintu masuk automatik yang hanya boleh digunakan jika ada tiket.

Bagaimanapun, seorang gadis Belanda bermata biru dengan penuh ramah menegur dan memberitahu, kami boleh masuk saja tanpa memerlukan tiket.

Gadis itu turut memberitahu, kami boleh mendapatkan tiket menerusi kaunter yang disediakan di dalam. Belum sempat bertanya nama, gadis itu berlalu sambil mengusung basikalnya.

Bercakap mengenai basikal, di Belanda, kenderaan itu menjadi pengangkutan utama penduduknya. Tidak hairan, di mana-mana saja ada basikal, termasuk di dalam tren!

Dari Laiden Centraal, kami perlu ke stesen Amsterdam Centraal untuk ke kota Amsterdam. Kami memilih tambang kelas dua dengan harga 14,90 euro (RM74.50) untuk perjalanan pergi dan balik.

Tak sempat pula penulis mengetahui lebih lanjut apa perbezaan kelas pertama dan kedua, tetapi bagi penulis, kelas kedua yang disediakan cukup selesa.

Di dalam tren, bayangan suasana berkunjung ke Amsterdam yang diuar-uarkan sebagai ‘kota kebebasan’ mula terasa apabila penulis melihat seorang remaja dengan selamba membalut rokok yang diisi ganja!

Melihat penulis asyik memerhatikannya, remaja itu menunjukkan isyarat bagus kepada benda di dalam genggamannya. Bimbang menjadi ‘panjang cerita’ penulis senyum kepadanya dan pura-pura tidur.

Hanya dalam tempoh 30 minit, kami tiba di stesen Amsterdam Centraal dan tanpa berlengah kami berjalan keluar dari stesen berkenaan.

Kami berpecah untuk meneroka Kota Amsterdam dengan berjalan kaki mengikut kemampuan masing-masing dalam tempoh empat jam sebelum berjumpa semula di pintu keluar stesen berkenaan.

Dalam suasana hiruk piruk pelbagai jenis manusia yang lalu lalang, seni bina bangunan di kota berkenaan nyata memukau pandangan dan menyejukkan mata memandang.

Lebih menarik, kota yang padat dengan bangunan dan manusia itu boleh dijelajahi menggunakan jalan air dengan menaiki ‘Canal Cruises’ (bot).

Berdasarkan maklumat diperoleh di Internet, Amsterdam dikatakan ada banyak muzium dan ia ternyata benar apabila hanya dalam tempoh lima minit berjalan, penulis secara tidak sengaja menemui sebuah muzium. Bukan sembarangan muzium, tetapi muzium seks!

Selepas itu, dalam tempoh 10 minit, penulis terjumpa sebuah lagi iaitu Muzium Madame Tussaud yang terkenal dengan patung lilin tokoh terkemuka seluruh dunia. Pengunjung terpaksa beratur panjang untuk masuk ke muzium ini.

Terletak di Dam Square, dataran ini dikatakan ‘jantung’ Amsterdam. Tidak hairan ia sentiasa dipenuhi pengunjung tidak kira pelancong atau penduduk tempatan.

Selain tempat untuk bersantai, kunjungan ke dataran itu tambah menarik apabila ada beberapa individu mencari rezeki dengan melakukan pelbagai aktiviti.

Antaranya memakai kostum seperti Darth Vader (Star Wars) dan menunjukkan aksi luar biasa kemampuan melepaskan diri walaupun tangan dan kaki diikat rantai, besi dan kayu. Yang menarik, mungkin bimbang berlaku kejadian tidak diingini, sepanjang lelaki itu menunjukkan aksinya, sebuah ambulans diletakkan di kawasan berhampiran.

Selepas berehat sebentar di dataran itu, perjalanan diteruskan mengikut langkah kaki. Tidak semena-mena seorang lelaki menegur sambil menghulurkan sesuatu dan bertanya: “Awak mahu ini?”

Rupa-rupanya lelaki itu mahu menjual ganja dan baru penulis sedar, langkah kaki ini membawa penulis ke ‘Red Light District’ — lokasi yang memang tercatat di dalam peta dan ‘menghalalkan’ dadah serta pelacuran.

Pelawaan itu penulis tolak dan perjalanan menjadi semakin ‘mencabar’ apabila terpampang di depan mata deretan kedai barangan lucah, termasuk video cakera padat digital (DVD). Itu belum lagi deretan kedai ‘Head Shop’ yang menjual pelbagai barangan berkaitan dadah, terutama ganja seperti benih, alat menghisap bahan itu, pakaian dan cenderamata bermotifkan ganja.

Di ‘Coffee Shop’ pula, paling menarik perhatian, hiasan meja makan yang disediakan adalah pokok ganja yang segar bugar!

Dikhabarkan, lokasi berkenaan meriah pada waktu malam dan tidak hairan perjalanan pada siang hari boleh dikatakan biasa saja. Begitupun, ‘wanita di dalam cermin’ sudah memulakan operasi dengan mengetuk cermin bagi menarik perhatian sesiapa yang lalu lalang.

Kunjungan ke lokasi panas itu berakhir dengan sesi makan tengah hari di kedai makan halal diusahakan warga Arab yang ditemui secara tidak sengaja.

Satu nasihat untuk sesiapa yang berkunjung ke sebuah negara yang tukaran mata wangnya lima kali ganda daripada RM, jangan terlalu memikirkannya, kerana nanti tak lalu makan.

Di kedai makan itu penulis memilih untuk makan spaghetti dengan harga 12 euro (RM60), manakala minuman pula air mineral berharga 6 euro (RM30). Penulis harus pasrah dengan harga itu.

Hanya tinggal sejam sebelum kembali ke Amsterdam Centraal, masa yang ada dimanfaatkan dengan berkunjung ke kedai cenderamata yang pasti membuatkan sesiapa melihat rambang mata.

Tidak keterlaluan dikatakan kedai cenderamata terlalu banyak, tetapi tiada gunanya jika sekadar melihat. Kesudahannya, sambar juga beberapa helai kemeja T dan cenderamata seperti rantai kunci, walaupun harganya menyesakkan dada.

Apa tidaknya, untuk kemeja T bersaiz dewasa, tiada yang berharga di bawah 10 euro (RM50). Kebanyakan yang penulis temui berharga 14 euro (RM70).

Tanpa sempat berkunjung ke kilang keju dan terompah kayu — sesuatu yang lazimnya dilakukan pelancong — penulis pulang ke hotel penginapan dengan perasaan puas apabila dapat melihat sendiri kota Amsterdam.

Ehsan: Harian Metro (Ogos 2008)

Satu Respons

  1. suka betul saya baca pasal Amsterdam. =) saya ada seorang kawan yang tinggal di zaandam. diaa banyak bercerita pasal negara belanda itu. tentang basikal. dia pernah beberapa kali bercuti ke kuala lumpur semasa musim salji tiba. dia membuat perbezaan diantara malaysia dan belanda. tentang basikal yang menjadi kebiasaan penduduk di sana.berbanding orang2 malaysia yang lebih suka menggunakan motosikal.dia menceritakan basikal lebih sesuai disana kerana disana mempunyai 4 musim..so.. bagi merekaa menggunakan basikal lebih selamat.. mengelak kan diri dari terjatuh.. sama juga apabila membawa kereta…

    dia mengatakan anak2 remaja disana cukup agresif.. berbeza di kuala lumpur.. atu orang asia yang lebih bersopan.. =)

    banyak yang sya daat info dai beliau terhadap amsterdam.. saya berharap dapat ksana dan menikmati musim sjuk yang tidak ada di meleisie (malaysia) .

    saya tak ingat pada tahun berapa.. tapi sebelum euro.. mreka mnggunakan matawang “gulden” cuma 3 kali ganda nilainya dr wang malaysia.. beze skarang 5 kali ganda!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: