Amalan merotan di sekolah

Dewasa ini gejala salah laku di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi. Ini terbukti apabila banyak kes dipaparkan kepada umum melalui media cetak dan media elektronik. Pelbagai cara dan langkah telah diambil bagi membendung gejala ini, tetapi hasilnya tetap sama. Sesetengah pihak berpendapat amalan merotan merupakan tindakan yang berkesan ke arah membendung gejala salah laku di kalangan pelajar sekolah. Namun, keberkesanannya masih belum terbukti. Terdapat juga pandangan yang mendakwa bahawa amalan merotan meningkatkan lagi gejala salah laku di sekolah. Ini kerana pelajar yang dirotan akan berdendam serta berasa benci dan marah kepada orang yang merotannya. Sehubungan dengan itu, tindakan lain harus difikirkan dan dilaksanakan bagi membendung gejala salah laku di kalangan pelajar sekolah.

Salah satu tindakan yang dianggap berkesan dalam membendung gejala salah laku di sekolah adalah dengan memberi kaunseling kepada pelajar tersebut. Pendekatan kaunseling yang sesuai digunakan adalah dengan nasihat tentang baik dan buruknya melakukan salah laku sama ada kepada diri sendiri, sekolah atau masyarakat. Biasanya, apabila dinasihati secara lembut pelajar akan mengikut nasihat tersebut. Sebaliknya, jika pelajar itu dikenakan hukuman rotan, nescaya ia akan merosakkan pelajar itu sendiri. Sesetengah pelajar sudah lali dengan rotan menganggap merotan sebagai satu hukuman yang ringan. Oleh itu, mereka akan terus melakukan kesalahan atau melanggar peraturan sekolah.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh memanggil ibu bapa pelajar terbabit datang ke sekolah untuk berbincang tentang kelakuan dan disiplin anak-anak mereka. Dengan cara ini, pelajar itu akan cepat sedar dan insaf kerana mereka mungkin akan berasa malu dan takut kepada ibu bapa. Ibu bapa dan guru juga harus mencari jalan penyelesaian terbaik bagi anak-anak mereka supaya kesalahan itu tidak berulang lagi. Nasihat, dorongan dan perhatian daripada ibu bapa amat penting untuk membentuk perilaku pelajar yang baik.

Hukuman mendenda pelajar dengan tindakan yang berunsur positif juga boleh dilaksanakan untuk mengelakkan pelajar melakukan kesalahan yang berterusan. Contohnya, pelajar yang suka mengotorkan halaman sekolah boleh dijatuhi hukuman membersihkan sekolah untuk menginsafkan pelajar tentang peri pentingnya menjaga kebersihan.

Di samping itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan dan kelab di sekolah boleh menghindarkan pelajar daripada melakukan salah laku. Ini kerana apabila masa luang pelajar dipenuhi dengan kegiatan yang berfaedah, pelajar tidak akan berasa bosan untuk ke sekolah. Aktiviti ini juga bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, bahkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dengan pelajar; pelajar dengan guru dan guru dengan masyarakat. Hubungan yang sedemikian akan menimbulkan suasana aman dan bahagia di sekolah. Tambahan pula, pelajar akan merasakan diri mereka diperlukan dan dihargai.

Tindakan menggantung sesi persekolahan pelajar yang melakukan kesalahan juga wajar dilakukan. Ini kerana apabila seseorang pelajar itu digantung persekolahannya, dia akan ketinggalan dalam pelajarannya. Kesannya, pelajar terbabit akan cuba menjadi pelajar yang berdisiplin dan mematuhi segala peraturan sekolah. Tindakan ini juja akan menyebabkan pelajar berasa malu dan sedar atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Kesimpulannya, amalan merotan bukanlah satu tindakan yang berkesan untuk  membendung salah laku di kalangan pelajar sekolah. Ini kerana terdapat banyak lagi langkah atau tindakan yang wajar dilaksanakan bagi membendung gejala ini. Oleh  itu, pihak pentadbiran sekolah harus memikirkan semula sama ada sesuai atau tidak melaksanakan hukuman merotan di kalangan pelajar yang melakukan salah laku itu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: