Kesan-kesan negatif industri pelancongan kepada masyarakat

Keindahan alam semula jadi seperti Pulau Langkawi, Genting Highlands, Pulau Sipadan, Tasik Kenyir dan Taman Negara begitu mengagumkan para pelancong. Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila 12.77 juta orang pelancong telah mengunjungi destinasi pelancongan di seluruh negara kita. Hasilnya, kerajaan telah berjaya memungut RM24 bilion daripada industri in Namun, di sebalik keghairahan kita mengaut keuntungan, beberapa kesan negatif juga timbul ekoran industri pelancongan yang berkembang pesat.

Antara kesan buruk yang timbul akibat perkembangan industri pelancongan ialah iakunya pembaziran. Walaupun industri ini menguntungkan, tetapi kos yang digunakan utuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan terlalu tinggi. Untuk membangunkan  Pulau Langkawi sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia, pihak kerajaan dan swasta terpaksa melabur sebanyak RM4.5 bilion. Kos yang terlalu tinggi ini tentulah lebih bermanfaat dan bererti seandainya disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang lebih mendesak. Contohnya, membina lebih banyak rumah kos rendah untuk mereka yang masih tidak berumah. Dengan cara ini, kehidupan masyarakat kita, terutamanya di kalangan mereka yang miskin dan terabai akan lebih terjamin.

Selain itu, industri ini juga turut memberi kesan buruk kepada para penduduk di kawasan-kawasan yang akan dimajukan sebagai destinasi pelancongan. Contohnya, ramai tuan tanah dan pengusaha chalet di Pantai Kok, Pulau Langkawi terpaksa melepaskan hak milik mereka kepada pihak-pihak tertentu untuk dibangunkan hotel lima bintang, padang golf dan pusat rekreasi. Walaupun pampasan diberikan, namun mereka sukar memulakan hidup baru tanpa tanah berpotensi seperti itu. Fenomena ini bukan sahaja akan menjadikan mereka tidak bertanah, bahkan lebih malang lagi apabila pampasan yang diterima itu lesap dalam sekelip mata. Akhirnya, mereka akan hidup menderita dan terumbang-ambing di tempat sendiri.

Industri pelancongan juga turut memberi kesan buruk kepada masyarakat tempatan. Ini kerana para pelancong asing, terutamanya telah membawa bersama mereka nilai-nilai hidup Barat yang tidak sesuai dengan selera tempatan. Ini termasuklah perbuatan bercumbu dan berbogel di tepi-tepi pantai. Selain itu, ada juga kalangan pelancong yang meminum arak dan melakukan seks dengan pasangan tanpa nikah. Unsur-unsur negatif ini tentulah mudah mempengaruhi pemikiran para remaja tempatan. Laporan Utusan Pengguna tentang gelagat anak muda Pulau Langkawi yang berseronok dengan meminum arak di tempat terbuka merupakan bukti betapa nilai-nilai hidup asing telah berjaya merobohkan benteng iman mereka yang masih mentah.

Selain itu, kepesatan perkembangan industri pelancongan telah mewujudkan banyak kes jenayah yang dilakukan oleh penduduk tempatan. Kedatangan pelancong asing dengan pelbagai penampilan ke negara ini telah mendorong mereka untuk menipu, mencuri, merompak dan merogol. Hal ini terbukti apabila berbagai-bagai media kita sering melaporkan tentang kehilangan bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Perkara yang sama juga berlaku apabila Berita Harian melaporkan kisah seorang warga Britain yang terpaksa membayar £350 kepada seorang pemandu teksi untuk perjalanan dari KLIA ke Salak Tinggi. Kes-kes jenayah ini boleh menjejaskan imej negara pada pandangan negara lain.

Akhir sekali, perkembangan industri pelancongan turut memberi kesan buruk kepada pembiakan flora dan fauna di negara kita. Alam semula jadi negara yang cantik telah dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk dijadikan lokasi pelancongan. Pembinaan chalet, rumah tumpangan dan prasarana lain telah menyebabkan banyak pokok yang terpaksa ditebang seperti yang berlaku di Pusat Peranginan Stong, Jelawang, Kelantan. Pembangunan sekitar Tasik Kenyir dan Tasik Pedu pula telah menyebabkan banyak kawasan daratan ditenggelami air. Eksploitasi ini boleh mengganggu pembiakan flora dan fauna di tempat tersebut.

Kesimpulannya, banyak kesan negatif yang timbul ekoran perkembangan pesat industri pelancongan. Namun, keburukan ini tidak seharusnya mematahkan semangat kita untuk terus bergiat dalam industri ini. Keindahan negara kita sewajarnya dimanipulasikan seoptimum mungkin demi meraih pendapatan untuk pembangunan negara.

Guru semakin kurang dihormati oleh masyarakat. Mengapa?

Guru ibarat dian yang membakar diri demi menerangi orang lain. Gurulah yang bertanggungjawab melahirkan tokoh-tokoh masyarakat di negara kita seperti Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Prof. Awang Had Salleh, Prof. Diraja Ungku Aziz dan ramai lagi. Begitulah besarnya jasa para guru. Namun, guru kian dilupakan pada masa sekarang. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena ini.

Salah satu sebab yang mewujudkan rasa kurang hormat masyarakat kepada guru ialah faktor peribadi guru itu sendiri. Sudah menjadi tanggapan umum bahawa guru boleh dijadikan model dalam kehidupan bermasyarakat. Namun, pandangan dan tanggapan positif masyarakat kian menipis apabila ada sesetengah guru yang melanggar etika keguruan. Ini termasuklah guru yang selalu ponteng kelas dan keluar dari kawasan sekolah atas urusan peribadi. Malah ada guru yang sanggup menghisap rokok dan bersembang dengan guru yang lain sambil diikuti ketawa hilai. Lebih malang lagi apabila ada guru yang telah memperdaya dan melakukan hubungan seks dengan pelajarnya. Segala perbuatan negatif ini tentunya boleh mengikis kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap guru.

Faktor guru yang bekerja sambilan selepas waktu sekolah juga menjadi punca mereka kurang dihormati. Misalnya, ada guru yang mengajar di kelas-kelas malam atau tuisyen, menjual di pasar-pasar malam, menjadi pengawal keselamatan, menjadi ejen syarikatsyarikat insurans dan lain-lain lagi. Oleh itu, ada kalangan masyarakat yang menganggap guru ini tamakkan duit dan mengabaikan tugas utamanya, iaitu mengajar dan mendidik. Bagi mereka, guru yang bekerja ini dianggap daif dan naif. Guru-guru ini dianggap setaraf, bahkan hidup susah seperti mereka juga. Oleh itu, guru bukanlah golongan yang perlu dihormati seperti dulu.

Di samping itu, guru juga kurang dihormati kerana dianggap gagal mendisiplinkan para pelajar di sekolah. Karenah pelajar yang tidak senonoh dan nakal, terutamanya di luar kawasan sekolah telah menimbulkan rasa kesal masyarakat terhadap guru. Gelagat pelajar yang ponteng, merokok, bergaduh dan bercium di kawasan awam menyebabkan mereka menempelak guru. Guru dianggap tidak menjalankan tugas dan makan `gaji buta’ sahaja. Peruntukan cuti yang kononnya banyak makin menambahkan in hati masyarakat kepada kalangan guru. Akhirnya, guru terus dipandang rendah oleh masyarakat pada hari ini.

Selain itu, ramai pelajar di sekolah hari ini masih tidak boleh membaca dan Bering kali gagal dalam peperiksaan, manakala ibu bapa pula begitu menaruh harapan agar anak mereka berjaya. Lantaran itu, pelbagai buku kerja dan alatan belajar disediakan oleh ibu bapa. Mereka juga sanggup menghantar anak-anak ke pusat tuisyen atau ke program-program motivasi demi memantapkan kebolehan anak masing-masing. Namun, mereka amat kecewa dan marah apabila mendapati anak yang menjadi harapan itu gagal dalam peperiksaan. Fenomena-fenomena ini tentulah boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif orang ramai, sekali gus i’nembuktikan lunturnya rasa hormat mereka kepada guru.

Faktor terakhir yang menyebabkan perasaan hormat masyarakat terhadap guru kian hilang ialah profesion keguruan itu sendiri. Kerjaya guru cuma berkaitan dengan usahausaha mengajar dan mendidik manusia agar berjaya dalam hidup mereka. Dunia guru telah membataskan pergaulan dan interaksi mereka dengan rakan setugas dan para pelajar sahaja. Peluang mereka untuk bergaul dengan masyarakat luar begitu terhad. Segala keterhadan ini akan membataskan peluang orang ramai untuk mengenali dan memahami peranan guru. Lebih ketara lagi apabila guru-guru tidak mempunyai apa-apa kuasa atau pengaruh terhadap urusan hidup masyarakat moden seperti sekarang. Oleh itu, tiada sebab mengapa guru perlu dihormati apatah lagi disanjungi.

Kita harus akur bahawa kejayaan yang kita kecapi sekarang adalah dimulakan oleh guru. Oleh itu, sanjungilah guru. Jangan kerana gelagat nakal segelintir guru kita jadikan alasan untuk menghukum guru. Janganlah kerana ‘seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit’.

Fenomena penagihan dadah di negara kita

Masalah dadah bukanlah satu perkara baru. Sebagaimana kita maklum, ia telah meresapi masyarakat kita sejak beberapa tahun lalu. Masalah ini bukanlah satu masalah yang terhad kepada negara kita sahaja malah masalah sedunia. Malangnya masalah dadah ini tidak begitu diambilberat sebagai satu perkara yang amat serius oleh masyarakat umum. Tetapi bagi keluarga penagih dadah, tidak ada sesuatu yang lebih menyiksa daripada kesan penagihan kepada penagih dan kepada ibu bapa, sanak-saudara dan keluarga keseluruhannya.

Ancaman dan keluh-kesah yang disebabkan oleh penagih terhadap keluarga menghilangkan sama sekali kebahagiaan hidup sehingga ibu dan bapa, anak dan isteri terus merana. Bagi masyarakat dan negara, bukan sahaja beban bertambah, tetapi sebarang urusan dan kerja tergendala. Sebenarnyalah dadah merupakan satu kecelakaan yang amat besar yang boleh menghapuskan kebahagiaan dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam negara. Bagi yang menjadi penagih, mereka sebagai bangkai bernyawa yang tidak berfaedah kepada diri sendiri atau sesiapa. Sekali terjatuh dalam lembah kehinaan ini, tidak mungkin mereka bangun.

Biasanya rakyat menunjukkan reaksi secara spontan apabila berhadapan dengan sesuatu wabak penyakit seperti taun, demam denggi dan sebagainya, dan mereka sanggup menggembeling tenaga, dan bekerjasama untuk mengatasinya kerana mereka sedar akan ancaman terhadap diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Begitu juga dengan ancaman komunis terhadap demokrasi, kita mendapat reaksi positif dari rakyat sehingga kita dapat membendungnya. Malangnya ancaman dadah tidak menimbulkan tahap reaksi yang seharusnya. Ada mereka yang masih memikirkan ancaman dadah tidak akan melibatkan diri mereka, dan mereka tidak nampak dengan jelasnya yang penagihan dadah boleh mengancam kesejahteraan diri mereka, bahkan kebahagiaan zuriat mereka.

Sejak beberapa tahun lalu Kerajaan dan juga beberapa badan sukarela telah mengambil tindakan untuk membendung dan membenteras ancaman dadah di kalangan masyarakat kita. Sungguhpun Kerajaan dan badan-badan yang berkenaan telah menjalankan tugas masing-masing dengan giat, statistik menunjukkan bahawa bilangan penagih dadah masih bertambah. Pada masa ini data penagih terkumpul semenjak tahun 1988 sehingga 2005 ialah seramai 289,763 orang. Jika nisbah bagi setiap orang penagih dadah yang didaftarkan terdapat pula sekurang-kurangnya tujuh lagi yang tidak didaftarkan, bilangan penagih dadah di negara kita adalah tidak kurang dari setengah juta orang, iaitu satu jumlah yang menakutkan. Bukan sahaja golongan ini menjadi beban kepada masyarakat, tetapi pengaruh mereka ke atas masyarakat umum adalah sangat buruk dan meluas. Masyarakat yang dikuasai oleh dadah akan dilanda oleh berbagai jenayah dan tidak akan mempunyai maruah dan peradaban. Sudah tentu masyarakat ini tidak akan berupaya mempertahankan diri atau membangunkan negara, sama ada dalam bidang material atau spiritual. Lambat-laun masyarakat ini akan hancur atau dikuasai oleh orang asing.

Menyedari bahawa pengedar dadah adalah penjenayah yang terbesar yang menyebabkan wabak penyalahgunaan dadah ini, Kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang yang keras. Pengedar dadah adalah sejenis penjenayah yang amat kejam dan tidak bertimbang rasa. Kerana tamak, mereka sanggup memperdaya dan menjerat kanak-kanak sekolah sehingga terdapat penagih yang berumur 10 tahun. Sekali terperangkap penagih tidak dapat melepaskan diri lagi. Secara tidak langsung kanak-kanak yang terperangkap ini sudah dihukum mati, kerana bukan sahaja hidup mereka tidak mungkin lagi sempurna tetapi umur mereka tetap disingkatkan. Demikianlah kesan dadah dan demikianlah kejam dan zalimnya pengedar dadah. Bagi mereka yang memikir hukuman terhadap pengedar adalah terlalu berat, tidak ada usaha yang lebih baik dari menyebar amaran kepada yang berminat menjadi pengedar bahawa mereka mungkin dihukum mati. Adalah terlalu lewat jika jenayah sudah dilakukan.

Peranan undang-undang dalam menghalang merebaknya penyalahgunaan dadah memang tepat, tetapi akhirnya yang betul-betul berkesan ialah kesedaran masyarakat tentang buruknya akibat penagihan dadah. Jika masyarakat sedar dan bertanggungjawab maka awal-awal lagi akan disemai dalam hati dan fikiran kanak-kanak tentang kehinaan dan bahaya menjadi penagih. Jika anak-anak kita membesar dengan kepercayaan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu jenayah yang dahsyat, yang lebih buruk dari mencuri dan menyamun, maka mereka akan mengelakkan diri dari terlibat dengan dadah. Jika ibu bapa mengambil berat bukan sahaja terhadap didikan anak-anak mereka, tetapi juga mengawasi gerak-geri mereka di zaman serba bebas ini, kemungkinan mereka menjadi penagih akan berkurangan.

Oleh itu setiap anggota masyarakat, terutama yang dewasa dan mempunyai anak atau adik dalam lingkungan umur yang merbahaya mestilah memikul tanggungjawab ini. Janganlah tunggu sehingga nasi menjadi bubur. Berhati-hatilah tentang gerak-geri mereka yang di bawah jagaan kita supaya bersama-sama dapat kita hapuskan gejala ini.

Dari segi rawatan dan pemulihan, banyak wang-ringgit dan tenaga telah disalurkan oleh Kerajaan untuk merawat dan memulihkan mereka yang telah dihinggapi oleh tabiat dadah. Malangnya sebilangan besar daripada penagih yang telah dirawat dan dipulihkan telah balik semula kepada tabiat lama dan menjadi penagih semula. Statistik di kalangan negara-negara maju menunjukkan hampir 90 peratus daripada penagih dadah yang telah dipulihkan berbalik kepada tabiat penagihan mereka dalam jangka masa 4 atau 5 tahun. Bukti-bukti seperti ini adalah sangat mengecewakan. Sungguhpun begitu kita tidak harus berputus asa dan mesti terus berikhtiar mencari jalan untuk menjamin pemulihan yang kekal dan berkesan. Sesungguhnya pemulihan yang kekal memerlukan kerjasama pihak ibubapa, keluarga penagih dadah dan masyarakat amnya.

Memandang kepada hakikat ini, peperangan melawan penyalahgunaan dadah perlulah ditumpu kepada “prevention” lebih dari yang biasa dibuat dahulu. Segala badan sukarela dan jabatan Kerajaan yang terlibat mestilah menyusun satu strategi baru yang bertujuan menyekat perkembangan tabiat ini. Selain dari usaha untuk menyekat kemasukan dadah dan pengedarannya, orang ramai mesti dikejutkan berkenaan bahaya dadah dan didorong supaya mengambil bahagian yang aktif dalam kempen pencegahan yang perlu diteruskan sepanjang masa.

Berhubung dengan ini, Kerajaan akan melaksanakan satu konsep baru dalam pemulihan penagih dadah melalui apa yang dinamakan ‘Pusat Serenti’. Mengikut konsep ini, kakitangan daripada beberapa agensi yang berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penagih dadah akan dipusatkan di satu tempat.Agensi-agensi berkenaan termasuklah Kementerian Kebajikan Am, Kementerian Kesihatan, tentera, polis, PEMADAM, Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Selaras dengan kempen yang sering dilancarkan, wajarlah kerajaan mengambil beberapa langkah bagi menentang gejala dadah ini. Kerajaan akan meminda peruntukan undang-undang dalam Akta Dadah Merbahaya 1952 bagi mengetatkan lagi undang-undang tersebut. Peruntukan undang-undang ini akan memberi kuasa yang lebih kepada pihak penguatkuasa. Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan satu Pasukan Petugas Anti Dadah di Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras semua kegiatan memerangi dadah di negara kita. Pasukan Petugas ini akan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang dipinjamkan dari berbagai Kementerian dan Jabatan yang terlibat dalam gerakan anti dadah. Cawangan-cawangan Pasukan Petugas ini akan juga ditubuhkan di semua negeri.

Agensi-agensi kerajaan dan badan-badan sukarela yang terlibat dengan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan, diharap dapat melaksanakan semua usaha bagi meningkatkan lagi mutu program pencegahan dadah kerana kepentingan sesuatu kempen ialah kesannya, dan kesannya bergantung kepada prestasi programnya.

Pendidikan hari ini gagal melahirkan insan yang seimbang?

Tujuan utama Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang diluluskan pada Disember 1988 adalah untuk memberikan pendidikan yang berterusan kepada rakyat demi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Namun begitu, ada kalangan anggota masyarakat yang mendakwa sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan kamil sebagaimana hasrat yang termaktub dalam FPN.

Jika dilihat pada situasi masyarakat sekarang, anggapan sedemikian memang ada benarnya. Kalau kita perhatikan, masyarakat hari ini hidup dalam keadaan tertekan. Tertekan oleh jenayah yang dilakukan oleh mereka yang dulunya pernah bersekolah. Gejala penagihan dadah, rompak, rogol, seks bebas dan penyakit Aids yang melanda masyarakat hari ini adalah antara bukti kegagalan sistem pendidikan kita. Dalam kes penagihan dadah misalnya, terdapat kira-kira 289,763 orang penagih dadah dikenal pasti sejak tahun 1988 hingga 2005. Begitulah juga dengan penghidap HIV dan Aids yang telah meningkat hampir 80,000 orang sehingga Disember 2008. Gejala-gejala ini berlaku disebahkan nilai murni yang diterapkan di sekolah gagal menarik mereka ke arah kebaikan.

Selain itu, jenayah kolar putih yang berlaku saban waktu dalam masyarakat kita juga turut menggambarkan kegagalan sistem pendidikan kita. Dari segi ilmu dan kemahiran, golongan ini merupakan yang terbaik. Kedudukan mereka yang stabil dan mewah masih tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan jenayah. Maka berlakulah kes kehilangan wang pelanggan di bank atau ATM, pemalsuan cek, pemindahan wang syarikat ke akaun peribadi, rasuah dan sebagainya. Semua ini berpunca daripada nilai agama dan moral yang rapuh bersarang di dada mereka.

Seterusnya masyarakat kita hari ini lebih senang mengamalkan cara hidup Barat atau moden dengan mengenepikan norma-norma hidup masyarakat Timur yang terpuji. Kini, masyarakat kita lebih bersifat individualistik dan materialistik. Semangat bergotong-royong, ziarah-menziarahi dan bertegur sapa sudah lenyap daripada fikiran mereka. Ramai kalangan masyarakat sekarang yang pentingkan hiburan, majlis-majlis jamuan dan parti yang biasanya diisikan dengan nyanyian, tarian, minuam keras dan bertukar-tukar pasangan untuk seks. Gaya hidup mereka kini sudah terbabas jauh daripada landasan sebenar. Semuanya kerana nafsu mereka yang gagal dijinakkan oleh sistem pendidikan kita.

Kegagalan sistem pendidikan kita juga dapat dikesan apabila masyarakat hari ini lebih mementingkan kejayaan dan kesempurnaan. Kejayaan memastikan seseorang itu akan dihormati dalam masyarakat. Demi mendapatkan kejayaan, seseorang itu tidak lagi menghormati orang tua. Malah ada yang sanggup memperhamba orang tua sendiri di rumah. Lebih malang lagi apabila terdapat anak yang rela ibu bapanya dihantar ke tempat lain untuk dibela oleh orang luar seperti ke Rumah Sri Kenangan, Cheras. Dengan cara ini, anak-anak tidak perlu menjaga ibu bapa mereka jikalau sakit. Mereka juga tidak payah lagi menyediakan kos untuk sara hidup ibu bapa. Apa yang lebih penting, mereka tidak lagi berasa malu apabila jiran-jiran dan kawan-kawan bertandang ke rumah.

Walau bagaimanapun, sistem pendidikan kita tidak gagal sepenuhnya dalam melahirkan manusia yang berguna kepada bangsa dan negara. Kemunculan tokoh-tokoh masyarakat seperti Dato’ Haji Hassan Din al-Hafiz, Profesor Diraja Ungku Aziz, Dato’ Dr. Awang Had Salleh, Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah dan ramai lagi telah membuktikan hakikat ini. Dengan ilmu yang dimiliki, mereka tampil untuk menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara. Dato’ Haji Hassan dengan ilmu dan bimbingan agamanya, Profesor Diraja Ungku Aziz dengan pelan tindakan ekonominya, Profesor Dato’ Dr. Awang Had Salleh dengan dunia pendidikannya dan Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah dengan bidang kaunseling dan motivasi. Semuanya ada peranan masing-masing dalam membangunkan minda masyarakat dan bangsa.

Kesimpulannya, kejadian rogol, bunuh, amuk, sumbang mahram, buang anak, Aids, rasuah dan sebagainya menjadikan kita sangsi akan keberkesanan sistem pendidikan kita. Beberapa tokoh akademik telah menyarankan agar sistem pendidikan kita dirombak semula ada juga rasionalnya.

Langkah-langkah memajukan industri pelancongan negara

Sepanjang panjang tahun 2008, Malaysia telah dikunjungi oleh 22 juta orang pelancong menyumbangkan pendapatan sebanyak RM48 bilion kepada negara. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil untuk memajukan lagi industri ini.

Langkah pertama yang boleh dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong adalah dengan mengadakan prasarana pelancongan yang selesa, jimat, mencukupi dan mudah. Penyediaan hotel, chalet, tandas, pengangkutan, bekalan air dan elektrik adalah penting untuk pembangunan industri pelancongan. Kerap berlaku pelancong terkandas atau terlewat sampai ke destinasi akibat masalah pengangkutan, misalnya untuk ke Taman Negara dan lain-lain destinasi di pedalaman. Kerap berlaku juga masalah tandas yang terhad dan berbau busuk, selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini.

Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia.

Langkah seterusnya yang boleh diambil ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Kementerian Pelancongan boleh mengadakan kempen ini di dalam atau di luar negeri. Pusat-pusat penerangan pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara harus ditambah. Ini bertujuan mendedahkan keindahan alam semula jadi dan keunikan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini kepada masyarakat luar. Manakala pelancong dalam negara pula boleh ditarik dengan mengadakan kempen-kempen pelancongan menerusi media ataupun risalah. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita. Ini sekali gus akan mendorong mereka untuk melancong dan berehat di sini.

Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.

Langkah menarik pelancong juga boleh dilakukan dengan mengadakan pameran kejohanan sukan bertaraf dunia. Im termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita.

Kesimpulannya, memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Namun, dalam keghairahan menarik pelancong, kita janganlah lupakan kesan buruk yang boleh menimpa masyarakat kita seperti gejala `black metal’, seks bebas dan minum arak.

Keganasan seksual amat membimbangkan


Keganasan seksual di negara kita kian menjadi-jadi dengan purata dua orang wanita dirogol setiap hari. Fenomena ini sudah tentu menggusarkan banyak pihak yang prihatin dengan gejala ini. Antara punca berlakunya keganasan seksual dalam masyarakat, terutamanya di kalangan remaja ialah kekurangan didikan dan penghayatan agama. Ramai remaja hari ini yang hidup terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar ibu bapa. Walaupun pendidikan agama dan moral diajar di sekolah, namun penghayatan mereka terhadap nilai-nilai terpuji ini terlalu cetek. Tanpa penghayatan agama dan moral menjadikan mereka bebas berbuat sesuka hati. Daripada menipu, dan menagih dadah, merokok, mereka menjadi lebih ganas dan sadis. Seterusnya berlakulah kisah remaja yang merogol, meliwat dan membunuh sama ada kanak-kanak, pelajar ataupun gadis.

Jenayah seksual juga dikatakan berlaku akibat pengaruh pelbagai bentuk hiburan dalam media. Televisyen, internet dan video cakera padat (VCD) lucah begitu banyak memaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai dengan norma hidup masyarakat. Televisyen, misalnya memaparkan banyak adegan ganas dan seksi. Kemudahan internet di kafe-kafe siber juga boleh menggerakkan mereka untuk melayari laman-laman web yang berkaitan dengan seks. Bagi yang kurang arif menggunakan komputer, mereka akan mencari dan membeli VCD lucah yang terjual di lebih 5000 pusat edaran. Perbuatan ini akan menjadikan mereka terangsang dan ghairah. Ekoran itu, akan berlakulah kejadian jenayah seksual di kalangan masyarakat.

Selain itu, jenayah seksual juga berlaku kerana sikap dan cara penampilan wanita itu sendiri dalam masyarakat. Dengan dunia dan negara yang semakin maju, wanita kian terdedah dengan macam-macam aktiviti dan kerjaya. Mereka mulai ‘pasang badan’ dengan gaya dan pakaian yang seksi. Ada yang berani memakai baju-T tanpa coli, senteng, menampakkan pusat dan sebahagian besar dada serta memakai seluar sendat dan kain terbelah Selain itu, ada juga kalangan wanita yang berani berjalan seorang diri di tempat sunyi dan menumpang kenderaan orang yang barn dikenali. Justeru, risiko mereka menghadapi jenayah seksual adalah amat tinggi.

Berbagai-bagai langkah boleh diambil untuk mengatasi gejala ini. Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah dengan mengembalikan nilai-nilai murni dan penghayatan agama dalam amalan hidup masyarakat. Pegangan agama yang kukuh akan membantu masyarakat hidup dengan lebih berhemah. Kefahaman tentang agama bakal melahirkan masyarakat yang tahu menghormati golongan wanita. Ini sekah gus akan mendorong golongan lelaki membela dan menjaga keselamatan kaum wanita. Rasa gentar dalam melakukan dosa dan api neraka akan menjadikan masyarakat kita lebih bertanggungjawab dalam hidup.

Langkah lain yang boleh diambil ialah mengurangkan sumber-sumber ganas dan seks yang boleh meracuni fikiran masyarakat. Rancangan televisyen yang dianggap ganas dan berahi seharusnya dikurangkan dan digantikan dengan rancangan tempatan yang berbentuk ilmu dan kerohanian seperti National Geographic, Forum Perdana, Hallaqah dan lain-lain lagi. Selain itu, serbuan-serbuan juga perlu dilakukan terhadap pusat-pusat edaran dan jualan VCD lucah di seluruh negara. Dengan cara ini, penularan gejala negatif seperti jenayah seksual dalam masyarakat dapat dihindarkan.

Kesimpulannya, pelbagai gejala negatif yang berlaku sekarang sebenarnya berkait rapat dengan kepupusan nilai-nilai kemanusiaan dalam kehidupan masyarakat kita dan kebanjiran unsur-unsur negatif dari luar. Dominasi unsur-unsur ini telah menggugat jati diri masyarakat.

Sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Itulah laungan penuh semangat oleh Allahyarham Bapa Kemerdekaan kita sewaktu negara menikmati kebebasan daripada belenggu penjajah. Laungan yang sama akan terus berulang. Namun, kelihatankah lagi bauran perasaan sayu, insaf dan gembira seperti dulu? Atau kita sekadar tidur sebantal, tetapi dilamuni mimpi masing-masing?

Sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun memang membawa makna yang besar kepada masyarakat dan negara. Sambutan ini memberi makna bahawa kita memiliki sebuah negara berdaulat. Usia kemerdekaan yang sudah mencapai 52 tahun ini tidak seharusnya melalaikan kita daripada mengingati negara. Sambutan ini diadakan agar rasa cinta akan negara di kalangan generasi baru dapat terus disemai Rasa cinta yang mendalam di kalangan rakyat akan menjanjikan negara terus mencapai kemajuan. Sebarang bibit perpecahan dan ancaman terhadap kestabilan negara akan dapat ditangkis.

Namun, sambutan hari kemerdekaan yang cuma sekali setahun itu begitu rapuh fungsinya dalam membina perasaan cinta akan negara. Usaha-usaha awal lagi berterusan pada semua peringkat usia perlu diadakan. Lantaran itulah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengesyorkan agar langkah membina semangat patriotik ini dimulakan di peringkat tadika lagi. Pengajaran mudah tentang negara, raja, pemimpin dan kemerdekaan, misalnya akan mampu membangkitkan rasa setia dan kasih mereka kepada negara. Bukankah ”melentur buluh itu mesti bermula daripada rebung”

Selain itu, langkah menanamkan rasa kasih dan cinta akan negara juga boleh disemadikan melalui sekolah ataupun universiti. Guru berperanan membantu pelajar menghormati bendera Jalur Gemilang dan lagu Negaraku yang dinyanyikan sewaktu perhimpunan. Manakala mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam dan Sejarah pula mempunyai potensi besar dalam memupuk rasa cinta dan jihad demi negara. Di peringkat lebih tinggi, Pasukan Latihan Pegawai-pegawai Simpanan (PALAPES) boleh diperluas ke Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan kolej. Dengan latihan dan disiplin yang tinggi, mereka mampu keluar sebagai tenaga profesional yang menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Masyarakat juga harus digerakkan agar mencintai negara. Hal ini dapat dilakukan dengan memperluas penubuhan dan peranan Rukun Tetangga (RT), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) dan lain-lain. Menerusi motivasi dan program-program latihan khusus, mereka mampu dilentur sebagai ahli masyarakat yang berdisiplin dan patriotik. Walaupun peranan mereka agak kecil, namun hares diingat daripada perasaan cinta kepada kampung dan penduduk sekitarlah berputiknya rasa cinta terhadap negara.

Akhir sekali, kempen-kempen dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan hari kemerdekaan perlu diperluas agar diterima oleh semua lapisan rakyat. Kempen-kempen dan aktiviti perlu diadakan sepanjang masa dan bukan hanya terhad pada Bulan Kemerdekaan sahaja. Hal ini kerana perasaan cinta kepada negara perlu dipupuk dan disemai dalam jangka masa panjang agar terus subur. Media massa seperti televisyen dan radio perlu kerap menyiarkan lagu-lagu patriotik. Aktiviti mempamerkan Jalur Gemilang di institusi pendidikan perlu diteruskan agar murid-murid mengenali dan mencintai bendera negara mereka. Program-program Larian Merdeka dan Perayaan Bulan Merdeka, misalnya holeh menarik minat masyarakat menghayati erti sebenar kemerdekaan. Kerjasama pihak swasta seperti Petronas yang mendermakan Jalur Gemilang dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang meraikan anak-anak merdeka akan meningkatkan lagi rasa cinta rakyat kepada negara.

Kesimpulannya, rasa cinta rakyat kepada negara sukar dipupuk dengan hanya menyambut hari kemerdekaan sahaja. Hari kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos itu seharusnya menjadi klimaks daripada rasa cinta yang telah dipupuk menerusi pelbagai cara sebelum ini. Usaha bersepadu dan berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak agar semangat nasionalisme di kalangan rakyat terus bersinar.