Tidak lagi bergantung 100% peperiksaan – TPM

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 18 April – Sistem pendidikan negara bakal melalui transformasi penting tahun depan apabila tidak lagi bergantung 100 peratus kepada peperiksaan bagi menentukan gred pelajar.

Untuk itu, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) akan diperkenalkan yang memasukkan kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatan dalam kokurikulum sebagai penentu gred peperiksaan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dimulakan dengan murid prasekolah dan tahun satu.

SPPK akan menyebabkan penumpuan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikurangkan.

“Langkah ini secara keseluruhannya akan menyediakan modal insan yang holistik,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Teks ucapan Muhyiddin dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong sempena pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Tahap pencapaian pelajar buat masa ini diukur 100 peratus kepada prestasi mereka ketika menjawab soalan peperiksaan akhir tahun dan awam.

Ka Siong pada sidang akhbar selepas itu berkata, SPPK akan meletakkan penekanan terhadap proses pembelajaran secara menyeluruh dan bukan setakat menjawab soalan peperiksaan sahaja.

Katanya, langkah itu menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga kelihatan mengabaikan aspek-aspek lain yang sama penting.

Malah, kata beliau, untuk jangka panjang, kementerian juga sedang menilai sama ada perlu mengadakan sehingga tiga peperiksaan awam.

Alimuddin ketika ditemui menambah, di bawah SPPK, pemberian markah untuk pelajar akan terdiri daripada empat punca iaitu:

– Psikometri (sikap atau sahsiah seseorang pelajar)

– Kokurikulum

– Berasaskan sekolah (peperiksaan mingguan dan bulanan)

– Berpusat (Lembaga Peperiksaan menyediakan soalan standard peperiksaan di semua sekolah).

Jelas beliau, melalui SSPK, penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan lebih maksimum.

Katanya, pihak kementerian mencadangkan 70 peratus markah untuk UPSR adalah berasaskan pentaksiran dan hanya 30 peratus melalui peperiksaan umum.

Bagi PMR pula, katanya, 50 peratus berdasarkan pentaksiran dan 50 peratus lagi dalam peperiksaan manakala untuk SPM, 30 peratus berdasarkan pentaksiran serta bakinya melalui peperiksaan.

“Untuk SPM kita menumpukan lebih sedikit pada peperiksaan kerana keputusan itu penting bagi penempatan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Jelas beliau, projek perintis SSPK telah dilaksanakan melibatkan 50 sekolah pada tahun lalu dan 500 lagi pada tahun ini.

Katanya, maklum balas yang diterima termasuk daripada para guru adalah amat positif.

Beliau berkata, pengenalan SSPK tidak akan membebankan para guru kerana sebahagian pendekatan sistem itu sudah pun dimulakan.

“Sekarang ini pun dah buat, kita ada ujian mingguan, ujian bulanan dibuat oleh guru, tetapi semuanya hanya simpan di sekolah dan tidak dimasukkan dalam keputusan akhir peperiksaan.

“Macam itu juga dengan kokurikulum, sekarang pun ada pelajar jadi pengawas, main bola untuk sekolah, cuma tidak dimasukkan secara rasmi dalam penentuan gred peperiksaan awam pelajar,” katanya.

Jelasnya, sistem pentaksiran akan dimulakan dari tahun satu hingga enam untuk UPSR, tingkatan satu hingga tiga bagi PMR manakala tingkatan empat dan lima untuk SPM.

Katanya, kumpulan pertama pelajar yang akan dinilai UPSR mereka menggunakan kaedah SPPK ialah pada tahun 2015 iaitu apabila murid tahun satu 2010 menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.

Jelas Alimuddin, beliau yakin SPPK akan dapat mencapai objektifnya kerana ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sumber: Utusan Malaysia (19 April 2009)

Advertisements

Aib juvana remaja

Oleh Nurul Adlina Kamaludin dan Hafizah Iszahanid


Remaja makin bangga, seronok buat jenayah

MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

“Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara,” kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

“Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

“Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah.”

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

“Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah.”

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak – ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

“Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

“Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka,” katanya.

Ehsan: bminggu@bharian.com.my (12 April 2009)

Kewujudan IPTS boleh membawa pelbagai kesan kepada negara


Kini negara kita memiliki 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang Cuma boleh menampung kira-kira 130,000 orang pelajar. Menyedari keterhadan peluang belajar di IPTA, kerajaan telah bersetuju dan membenarkan IPTS diwujudkan di negara kita. Kewujudan IPTS yang bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ ini membaca pelbagai kesan positif dan negatif kepada kita.

Antara kesan positif yang timbul ekoran m\penuhan IPTS ialah memberi peluang belajar di peringkat tinggi kepada mereka yang gagal ke IPTA. Dengan adanya 547 buah IPTS di seluruh negara, peluang pendidikan tinggi bagi semua rakyat adalah terjamin. Mereka boleh memilih bidang kursus dan IPTS yang diminati sama ada di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (UMM), Universiti Petronas, Universiti Telekom (Unite!) atau banyak lagi. Ekoran itu, tidak timbul lagi soal cemburu atau prejudis kelompok tertentu kepada kelompok yang lain dalam soal pendidikan tinggi.

Selain itu, penubuhan banyak IPTS dalam negara juga dapat meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh para pelajar yang sebelum ini terpaksa ke luar negara untuk belajar. Pertukaran ringgit Malaysia yang hampir enam kali ganda lebih rendah daripada pound sterling di England, misalnya pasti memberi kesan besar kepada pelajar yang menuntut di sana. Dengan adanya peluang belajar di IPTS tempatan, mereka bukan sahaja dapat menjimatkan kos pengajian, bahkan dapat menyelamatkan pengaliran keluar mata wang negara ke negara asing. Secara tidak langsung, IPTS telah menyelamatkan Malaysia kerugian dari segi pertukaran wang asing.

Salah satu kesan positif penubuhan IPTS di negara kita terserlah melalui kemunculan lebih ramai golongan profesional dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah arkitek, akauntan, doktor, peguam dan lain-lain. Kemunculan golongan profesional ini akan menjamin negara kita mencapai kemajuan dalam semua aspek. Dengan masyarakat yang berilmu, negara kita akan menjadi kuat dan teguh dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Keteguhan akan menjamin negara kita tidak akan dijajah lagi. Kebebasan yang kita peroleh ini membolehkan kita menapak menuju tamadun mengikut acuan kita sendiri.

Walau bagaimanapun, wujud banyak kesan negatif ekoran penubuhan IPTS di negara kita. Salah satu daripadanya ialah IPTS telah membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan. Mengikut Akta Pendidikan 1996, semua IPTS dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran. Akta ini bukan sahaja menyebabkan IPTS mengutamakan bahasa Inggeris dalam pengajaran bahkan tidak mensyaratkan calon-calon yang memohon untuk ke IPTS menguasai bahasa Melayu dengan baik. Langkah ini dianggap bertentangan dengan amalan sebelum ini yang mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan syarat untuk mendapatkan sijil di peringkat menengah. Justeru, penubuhan IPTS menyebabkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara telah diremehkan penggunaannya.

Ketidakseimbangan dari segi penghasilan tenaga profesional berdasarkan ras juga akan berlaku menerusi penubuhan IPTS. Hal ini boleh berlaku kerana daripada kira-kira 170 000 tempat di IPTS, pelajar bumiputera cuma mengisi antara 10 hingga 15 peratus sahaja tempat yang disediakan. Hasilnya, golongan profesional bumiputera akan tenggelam oleh limpahan profesional ras-ras yang lain. Hal ini akan menyebabkan timbul rasa tidak senang hati antara kaum apabila pemilikan kekayaan negara menampakkan jurang. Jurang ini boleh menanamkan bibit kebencian antara kaum yang berpotensi mencetuskan rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Kesimpulannya, penubuhan IPTS di negara kita adalah perlu sebagai alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Namun, penubuhan IPTS ini seharusnya tidak mengundang unsur-unsur negatif yang boleh menggoncangkan perpaduan. Kita tidak mahu kewujudan IPTS ini menyebabkan ada golongan tertentu yang kalah dan ada pula yang menang.


Kesan buruk kepada masyarakat dan negara apabila bahan-bahan bacaan picisan mendapat perhatian pembaca

Kadar celik huruf di kalangan penduduk Malaysia ialah 93 peratus. Namun, yang membimbangkan kita ialah sikap masyarakat, terutamanya remaja yang lebih gemar membaca bahan-bahan berbentuk picisan, iaitu bahan yang bersifat hiburan, seks, tahyul dan mistik seperti Mangga, URTV, Bacaria, Mastika dan lain-lain.

Antara kesan buruk yang timbul ialah membmantutkan pembangunan negara. Kita akur bahawa pembangunan dan kecemerlangan negara hanya akan menjadi kenyataan apabila masyarakatnya berilmu. Apakah kita boleh mewujudkan masyarakat yang berilmu dengan hanya membaca bahan-bahan picisan? Dengan membaca bahan picisan, hidup mereka dipenuhi dengan aktiviti yang sia-sia, membazir dan membuang masa. Misalnya mereka sering menghadiri konsert, disko, pub, parti dan sebagainya. Sifat ini menjadikan mereka hanyut serta tiada masa lagi untuk memikirkan soal negara dan ilmu. Tanpa kesedaran ini, pembangunan dan masa depan negara diperjudikan.

Selain itu, pembacaan bahan-bahan picisan juga boleh mewujudkan pelbagai bentuk gejala sosial dalam masyarakat. Ini termasuklah kejadian rogol, sumbang mahram, bersekedudukan, bunuh, amuk, zina dan lain-lain. Gejala-gejala sosial ini mudah berlaku kerana bahan-bahan picisan telah mengeksploitasikan unsur-unsur seks, hiburan dan tahyul dalam penerbitan mereka. Aksi wanita yang mengghairahkan, hubungan bebas antara lelaki dan perempuan serta kisah-kisah peribadi yang dipaparkan telah menjadikan pembaca hilang pedoman. Bahan-bahan bacaan sebegini akan menjadikan remaja bertindak di luar kawalan. Oleh itu, tidak menghairankan apabila ada remaja yang terlibat dalam seks bebas, bohsia, bersekedudukan dan sebagainya.

Seterusnya lambakan bahan-bahan picisan di pasaran telah menyebabkan merosotnya permintaan masyarakat untuk bahan-bahan bacaan berbentuk ilmiah dan akademik. Ini terbukti apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengehadkan cetakan buku untuk sesuatu tajuk kepada 1000 hingga 3000 naskhah sahaja berbanding 3000 hingga 5000 naskhah pada era 80-an. Hal ini terjadi kerana masyarakat telah menjadikan bahan bacaan picisan sebagai alternatif. Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila majalah Mangga boleh terjual sehingga 227 290 naskhah sebulan.

Di samping itu, bahan-bahan picisan didapati telah mengeksploitasikan wanita dengan sewenang-wenangnya. Hal ini terjadi apabila majalah picisan, terutamanya telah menunjukkan wanita atau gadis jelita dengan aksi-aksi yang mengghairahkan dan menjolok mata. Misalnya ada model wanita yang mendedahkan pusat, paha, sebahagian besar dada, memakai celana mandi dan sebagainya. Hal ini tentunya tidak mans diparidang dan boleh menjatuhkan maruah wanita pada pandangan masyarakat tempatan. Di peringkat lebih luas pula, wanita yang dahulunya penuh sopan dan pemalu, kini telah dianggap sebagai objek murahan yang boleh dijual beli. Dari sini wujud pula sindiket memperdagangkan wanita.

Kesan negatif terakhir ekoran meluasnya bahan bacaan picisan di pasaran ialah menularnya kepercayaan karut dan mistik, terutamanya di kalangan pembaca remaja. Kisah mayat bangkit dari kubur, kubur berasap, keris menari, pokok berpenunggu dan ilmu-ilmu ketahanan diri begitu menarik perhatian pembaca. Hasilnya akan lahir para pembaca, terutamanya belia yang cuba mengamalkan apa-apa petua atau panduan yang dibaca dalam kedua-dua bacaan picisan in Adakalanya petua-petua yang bersifat mistik ini boleh mengganggu pemikiran pengamalnya sehingga ada yang menjadi sasar dan nanar. Hasilnya akan berlaku kejadian amuk, bunuh dan kekecohan dalam masyarakat.

Kesimpulannya, kita sebagai masyarakat alaf baru seharusnya sedar akan kepentingan memilih bahan bacaan. Membaca bahan picisan ibarat menyedut racun yang berbisa sebagai santapan. Oleh itu, pemilihan bahan bacaan berbentuk ilmiah merupakan jalan terbaik dalam membina pemikiran yang sihat serta demi kemajuan negara dan masyarakat.

Kes jenayah oleh pendatang asing


Perangkaan tahun 2006 menunjukkan bilangan pendatang asing di negara ini sudah mencapai angka 1.85 juta orang. Kedatangan mereka banyak membantu pembangunan negara kita. Namun, yang dikesali ialah penglibatan mereka dalam kes jenayah seperti merompak, menculik, membunuh, merogol dan sebagainya.

Pelbagai sebab boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah oleh pendatang asing ini. Antaranya ialah mereka telah ditipu dan tidak dibayar gaji oleh majikan. Hal ini menjadikan mereka marah dan menyimpan dendam kepada majikan. Kejadian pekerja asing menculik dan merogol anak majikannya baru-baru ini merupakan manifestasi daripada rasa marah mereka yang tidak terbendung. Mereka yang telah nekad ke sini pastinya kecewa dan sedih apabila ganjaran mereka dinafikan. Oleh itu, mereka berfikir wajar kiranya majikan berkenaan menerima balasan.

Selain itu, terdapat juga pendatang asing yang tidak mendapat kerja apabila datang ke sini. Oleh kerana menganggur, mereka tidak dapat memenuhi tuntutan dan kehendak diri seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan kenderaan. Mahu tidak mahu mereka perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan wang. Oleh itu, mereka mula berjinak-jinak dengan jenayah seperti merompak, membunuh, memeras ugut, menyeludup dan lain-lain lagi. Terlanjur sudah datang ke sini biarlah mereka beroleh sesuatu. Maka berleluasalah mereka dengan jenayah yang menyulitkan masyarakat dan negara.

Di samping itu, ramai pembantu rumah asing yang dianiayai oleh majikan mereka. Ada antaranya telah didera secara fizikal dan seksual, selain diugut dan diperlakukan seperti hamba. Dengan ins, akan timbul rasa benci mereka kepada majikan. Rasa benci ini akan bertambah subur apabila mereka bekerja dengan otak yang tidak jujur. Ekoran itu, mereka mula mengatur langkah untuk melarikan diri dan mengenakan majikan masing-masing. Ini termasuklah perbuatan mencuri wang dan barang kemas serta melarikan anak majikan mereka.

Selain sebab-sebab di atas, pendatang asing juga melakukan jenayah kerana mereka malas bekerja. Suasana pekerjaan yang memenatkan di tapak-tapak pembinaan di ladang-ladang menjadikan mereka serik dan mengalah. Ini ditambah pula dengan kadar upah mereka yang rendah berbanding pekerja tempatan. Namun, pada waktu yang sama mereka menjadi harapan untuk mengubah kemiskinan keluarga di kampung. Dari sinilah mereka mulai cuba mencari wang dengan jalan yang mudah. Antaranya dengan menjadi penyeludup barangan curi atau tanpa cukai di Selat Melaka, menjadi pembunuh upahan, perompak, penculik dan sebagainya.

Sebab terakhir yang menyebabkan pendatang asing melakukan jenayah adalah kerana mereka tidak berpendidikan dan kurang pegangan agama. Majoriti pendatang yang berhijrah ke negara ini mempunyai latar belakang sosioekonomi yang rendah. Di sini mereka bekerja sebagai buruh kasar, pembantu rumah, pencuci pejabat dan lain-lain Dengan taraf pelajaran yang rendah dan pegangan agama yang longgar, mereka mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan. Cabaran hidup di kota mendorong mereka melakukan pelbagai gejala negatif. Ini termasuk menjadi pelayan, pelacur, perempuan simpanan, bapa ayam, perompak, pembunuh dan sebagainya.

Kesimpulannya, sumbangan pendatang asing terhadap pembangunan negara memang sukar kita nafikan. Namun, kegiatan jenayah yang dilakukan telah merisaukan dan menyusahkan masyarakat tempatan. Oleh sebab itu, pihak berkuasa perlu mengkaji semula syarat-syarat dan jumlah kemasukan pendatang asing ke negara ini.


Langkah-langkah untuk menangani gejala buang bayi di kalangan remaja.


Remaja merupakan pelapis dan penentu jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan. Namun, gejala sosial yang menghantui remaja sekarang seperti membuang anak menjadikan kita dalam dilema. Untuk mengelakkan rasa malu dan hinaan masyarakat, anak yang tidak berdosa ini dibuang merata-rata.

Pelbagai langkah boleh diambil untuk menangani gejala buang bayi di kalangan remaja. Antaranya ialah kerajaan perlu mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang bersalah. Ini perlu dilakukan agar remaja akan berasa takut dan serik untuk membuang bayi. Ekoran mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat dan bermai Kejadian mengandung tanpa nikah dan membuang bayi pasti dapat dielakkan.

Di samping itu, didikan agama yang sempurna juga perlu diberikan kepada anak-anak seawal yang mungkin demi memandu mereka ke arah kebaikan. Dengan iman kukuh, mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala dan persekitaran yang ne; Ini kerana mereka sudah boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Segala perbuatan haram dan berdosa seperti melakukan seks bebas dapat me hindari. Natijahnya, mereka akan mengamalkan cara hidup sihat bersama-sama murni yang menjadi kebanggaan masyarakat Timur.

Remaja yang membuang bayi lazimnya terdesak oleh perasaan malu yang dikhuatiri boleh ‘menconteng arang’ ke muka keluarga. Oleh itu, pihak berkuasa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat UKM), misalnya perlu menubuhkan pusat-pusat jagaan untuk ibu-ibu muda yang mengandung. Pusat ini boleh berfungsi sebagai tempat remaja berkenaan mengadu dan mendapatkan bimbingan. Dengan cara ini, nyawa bayi tidak berdosa boleh diselamatkan. Di samping itu, ibu-ibu yang mengandung ini boleh menebus dosa mereka dengan menjadi ahli masyarakat yang berguna.

Langkah seterusnya ialah penubuhan bank bayi. Bank ini berfungsi menjaga setiap bayi yang tidak diingini atau tidak mampu dibela oleh ibu mereka. Bayi-bayi ini dijaga oleh pihak berkenaan sehingga besar dan boleh hidup berdikari. Dalam tempoh tertentu pula, pihak bank bayi boleh memberi peluang kepada si ibu mengambil ana semula sebelum diberikan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Dengan cara ini, nasib dan masa depan mereka lebih terjamin berbanding tragedi yang menimpa seandainya dibuang sewaktu dilahirkan.

Langkah terakhir yang boleh dilakukan ialah menerusi kempen-kempen program motivasi. Tanggungjawab ini boleh dilakukan oleh pelbagai media yang ada di negara kita. Dengan kata lain, grafik dan pendedahan berbentuk ‘Kisah Benar’ seseorang yang pernah membuang anak akan membangkitkan kesedaran para remaja. Manakala, program motivasi kesedaran seperti ‘Adab Bergaul’ dan ‘Dosa-dosa Besar’, misalnya mampu memperkuat lagi rasa insaf dan takut remaja akan dosa. Justeru, mereka sen beringat dan berwaspada daripada melakukan noda dan dosa.

Kesimpulannya, setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk hidup. Oleh itu, semua pihak harus melihat gejala membuang bayi secara rasional. Tindakan bersepadu Angkatan Relawan Rakyat (RELA), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Rukun Tetangga (RT) perlu untuk menangani pergaulan bebas di kalangan remaja. Tindakan awal ini perlu kerana ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’.


Kecuaian manusia menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya.


Kata orang ‘malang tidak berbau’. Oleh itu, kita perlu berhati-hati ketika memandu.  Menurut sumber Polis DiRaja Malaysia (PDRM), statistik tahun 2008 menunjukkan 373,047 kes kemalangan telah berlaku berbanding 363,319 kes pada tahun 2007 dan 341,252 kes pada tahun 2006. Kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia itu sendiri.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan kemalangan yang berlaku ini berpunca daripada kelalaian manusia. Antara bentuk kecuaian yang dilakukan mereka ialah memandu laju atau berlumba di jalan raya. Pelbagai kemungkinan k boleh terjadi apabila kenderaan dipecut sesuka hati tanpa menghiraukan had laju ditetapkan. Slogan ‘Kelajuan Boleh Membunuh’ dan ‘Jalan Raya ialah Sungai Maut’ menjelaskan kepada kita bahawa kemalangan atau kematian boleh berlaku pada bila-bila masa saja seandainya kita cuai atau lalai di jalan raya.

Bentuk kecuaian kedua yang dilakukan oleh pemandu ialah tidak memeriksa dahulu kenderaan sebelum digunakan. Pemandu yang bersikap ‘lepas tangan’ begini sudah akan menghadapi masalah apabila bahagian-bahagian tertentu kenderaan mereka sperti brek, lampu brek, lampu isyarat, hon dan lain-lain tidak berfungsi. Banyak kends yang jatuh ke gaung atau terbabas kerana kerosakan brek. Ada juga kenderaan dilanggar dari belakang kerana lampu brek yang tidak menyala. Kenderaan dicipta dan digunakan untuk kemudahan manusia. Oleh itu, malang sekali apabila kita ditimpa kesusahan oleh kelalaian sendiri.

Di samping itu, manusia juga dianggap cuai apabila memandu dalam keadaan mabuk, khayal dan mengantuk. Banyak kemalangan ngeri berlaku pada waktu larut malam awal pagi. Ini menunjukkan pemandu berada dalam situasi berkenaan ketika mem,, Ujian-ujian polis terhadap pemandu dan mangsa kemalangan membuktikan mereka memandu di bawah pengaruh alkohol. Penggunaan pil khayal dan ubat batuk juga mempengaruhi cara pemanduan yang boleh menyebabkan kemalangan. Fenomena pemanduan yang tidak berhemah ini akan menyusahkan semua pihak.

Selain kecuaian pemandu, kemalangan juga berlaku disebabkan oleh keadaan raya yang sempit, bengkang-bengkok, berlubang dan sunyi. Hal ini cukup ketara jalan raya di kawasan pedalaman, seperti jalan raya dari Bentong ke Gua Musang. Keadaan jalan sebegini akan memberi tekanan kepada pemandu. Bagi pemandu yang kurang sabar, mereka akan memandu secara berbahaya. Misalnya, memotong di garisan berkembar atau ketika di selekoh. Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa apatah lagi apabila binatang melintas di hadapan. Jelasnya keadaan jalan raya juga boleh menyumbang ke arah kemalangan.

Tidak seperti lebuh raya, kebanyakan jalan raya di negara kita tidak menyediakan. tempat rehat dan lampu jalan. Ketiadaan tempat rehat menjadikan pemandu terus memandu meskipun mereka keletihan dan mengantuk. Manakala jalan raya yang gelap pula boleh membawa risiko kemalangan yang tinggi. Rasa letih, mengantuk dan suasana menjadikan pemandu hilang tumpuan di jalan raya. Kealpaan yang sedikit menyebabkan jiwa melayang. Oleh itu, tempat rehat dan jalan yang disinari cahaya lampu adalah amat perlu untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Pelbagai faktor boleh dijadikan sebab berlakunya kemalangan di jalan raya. Namun, faktor penting yang sukar dinafikan ialah manusia itu sendiri. Pelaksanaan Sistem Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dan kempen-kempen keselamatan jalan raya di media massa boleh menyedarkan pemandu yang malang itu tidak berbau.