Fenomena penagihan dadah di negara kita

Masalah dadah bukanlah satu perkara baru. Sebagaimana kita maklum, ia telah meresapi masyarakat kita sejak beberapa tahun lalu. Masalah ini bukanlah satu masalah yang terhad kepada negara kita sahaja malah masalah sedunia. Malangnya masalah dadah ini tidak begitu diambilberat sebagai satu perkara yang amat serius oleh masyarakat umum. Tetapi bagi keluarga penagih dadah, tidak ada sesuatu yang lebih menyiksa daripada kesan penagihan kepada penagih dan kepada ibu bapa, sanak-saudara dan keluarga keseluruhannya.

Ancaman dan keluh-kesah yang disebabkan oleh penagih terhadap keluarga menghilangkan sama sekali kebahagiaan hidup sehingga ibu dan bapa, anak dan isteri terus merana. Bagi masyarakat dan negara, bukan sahaja beban bertambah, tetapi sebarang urusan dan kerja tergendala. Sebenarnyalah dadah merupakan satu kecelakaan yang amat besar yang boleh menghapuskan kebahagiaan dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam negara. Bagi yang menjadi penagih, mereka sebagai bangkai bernyawa yang tidak berfaedah kepada diri sendiri atau sesiapa. Sekali terjatuh dalam lembah kehinaan ini, tidak mungkin mereka bangun.

Biasanya rakyat menunjukkan reaksi secara spontan apabila berhadapan dengan sesuatu wabak penyakit seperti taun, demam denggi dan sebagainya, dan mereka sanggup menggembeling tenaga, dan bekerjasama untuk mengatasinya kerana mereka sedar akan ancaman terhadap diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Begitu juga dengan ancaman komunis terhadap demokrasi, kita mendapat reaksi positif dari rakyat sehingga kita dapat membendungnya. Malangnya ancaman dadah tidak menimbulkan tahap reaksi yang seharusnya. Ada mereka yang masih memikirkan ancaman dadah tidak akan melibatkan diri mereka, dan mereka tidak nampak dengan jelasnya yang penagihan dadah boleh mengancam kesejahteraan diri mereka, bahkan kebahagiaan zuriat mereka.

Sejak beberapa tahun lalu Kerajaan dan juga beberapa badan sukarela telah mengambil tindakan untuk membendung dan membenteras ancaman dadah di kalangan masyarakat kita. Sungguhpun Kerajaan dan badan-badan yang berkenaan telah menjalankan tugas masing-masing dengan giat, statistik menunjukkan bahawa bilangan penagih dadah masih bertambah. Pada masa ini data penagih terkumpul semenjak tahun 1988 sehingga 2005 ialah seramai 289,763 orang. Jika nisbah bagi setiap orang penagih dadah yang didaftarkan terdapat pula sekurang-kurangnya tujuh lagi yang tidak didaftarkan, bilangan penagih dadah di negara kita adalah tidak kurang dari setengah juta orang, iaitu satu jumlah yang menakutkan. Bukan sahaja golongan ini menjadi beban kepada masyarakat, tetapi pengaruh mereka ke atas masyarakat umum adalah sangat buruk dan meluas. Masyarakat yang dikuasai oleh dadah akan dilanda oleh berbagai jenayah dan tidak akan mempunyai maruah dan peradaban. Sudah tentu masyarakat ini tidak akan berupaya mempertahankan diri atau membangunkan negara, sama ada dalam bidang material atau spiritual. Lambat-laun masyarakat ini akan hancur atau dikuasai oleh orang asing.

Menyedari bahawa pengedar dadah adalah penjenayah yang terbesar yang menyebabkan wabak penyalahgunaan dadah ini, Kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang yang keras. Pengedar dadah adalah sejenis penjenayah yang amat kejam dan tidak bertimbang rasa. Kerana tamak, mereka sanggup memperdaya dan menjerat kanak-kanak sekolah sehingga terdapat penagih yang berumur 10 tahun. Sekali terperangkap penagih tidak dapat melepaskan diri lagi. Secara tidak langsung kanak-kanak yang terperangkap ini sudah dihukum mati, kerana bukan sahaja hidup mereka tidak mungkin lagi sempurna tetapi umur mereka tetap disingkatkan. Demikianlah kesan dadah dan demikianlah kejam dan zalimnya pengedar dadah. Bagi mereka yang memikir hukuman terhadap pengedar adalah terlalu berat, tidak ada usaha yang lebih baik dari menyebar amaran kepada yang berminat menjadi pengedar bahawa mereka mungkin dihukum mati. Adalah terlalu lewat jika jenayah sudah dilakukan.

Peranan undang-undang dalam menghalang merebaknya penyalahgunaan dadah memang tepat, tetapi akhirnya yang betul-betul berkesan ialah kesedaran masyarakat tentang buruknya akibat penagihan dadah. Jika masyarakat sedar dan bertanggungjawab maka awal-awal lagi akan disemai dalam hati dan fikiran kanak-kanak tentang kehinaan dan bahaya menjadi penagih. Jika anak-anak kita membesar dengan kepercayaan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu jenayah yang dahsyat, yang lebih buruk dari mencuri dan menyamun, maka mereka akan mengelakkan diri dari terlibat dengan dadah. Jika ibu bapa mengambil berat bukan sahaja terhadap didikan anak-anak mereka, tetapi juga mengawasi gerak-geri mereka di zaman serba bebas ini, kemungkinan mereka menjadi penagih akan berkurangan.

Oleh itu setiap anggota masyarakat, terutama yang dewasa dan mempunyai anak atau adik dalam lingkungan umur yang merbahaya mestilah memikul tanggungjawab ini. Janganlah tunggu sehingga nasi menjadi bubur. Berhati-hatilah tentang gerak-geri mereka yang di bawah jagaan kita supaya bersama-sama dapat kita hapuskan gejala ini.

Dari segi rawatan dan pemulihan, banyak wang-ringgit dan tenaga telah disalurkan oleh Kerajaan untuk merawat dan memulihkan mereka yang telah dihinggapi oleh tabiat dadah. Malangnya sebilangan besar daripada penagih yang telah dirawat dan dipulihkan telah balik semula kepada tabiat lama dan menjadi penagih semula. Statistik di kalangan negara-negara maju menunjukkan hampir 90 peratus daripada penagih dadah yang telah dipulihkan berbalik kepada tabiat penagihan mereka dalam jangka masa 4 atau 5 tahun. Bukti-bukti seperti ini adalah sangat mengecewakan. Sungguhpun begitu kita tidak harus berputus asa dan mesti terus berikhtiar mencari jalan untuk menjamin pemulihan yang kekal dan berkesan. Sesungguhnya pemulihan yang kekal memerlukan kerjasama pihak ibubapa, keluarga penagih dadah dan masyarakat amnya.

Memandang kepada hakikat ini, peperangan melawan penyalahgunaan dadah perlulah ditumpu kepada “prevention” lebih dari yang biasa dibuat dahulu. Segala badan sukarela dan jabatan Kerajaan yang terlibat mestilah menyusun satu strategi baru yang bertujuan menyekat perkembangan tabiat ini. Selain dari usaha untuk menyekat kemasukan dadah dan pengedarannya, orang ramai mesti dikejutkan berkenaan bahaya dadah dan didorong supaya mengambil bahagian yang aktif dalam kempen pencegahan yang perlu diteruskan sepanjang masa.

Berhubung dengan ini, Kerajaan akan melaksanakan satu konsep baru dalam pemulihan penagih dadah melalui apa yang dinamakan ‘Pusat Serenti’. Mengikut konsep ini, kakitangan daripada beberapa agensi yang berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penagih dadah akan dipusatkan di satu tempat.Agensi-agensi berkenaan termasuklah Kementerian Kebajikan Am, Kementerian Kesihatan, tentera, polis, PEMADAM, Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Selaras dengan kempen yang sering dilancarkan, wajarlah kerajaan mengambil beberapa langkah bagi menentang gejala dadah ini. Kerajaan akan meminda peruntukan undang-undang dalam Akta Dadah Merbahaya 1952 bagi mengetatkan lagi undang-undang tersebut. Peruntukan undang-undang ini akan memberi kuasa yang lebih kepada pihak penguatkuasa. Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan satu Pasukan Petugas Anti Dadah di Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras semua kegiatan memerangi dadah di negara kita. Pasukan Petugas ini akan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang dipinjamkan dari berbagai Kementerian dan Jabatan yang terlibat dalam gerakan anti dadah. Cawangan-cawangan Pasukan Petugas ini akan juga ditubuhkan di semua negeri.

Agensi-agensi kerajaan dan badan-badan sukarela yang terlibat dengan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan, diharap dapat melaksanakan semua usaha bagi meningkatkan lagi mutu program pencegahan dadah kerana kepentingan sesuatu kempen ialah kesannya, dan kesannya bergantung kepada prestasi programnya.

About these ads

6 Respons

  1. apa tajuk plg ‘hot’?tip2 brguna ke utk bm2

  2. setiap orang y melakukn kslhn pya peluang utk kmbali ke pgkl jln….jgn hiraukn kt ejekn msyrkt,.

  3. nyatakan ststistik penyalahgunaan dadah di klgn guru sehingga 2011

  4. saya bekas pengguna dadah
    i live among u guys..
    its ok..
    u can say anything which is true..
    if not its ok..

  5. apa anda lahirkan adalah betul….
    sy suka dengar…

  6. tlog huraikan keburukan dadah dan golongan yang sering terjebak dengan dadah or paparan bekas penagih dadah………

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 41 other followers

%d bloggers like this: