Kementerian tambah elaun guru pedalaman

Oleh Roselan Ab Malek

KEMENTERIAN Pelajaran mengkaji menambah elaun guru di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas mengambil kira kesusahan dan kepayahan dialami mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selepas merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah dia yakin elaun itu wajar dikaji semula.

Mohd Puad berkata, ketika ini kementerian membayar elaun petugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 kepada guru mengikut kategori kawasan.

Menceritakan pengalaman ketika melawat di kawasan pedalaman di Pahang, Sarawak dan Sabah, baru-baru ini, beliau berkata, ada guru wanita sarat mengandung dan berkhidmat lebih lima tahun.

”Guru itu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak bangsa tanpa rasa bosan dan kecewa,” katanya.

“Saya juga dapat lihat rumah guru yang begitu uzur dan guru berbantalkan beg untuk tidur,” katanya.

Ketika lawatan itu juga, beliau bermalam di rumah panjang di Sarawak, manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Pahang beliau tidur di asrama untuk merasai sendiri suasana di sekolah pedalaman.

”Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing-masing.

“Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di daerah Lipis, baru-baru ini.

Antaranya ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom.

Mohd Puad berkata, kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan membuat kajian menyeluruh menentukan elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

”Kenaikan itu nanti sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.

”Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kementerian akan mewujudkan skim khas untuk mengambil lebih ramai Orang Asli dan pribumi berkelayakan menjadi guru terlatih.

Mohd Puad berkata, kementerian akan berbincang dengan Bahagian Pendidikan Guru untuk menetapkan kelulusan minimum bagi membolehkan masyarakat berkenaan memohon masuk ke institusi pendidikan guru seluruh negara.

Sumber: Berita Harian (29 Mei 2009)

SPM had 10 subjek

Oleh Ziauddin Sharuddin

Bolehkan guru tumpu pengajaran mata pelajaran teras: Muhyiddin

SEREMBAN: Mulai tahun depan, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.

“Langkah mengehadkan subjek itu turut memanfaatkan ibu bapa kerana ada yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen berikutan waktu pembelajaran subjek tambahan di sekolah tidak mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas meletakkan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek di sini, semalam.

Sistem persijilan terbuka sekarang tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran yang hendak diduduki calon SPM menyebabkan sesetengah pelajar mengambil sehingga 20 subjek. Tahun lalu, 48,000 pelajar atau kira-kira 10 peratus daripada 500,000 calon SPM mengambil lebih 10 subjek.

Muhyiddin berkata, selaras langkah mengehadkan subjek SPM, sistem penggredan peperiksaan itu juga akan diubah untuk memudahkan penilaian dalam penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Perubahan sistem penggredan ini penting supaya jika dapat A, kita mahu tentukan sama ada gred itu A, A+ atau A-. Begitu juga jika B, sama ada B, B+ atau B-. Ini supaya dalam soal mendapat biasiswa, pelajar dinilai berdasarkan bilangan subjek diambil dan gred diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, sistem penggredan baru itu turut meliputi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan. Sistem itu sudah dilaksanakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Sistem ini akan menjadikan keputusan peperiksaan lebih terperinci. Sebagai contoh di peringkat UPSR, kira-kira 48,000 murid mendapat A dalam semua subjek. Jadi dengan sistem baru, lebih mudah untuk pemilihan murid memasuki sekolah berasrama penuh,” katanya.

Alimuddin berkata, sistem penggredan itu masih dikaji untuk diperhalusi, tetapi kementerian tidak menghadapi masalah untuk melakukannya kerana hanya memerlukan sedikit penyusunan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya yang membincangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kelmarin, mahu usaha diperhebatkan untuk meningkatkan mutu pendidikan di luar bandar.

Usaha akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 untuk memperbaiki kemudahan prasarana di luar bandar serta menghantar guru terlatih dan berkelayakan, terutama bagi subjek bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Ini penting untuk merapatkan jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar serta antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Walaupun jurang itu tidak terlalu jauh, ada perbezaan ketara antara bandar dengan luar bandar. Ini dapat dilihat dari segi keputusan peperiksaan,” katanya yang sebelum itu melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan Bandar Enstek.

Antara komponen utama kompleks pendidikan berharga kira-kira RM1.3 bilion itu ialah Institut Aminuddin Baki, Kolej Tunku Kursiah, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Fasa pertama dijangka siap akhir tahun depan, manakala fasa kedua dilaksanakan dalam RMK-10. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Sumber: Berita Harian (29 Mei 2009)

Tidak lagi bergantung 100% peperiksaan – TPM

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 18 April – Sistem pendidikan negara bakal melalui transformasi penting tahun depan apabila tidak lagi bergantung 100 peratus kepada peperiksaan bagi menentukan gred pelajar.

Untuk itu, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) akan diperkenalkan yang memasukkan kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatan dalam kokurikulum sebagai penentu gred peperiksaan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dimulakan dengan murid prasekolah dan tahun satu.

SPPK akan menyebabkan penumpuan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikurangkan.

“Langkah ini secara keseluruhannya akan menyediakan modal insan yang holistik,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Teks ucapan Muhyiddin dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong sempena pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Tahap pencapaian pelajar buat masa ini diukur 100 peratus kepada prestasi mereka ketika menjawab soalan peperiksaan akhir tahun dan awam.

Ka Siong pada sidang akhbar selepas itu berkata, SPPK akan meletakkan penekanan terhadap proses pembelajaran secara menyeluruh dan bukan setakat menjawab soalan peperiksaan sahaja.

Katanya, langkah itu menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga kelihatan mengabaikan aspek-aspek lain yang sama penting.

Malah, kata beliau, untuk jangka panjang, kementerian juga sedang menilai sama ada perlu mengadakan sehingga tiga peperiksaan awam.

Alimuddin ketika ditemui menambah, di bawah SPPK, pemberian markah untuk pelajar akan terdiri daripada empat punca iaitu:

– Psikometri (sikap atau sahsiah seseorang pelajar)

– Kokurikulum

– Berasaskan sekolah (peperiksaan mingguan dan bulanan)

– Berpusat (Lembaga Peperiksaan menyediakan soalan standard peperiksaan di semua sekolah).

Jelas beliau, melalui SSPK, penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan lebih maksimum.

Katanya, pihak kementerian mencadangkan 70 peratus markah untuk UPSR adalah berasaskan pentaksiran dan hanya 30 peratus melalui peperiksaan umum.

Bagi PMR pula, katanya, 50 peratus berdasarkan pentaksiran dan 50 peratus lagi dalam peperiksaan manakala untuk SPM, 30 peratus berdasarkan pentaksiran serta bakinya melalui peperiksaan.

“Untuk SPM kita menumpukan lebih sedikit pada peperiksaan kerana keputusan itu penting bagi penempatan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Jelas beliau, projek perintis SSPK telah dilaksanakan melibatkan 50 sekolah pada tahun lalu dan 500 lagi pada tahun ini.

Katanya, maklum balas yang diterima termasuk daripada para guru adalah amat positif.

Beliau berkata, pengenalan SSPK tidak akan membebankan para guru kerana sebahagian pendekatan sistem itu sudah pun dimulakan.

“Sekarang ini pun dah buat, kita ada ujian mingguan, ujian bulanan dibuat oleh guru, tetapi semuanya hanya simpan di sekolah dan tidak dimasukkan dalam keputusan akhir peperiksaan.

“Macam itu juga dengan kokurikulum, sekarang pun ada pelajar jadi pengawas, main bola untuk sekolah, cuma tidak dimasukkan secara rasmi dalam penentuan gred peperiksaan awam pelajar,” katanya.

Jelasnya, sistem pentaksiran akan dimulakan dari tahun satu hingga enam untuk UPSR, tingkatan satu hingga tiga bagi PMR manakala tingkatan empat dan lima untuk SPM.

Katanya, kumpulan pertama pelajar yang akan dinilai UPSR mereka menggunakan kaedah SPPK ialah pada tahun 2015 iaitu apabila murid tahun satu 2010 menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.

Jelas Alimuddin, beliau yakin SPPK akan dapat mencapai objektifnya kerana ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sumber: Utusan Malaysia (19 April 2009)

Aib juvana remaja

Oleh Nurul Adlina Kamaludin dan Hafizah Iszahanid


Remaja makin bangga, seronok buat jenayah

MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

“Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara,” kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

“Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

“Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah.”

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

“Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah.”

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak – ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

“Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

“Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka,” katanya.

Ehsan: bminggu@bharian.com.my (12 April 2009)

Kurangkan sukatan pelajaran peperiksaan SPM


KUALA LUMPUR 18 Mac – Kementerian Pelajaran bercadang untuk mengurangkan sukatan pelajaran bagi beberapa kertas peperiksaan berbentuk subjektif dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr. Haili Dolhan berkata, cadangan itu bertujuan mempercepatkan proses penyemakan dan pengumuman keputusan peperiksaan SPM yang mengambil masa agak lama untuk diumumkan.

Katanya, cadangan berkenaan tidak bermakna akan memendekkan sukatan pelajaran sebaliknya bertujuan mengurangkan penumpuan kepada aspek penilaian keputusan SPM berasaskan peperiksaan.

”Sebagai contoh, keputusan SPM tidak lagi tertumpu kepada keputusan peperiksaan 100 peratus malah bergantung kepada kemahiran sampingan berkaitan mata pelajaran tertentu seperti menghasilkan kertas projek, amali dan sebagainya.

”Bagaimanapun, cadangan ini masih dalam rangka kajian dan memerlukan penelitian terperinci memandangkan kertas peperiksaan SPM mempunyai standard peperiksaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sepetang Bersama Media sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini semalam.

Cadangan itu ialah antara pendekatan yang akan digunakan kementerian tersebut untuk mengatasi masalah penyemakan dan pengumuman kertas peperiksaan SPM yang mengambil masa agak lama.

Menurut Haili, kementerian itu juga bercadang untuk menambah bilangan guru pemeriksa kertas peperiksaan SPM bagi mempercepatkan proses penyemakan.

”Buat masa ini, kita mempunyai bilangan pemeriksa kertas SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang agak kecil jika dibandingkan peningkatan jumlah pelajar dan mata pelajaran yang diambil.

”Ada pelajar yang mendaftar sehingga 20 mata pelajaran dalam SPM dan ini mengambil masa agak lama untuk disemak memandangkan jumlah pemeriksa yang terhad,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cadangan-cadangan ini masih dalam pertimbangan dan sekiranya relevan untuk diaplikasikan dalam peperiksaan SPM, ia akan diperkenalkan awal tahun depan.

Sumber: Utusan Malaysia (19 Mac 2009)

Guru asrama sepenuh masa


Oleh
Ahmad Azmey Talib

MASALAH disiplin di kalangan pelajar bukan isu baru. Seminar dan konvensyen mengenai disiplin sudah banyak kali diadakan bagi merumus serta mencari pendekatan terbaik menangani gejala ini. Masyarakat juga turut memberi pandangan dan cadangan melalui media mengenai isu disiplin.

Dari semasa ke semasa, Kementerian Pelajaran melaksanakan pelbagai langkah dan pendekatan bagi menangani masalah ini. Pada 1996 misalnya, kementerian mewujudkan jawatan kaunselor sepenuh masa di sekolah rendah dan menengah untuk memberi khidmat kaunseling kepada pelajar bermasalah.

Sekolah juga tidak terkecuali melaksana dan mematuhi arahan pekeliling dan peraturan mengenai disiplin yang dikeluarkan. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, membuat kenyataan bahawa Kementerian Pelajaran dijangka mewujudkan warden tetap atau sepenuh masa di semua sekolah berasrama penuh bagi memantapkan lagi pengawasan ke atas pelajar.

Kenyataan itu adalah ekoran beberapa insiden buli dan serangan yang dilaporkan berlaku di asrama atau di kawasan sekolah sejak kebelakangan ini. Insiden terburuk yang dilaporkan media bulan lalu membabitkan kematian ke atas seorang pelajar setelah koma beberapa hari akibat diserang oleh sekumpulan pelajar senior.

Rencana ini tidak bertujuan untuk menghuraikan punca atau sebab berlakunya masalah disiplin. Ia juga tidak bertujuan untuk membahaskan aspek kesan positif dan negatif tindakan punitif yang dilaksanakan sebagai langkah menangani pelanggaran disiplin.

Ruangan ini sekadar berkongsi sedikit pandangan mengenai keperluan mewujudkan guru asrama sepenuh masa di asrama. Pertama, saya melihat syor Timbalan Menteri Pelajaran sebagai suatu pendekatan positif.

Dr Wee juga pernah memberikan reaksi positif terhadap syor dibangkitkan seorang Pegawai Pelajaran Daerah ketika sesi perjumpaan antara Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pegawai kanan Jabatan Pelajaran Pahang di Temerloh baru-baru ini.

Kedua, dalam situasi dilema yang dihadapi sekolah berasrama pada masa ini, saya berpendapat jawatan guru asrama sepenuh masa adalah langkah tepat dalam mengatasi bukan saja masalah pengurusan sekolah untuk melantik warden sambilan di kalangan guru mata pelajaran, malah sudah sampai masanya kita memikirkan kepentingan aspek pembangunan keperibadian dan sahsiah dapat diterapkan secara berkesan di sekolah melalui pendekatan baru dan berbeza.

Tumpuan kepada pendidikan watak hendaklah dijadikan anjakan strategik bagi mencapai kecemerlangan diri pelajar di asrama.

Ketiga, saya juga melihat pendekatan ini sebagai suatu pendekatan berhemah dalam mendepani isu keruntuhan disiplin pelajar di asrama. Jika asrama mempunyai guru asrama sepenuh masa yang terlatih dengan model latihan bagi menzahirkan pembangunan karakter pelajar, saya yakin guru ini dapat memainkan peranan lebih fokus dalam aspek pembangunan karakter pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beberapa kali menegaskan bahawa pendidikan perlu berpaksikan di atas dua tiang iaitu character pillar dan intellectual pillar. Kecemerlangan akademik boleh dibangunkan di atas ciri-ciri keperibadian yang penting seperti sifat boleh dipercayai menghormati, bertanggungjawab, adil, penyayang, kecintaan kepada tanah air dan berpegang kepada nilai-nilai keagamaan.

Ciri-ciri karakter ini mampu membantu menangani kemerosotan disiplin dan keciciran moral pelajar dan seterusnya dapat menjana kecemerlangan akademik. Justeru, pendidikan moden hari ini amat memerlukan pendidikan idealis yang holistik, mencakupi aspek kerohanian, moral dan intelektual bagi mengimbangi pengaruh negatif yang melanda generasi pelajar hari ini.

Tidak dapat dinafikan semua guru memainkan peranan sebagai the moral crusaders. Namun demikian, dalam keadaan seperti dihadapi sekolah hari ini, tidak mungkin guru kelas yang memegang jawatan warden sambilan dapat memberi fokus kepada pengajarannya dan membantu pembangunan intelektual jika mereka ini dalam keadaan tertekan setelah berdepan tugas di asrama yang semakin mencabar.

Peranan ‘dua dalam satu’ ini tidak lagi sesuai dalam konteks situasi persekolahan hari ini. Kajian mengenai kesan tanggungjawab sebagai warden sambilan ke atas proses pengajaran dalam kelas di kalangan kelompok warden elok juga dilakukan bagi menyokong pandangan ini secara lebih saintifik.

Baru-baru ini saya cetuskan perkara ini kepada seorang guru yang baru bertugas di sekolah berasrama di kawasan Felda yang dilantik sebagai warden di sekolah berkenaan. Apabila dicetuskan kepada beliau syor Timbalan Menteri Pelajaran, reaksi spontan guru ini memperlihatkan dirinya sangat gembira dan menggesa supaya syor itu dilaksanakan segera. Saya dapat memahami konflik peranan dilalui guru baru berkenaan. Elaun RM240 sebulan yang diberikan kepada warden tidak menjadi daya penarik kepada guru, lebih-lebih lagi guru lama dan berpengalaman untuk memikul tanggungjawab sebagai warden. Lantas guru yang baru sajalah pilihan yang ada. Masalah mengisi jawatan warden ini sering kali dibangkitkan oleh pengetua.

Justeru, syor Dr Wee perlu diteliti secara serius. Aspek latihan guru dan keperluan jawatan menjurus kepada keperluan melaksanakan pembangunan karakter pelajar bukan saja bagi sekolah berasrama penuh, malah asrama lain perlu diperincikan. Kesedaran terhadap pembangunan karakter sebagai strategi menghadapi gejala sosial demi kecemerlangan insan harus menjadi dimensi baru dan pegangan semua pihak yang boleh mengubah hala tuju dan amalan pendidikan.

Mudah-mudahan, harapan kita untuk mencapai sasaran zero defect pelanggaran disiplin di kalangan pelajar dapat dicapai.

Datuk Ahmad Azmey Talib ialah Pegawai Tugas-Tugas
Khas
Menteri Pelajaran


‘Guna bahasa ibunda di sekolah rendah’

KOTA BHARU: Kerajaan disaran mencontohi sekolah aliran Cina yang menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah, sebelum bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar dua subjek itu pada peringkat menengah.Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata ia wajar dipertimbangkan Kementerian Pelajaran sebagai jalan keluar terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan pelbagai pihak sehingga membawa kepada demonstrasi jalanan.

Katanya, murid sekolah rendah sewajarnya mendapat didikan awal dalam bahasa Melayu, termasuk bagi subjek Sains dan Matematik bagi memupuk jati diri, identiti dan budaya Melayu sejak dari peringkat awal.


“Saya yakin bahasa Melayu mesti digunakan dalam memupuk identiti dan budaya bangsa Melayu sekurang-kurangnya mulai Tahun Satu hingga Lima, iaitu sama seperti bahasa Mandarin diajar di sekolah Cina terutama dalam Sains dan Matematik.

“Pendidikan yang diterapkan di sekolah Cina adalah sebegitu, sebab itu budaya dan bahasa mereka mantap. Kita tidak boleh lagi melaksanakan dasar ini secara cuba-cuba, sekarang perlu mantapkan (bahasa Melayu) mengikut Akta Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke kediaman Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Illias Hussin, Bachok, kelmarin. Hadir sama, Ketua Umno bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Rais berkata, sebagai parti terbesar orang Melayu, Umno perlu segera menangani isu PPSMI secara rasional termasuk berbincang dengan kesatuan guru dan cendekiawan Melayu bagi mencari penyelesaian terutama selepas isu terbabit mula meletus di jalanan.

“Sebaik-baiknya kita perlu berjumpa dengan golongan cendekiawan Melayu dan pejuang bahasa dan kita tak boleh nafi pandangan mereka kerana ini soal budaya dan identiti bangsa, bukan mudah untuk kita mengetepikan (pandangan) pihak terbabit.

“Perkara ini mesti difikirkan bersama oleh Umno kerana ia tertakluk dalam Perlembagaan iaitu perjuangan menerusi bahasa,” katanya.

Beliau berkata, PPSMI juga menyebabkan bahasa kebangsaan tidak berkembang kerana penulis enggan menghasilkan buku rujukan dalam bahasa Melayu memandangkan pelajar kini terpaksa merujuk kepada bahan bacaan dalam bahasa Inggeris.

“Penulisan buku dalam bahasa Melayu mesti banyak, sekarang kalau kita tulis (dalam bahasa Melayu) orang tak beli kerana bahasa Inggeris jadi bahasa penghantar di sekolah, bahasa kita tak berkembang (kerana) ilmu kedoktoran dan sains tak ditulis dalam bahasa Melayu.

“Sebaliknya, buku Mandarin laku, jadi kena kembali kepada dasar yang mana Akta Pelajaran menetapkan bahasa Malaysia menjadi bahasa penghantar dalam pengajaran di sekolah, mungkin ini menyebabkan timbul masalah kepada beberapa pihak, tetapi boleh diselaraskan semula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata Kementerian Pelajaran wajar mengambil kira pandangan pelbagai pihak terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan, sama ada meneruskannya dalam bahasa Inggeris atau ia dikembalikan dalam bahasa Melayu.

Sumber: Berita Harian (8 Mac 2009)