Karangan Bahasa Melayu

 

karangan bm

 

stpm2
spm2

pt32

upsr2

 

 

 

 

Advertisements

Karangan Bahasa Melayu SPM

spm.jpg  

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita
Kesan Pemanasan Global
Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan (Bahas)
Remaja kini semakin rosak moral mereka
Pusat tuisyen jadi pilihan ramai ibu bapa
Teknik Belajar Yang Berkesan
Punca-punca dan cara mengatasi kemalangan jalan raya
“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri” (Peribahasa)
“Genggam bara api, biar sampai jadi abu” (Peribahasa)
Nasi sudah menjadi bubur (Peribahasa)
Kebanyakan rakyat Malaysia kurang minat membaca.
Kacang yang lupakan kulitnya (Peribahasa)
Katak di bawah tempurung (Peribahasa)
Pita video cetak rompak banyak mendatangkan pengaruh negatif kepada golongan remaja.
Industri pelancongan adalah antara sektor yang menyumbangkan pendapatan terbesar kepada negara.

Masalah remaja lari dari rumah semakin berleluasa
Punca-punca berlakunya penderaan kanak-kanak
Media massa merupakan antara faktor berlakukan gejala sosial.
Jenayah di kalangan pelajar dan remaja. Kebaikan-kebaikan dan keburukan yang tercetus daripada muzik di negara ini
Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
Masalah disiplin pelajar semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jelaskan punca-punca dan langkah mengatasinya.
MASALAH REMAJA LARI DARI RUMAH BUKAN HANYA BERPUNCA DARIPADA KURANGNYA KASIH SAYANG IBU BAPA (PERBAHASAN)
Kemudahan Telefon Bimbit
Peranan Televisyen di Malaysia
Surat untuk tinggal di asrama (Surat Kiriman Rasmi)
Pertambahan Saluran Televisyen yang Mengutamakan Unsur Hiburan (Pidato)
Pengaruh Televisyen Terhadap Masyarakat (Pidato)
Akibat Tidak Membaca Bahan Yang Bermutu
Punca-punca dan cara-cara mengatasi masalah disiplin pelajar
Program Televisyen Karut dan Tahyul Kepada Masyarakat
Nilai-nilai murni semakin dilupakan oleh masyarakat hari ini.
Kekeluargaan Dalam Kehidupan Masyarakat Dalam Era Globalisasi ini
Kebaikan-kebaikan dan keburukan yang tercetus daripada muzik di negara ini




 

 

 

 

 

 

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

 

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
 
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
 
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
 
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
 
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
 
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
 
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

 

Sumber: Cikgu Anelyza SPM

 
 
 
 
 

Kesan Pemanasan Global

 

Bumi kini sedang mengalami “demam panas” akibat pemanasan global yang turut membawa bersamanya iklim dunia yang semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai malang.

 

Tetapi, bagaimanakah pula bagi mereka yang terselamat? Adakah mereka bebas daripada sebarang ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi? Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun.

 

Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan jumlah gas-gas karbon yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.

 

Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk teruk daripada biasa. Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang ‘kepanasan’ ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi daripada kebiasaannya.Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini, sementara negara seperti Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005. Pada tahun 2006, sepuluh negara yang paling teruk dilanda bencana alam ialah Filipina, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, Ethiopia, India, China, Afghanistan, Amerika Syarikat dan Romania.

 

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin teruk jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak dan warga emas yang sering dilihat menjadi mangsa pertama kejadian bencana.Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’.

 

Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit pneumonia atau radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain. Sesetengah kawasan turut berhadapan dengan masalah dehidrasi yang teruk berikutan kemarau panjang yang berpunca daripada gelombang panas dan peningkatan paras air laut yang mencemari sumber air tawar dengan air masin dari laut.

 

Peningkatan suhu juga akan menggalakkan pembiakan vektor seperti tikus, nyamuk,kutu dan pepijat. Penyebaran vektor seperti nyamuk menyebabkan penyakit seperti malaria, denggi dan demam kuning yang mula dicatatkan di Eropah dan kawasan yang dahulunya beriklim sejuk. Hal ini terbukti apabila negara beriklim sejuk seperti Nepal dan Bhutan mencatatkan kes malaria pertama di kawasan-kawasan tanah tinggi dua negara tersebut. Sementara itu, tikus juga dilihat dapat membiak dengan lebih mudah dalam cuaca panas dan lembab ini. Haiwan ini mampu menyebarkan penyakit Leptopirosis dan Legionellosis yang disebarkan melalui kuman yang ditinggalkan bersama urin atau najis tikus.

 

Ketika banjir, tahap kebersihan amat sukar untuk dijaga terutama kebersihan air. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang rami kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan segai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , disentri dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan kes bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.

 

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.

 

Tanggungjawab memulihara alam sekitar perlu dipikul oleh semua penduduk dunia dan tidak sepatutnya dibiarkan kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata pepatah ‘yang ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul’. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana ‘sikap tamak membawa kerugian’. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.

Oleh: Cikgu Anelyza SPM

Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan (Bahas)

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, yang saya hormati para panel hakim, para pencadang sekalian, dan para hadirin yang saya muliakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pada hari ini, kita akan memahami tajuk perbahasan kali ini iaitu ‘Penggunaan Internet Lebih Banyak Memberi Kebaikan daripada Keburukan’. Saya sebagai pembangkang amat tidak bersetuju dengan penyataan tajuk tersebut. Bagi saya ia lebih membawa keburukan daripada kebaikan.

Para hadirin sekalian,

Sebelum saya meneruskan hujah saya, izinkan saya menerangkan apakah yang kita faham dengan Internet. Internet boleh kita fahami sebagai satu sistem maklumat global melalui telekomunikasi yang semakin canggih kini. Segala bentuk maklumat dapat kita perolehi daripada penggunaan Internet ini. Tetapi ternyata ia membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Yang pertama sekali ialah ia menyemai sikap buruk individu. Maklumat tanpa sekatan di dalam Internet ini memberi peluang kepada pelajar Internet dan sesiapa sahaja untuk mengetahui apa yang berlaku dan terkandung di dalam Internet. Lebih malang lagi apabila bahan yang diperolehi mampu merosakkan akhlak. Contohnya, melalui Internet ini, orang ramai suka mengetahui sesuatu yang dilarang seperti melayari laman web tentang seks dan cara hidup orang asing yang tidak sesuai dengan budaya kita. Malah mereka cuba meniru aksi dan tingkah laku tidak baik sebegini. Hal ini memberi kesan yang tidak baik dan boleh merosakkan cara hidup kita yang bersopan-santun dan bertatasusila.

Hujah saya yang kedua ialah bagi kanak-kanak sekolah, Internet membolehkan mereka bermain permainan yang terkini. Selain membuang masa, mereka juga membazirkan wang. Mereka lupa pada pelajaran akibat terlalu leka dengan permainan yang menjadi minat mereka. Masa mereka banyak dihabiskan di depan komputer dan hal ini boleh menyebabkan hubungan mereka dengan ibu bapa dan keluarga menjadi renggang. Hal ini bukan sahaja berlaku pada kanak-kanak sekolah tetapi bagi pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi. Keseronokan dan tumpuan pada aktiviti Internet Relay Chatting (IRC) yang berlebihan menyebabkan mereka leka pada Internet dan tidak memberikan tumpuan yang sebaiknya pada pelajaran. Ada antara mereka berbual kosong atau sekadar memulakan perkenalan yang akhirnya tidak mendatangkan faedah tetapi menyebabkan mereka menanggung bil penggunaan Internet yang tinggi.

Hujah saya yang ketiga, ialah hubungan sosial di dalam masyarakat yang semakin rapuh akibat terlalu memberi tumpuan kepada penggunaan Internet. Pada mereka yang dapat melayari Internet di rumah, mereka akan jarang keluar bergaul dengan orang lain dan masyarakat kerana terlalu asyik melayari Internet sehingga kegiatan masyarakat pun tidak diambil perhatian. Malah, di pusat-pusat Internet, kegiatan tidak baik boleh wujud akibat penggunaan Internet. Contohnya, kewujudan kegiatan perjudian melalui Internet. Hal ini tidak dinafikan apabila terdapat aktiviti penjudian yang meliputi banyak tempat dan kemungkinan juga berlaku pengaduhan apabila aktiviti berjudi dan bertaruh dijalankan.

Keadaan kesihatan juga kurang diambil perhatian. Selalunya pengguna Internet meluangkan masa yang lama untuk melayari Internet. Adakalanya sampai lewat malam dan tidak kurang pula hingga awal pagi. Hal ini menyebabkan mereka kurang tidur dan rehat. Akibatnya, kesihatan mereka tidak terjejas malah penggunaan Internet yang berterusan tanpa rehat juga boleh menyebabkan mata menjadi letih dan memberi kesan sampingan.

Antara keburukan lain akibat penggunaan Internet ialah kemungkinan berlaku penyebaran maklumat-maklumat palsu tentang sesebuah negara yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. Keselamatan sebuah negara boleh menjadi porak-peranda apabila ada antara masyarakat dunia yang mungkin mempercayai maklumat-maklumat palsu yang mereka perolehi melalui Internet dan yang paling ditakuti sekali ialah penyalahgunaan Internet untuk mengelirukan orang ramai di dalam bidang agama. Terdapat berbagai-bagai maklumat tentang agama yang dapat kita perolehi melalui Internet. Ada yang diiktiraf oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama dan tidak kurang pula didatangi oleh individu atau kumpulan yang menyebarkan maklumat palsu tentang agama kepada orang lain.

Akhirnya sebelum saya mengundur diri, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa Internet lebih banyak membawa keburukan kepada orang ramai. Penggunaannya perlu dipantau sentiasa. Bak kata pepatah ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya’.

Sekian sahaja, terima kasih.

Remaja kini semakin rosak moral mereka.

Kerosakan moral bermaksud keruntuhan akhlak dan nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Kerosakan moral selalunya lebih difokuskan terhadap golongan remaja. lni dapat dilihat pada muda-mudi kini yang terlibat dalam kejadian yang tidak baik di mana mereka tanpa segan silu mengamalkan gaya hidup yang bebas seperti berpeleseran, terlibat dengan jenayah. penagihan dadah, budaya lepak, bohsia, dan bermacam-macam lagi masalah sosial. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana muda-mudi merupakan aset yang paling penting dalam sesebuah negara. Sekiranya mereka terus dibiarkan hanyut dalam mengamalkan gaya hidup begini sudah pasti negara akan mengalami kerugian yang bukan sedikit.

Keruntuhan moral di kalangan remaja berlaku disebabkan kecuaian para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Ibu bapa zaman sekarang lebih memfokuskan kepada mencari mengumpul harta kekayaan daripada menumpukan perhatian kepada anak-anak. Didikan agama semakin diabaikan sebaliknya para ibu bapa lebih berbangga sekiranya anak-anak mereka mahir dalam bidang muzik ataupun mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Kurangnya pendidikan agama yang menjadi benteng daripada melakukan kegiatan yang tidak bermoral membuatkan anak-anak zaman sekarang lebih mudah dipengaruhi oleh budaya hidup tidak baik. Mereka senang dipengaruhi untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat dan agama.

Selain itu peluang pekerjaan yang terbuka luas telah menggalakkan ramai pasangan suami isteri bekerja. Lebih-Iebih lagi kos sara hidup zaman sekarang semakin tinggi membuatkan ibu bapa tidak ralat untuk meninggalkan anak-anak di rumah bersama pembantu rumah. Keadaan ini membuatkan para remaja ketandusan kasih sayang dari ibu bapa dan merasa bosan hidup di rumah. Untuk mengelakkan kebosanan mereka akan keluar berjumpa dengan rakan-rakan sebaya yang pastinya tergolong dari pelbagai jenis ragam dan perangai kerana berbeza latar belakang keluarga pendidikan. Secara tidak langsung sedikit demi sedikit mereka akan terpengaruh dengan gaya hidup rakan-rakan mereka yang tidak sihat dan akhirnya terlibat dengan gaya hidup yang tidak bermoral.

Selain daripada itu, pihak media massa juga terlibat dalam gejala keruntuhan moral di kala muda-mudi. Pihak media massa patut dipersalahkan kerana banyak memberi publisiti ke golongan artis. Ramai di kalangan artis ini yang tidak sesuai dijadikan model kerana peribadi mereka kurang elok. Lantaran remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh lebih-Iebih lagi kerana beranggapan bahawa apa yang dilakukan oleh artis pujaan mereka adalah betul, mereka mengikut perilaku artis-artis idola mereka yang tidak bermoral itu. Kemasukan filem-filem barat juga banyak memberi kesan negatif kepada kehidupan golongan muda-mudi. Rata-rata filem barat menyelitkan unsur-unsur seks, pergaulan bebas, pergaduhan, dan sebagainya yang bertentangan dengan budaya timur. Filem-filem ini berupaya mempengaruhi perlakuan dan pemikiran para remaja sehingga membentuk sikap menentang dan tidak suka dikongkong dalam diri remaja.

Remaja juga adalah golongan yang berdarah panas. Mereka pantang dicabar untuk melakukan sesuatu. Mereka adalah golongan yang kreatif. Malangnya kerana silap memilih kawan idea mereka tu diluahkan pada tempat yang tidak sewajarnya. Contohnya, untuk membuktikan bahawa mereka adalah hero mereka sanggup memecah masuk ke rumah orang, melakukan aksi-aksi yang ganas, merbahaya, dan sebagainya.

Selain itu, tiada ketenangan hidup di rumah juga adalah faktor berlakunya keruntuhan moral di kalangan remaja. Rumah yang sempit dan ahli keluarga yang ramai menyebabkan mereka lebih selesa mencari ketenangan hidup di luar rumah. Apabila berada di luar rumah mereka bebas untuk melakukan apa sahaja aktiviti kegemaran tanpa sekatan atau halangan daripada ibu bapa. Sudah tentu ini akan memberi mereka peluang dan kebebasan untuk mencuba dan melakukan apa jua aktiviti.

Oleh sebab keruntuhan moral di kalangan para remaja berada di tahap yang membimbangkan, eloklah pihak-pihak yang berkenaan membuka mata bagi merangka satu medium yang sesuai untuk para remaja meluahkan idea mereka. Ibu bapa seharusnya lebih prihatin dengan kehendak dan keinginan anak-anak mereka. Begitu juga dengan anggota masyarakat, seharusnya mereka tidak menutup mata apabila melihat adanya perlakuan sumbang yang dilakukan oleh para remaja. Pihak kerajaan pula hendaklah melakukan sesuatu agar generasi harapan negara ini tidak terus hanyut dan tenggelam dalam keseronokan menjalani aktiviti tidak bermoral mereka. Semua pihak harus tampil bekerjasama agar aset penting negara ini tidak dilekakan dengan aktiviti yang akan merugikan diri dan menggelapkan masa depan mereka.

Pusat tuisyen jadi pilihan ramai ibu bapa

Memang benar bahawa ramai ibu bapa kini gemar menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Hal ini kerana bagi mereka, belajar di pusat tuisyen boleh memberikan keputusan peperiksaan yang lebih baik.

Sesetengah keadaan, pusat tuisyen menyediakan kemudahan yang lebih selesa. Mereka juga menyediakan kerusi dan meja yang mahal dan menarik. Malah pentadbir pusat tersebut mampu menyediakan alatan yang lebih canggih berbanding di sekolah pada hari ini. Terdapat juga pusat tuisyen yang menyediakan projektor LCD, slaid, dan penggunaan transparensi ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Dengan ini, pelbagai kemudahan yang disediakan dapat menarik minat pelajar untuk belajar.

Pengusaha pusat tuisyen yang kaya, mampu menyediakan alat penghawa dingin di setiap bilik darjah yang digunakan. Apabila suhu di dalam bilik darjah lebih sejuk maka sudah tentu suasana persekitaran bilik darjah lebih nyaman. Hal ini memberikan situasi pembelajaran dan pengajaran yang lebih menarik. Malah para pelajar tidak akan berasa cepat mengantuk berbanding di sekolah yang rata-ratanya tidak menyediakan kemudahan kipas. Oleh itu, sudah tentu para pelajar dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran.

Selain daripada itu, para pengusaha yang inginkan keuntungan, akan menyediakan perkhidmatan yang baik. Mereka sanggup memberikan bonus kepada pekerja mereka supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan berkesan. Seandainya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti lebih ramai lagi pelajar akan datang untuk belajar di pusat tuisyen mereka. Hal ini seterusnya akan menaikkan nama syarikat mereka. Justeru, sudah tentu ini akan menambahkan pendapatan mereka kerana keuntungan mereka bergantung kepada para pelajar tersebut semata-mata.

Terdapat juga pusat-pusat tuisyen yang sanggup menawarkan gaji yang lumayan kepada para tenaga pengajarnya. Mereka dibayar gaji permulaan yang tinggi bagi menarik millet guru-guru untuk mengajar di pusat tuisyen mereka. Oleh sebab itu, Tarnai guru sekolah kerajaan yang sanggup mengajar di pusat tuisyen untuk mendapatkan gaji tambahan. Terdapat juga guru sekolah kerajaan yang berhenti kerja dan berkhidmat di pusat-pusat tuisyen.

Selain daripada itu, terdapat juga guru-guru lepasan universiti yang bekerja sebagai tenaga pengajar tetap di pusat tuisyen. Oleh itu, mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas pasti akan mengembangkan ilmu pengetahuannya kepada para pelajar. Guru-guru tersebut akan menjadi contoh yang berguna kepada para pelajar di situ.

Bagi pentadbir yang bijaksana, mereka menyediakan sukatan pelajaran yang lebih canggih daripada di sekolah. Hal ini kerana sukatan pelajaran di sekolah hanya bergantung kepada sukatan yang telah ditetapkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum sahaja. Malah sukatan ini telah digunakan sejak 20 tahun yang lalu. Pentadbir pusat tuisyen yang inginkan kemajuan dan berdaya saing telah menggunakan sukatan pelajaran yang terkini dan efisien untuk meningkatkan mutu pengajaran dan kecemerlangan pelajar.

Kita memang sedia mengetahui bahawa para pelajar yang belajar di pusat tuisyen memang inginkan kemajuan. Seandainya guru-guru di sekolah mereka mengajar sambil lewa sahaja sudah tentu para pelajar yang lemah akan menghadapi kesukaran untuk memahami isi pelajaran yang diajar. Hal ini dapat dtbuktikan apabila terdapat sekolah-sekolah yang menghadapi kekurangan guru untuk mengajar. bagi mengatasi masalah tersebut, care penyelesaiannya adalah dengan mengambil guru sementara untuk mengajar di sekolah berkenaan. Oleh sebeh guru sementara ini tidak mempunyai pengalaman, maka sudah pasti mereka tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Selain daripada itu guru sementara ini tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Mereka juga tidak diberi bimbingan khusus untuk menarik minat pelajar ketika sesi pengajaran dijalankan. Dengan ini, kekurangan guru di sekolah-sekolah diselesaikan seperti melepaskan batuk di tangga. Apabila mereka mengalami masalah sedemikian maka sudah tentu para ibu bapa pelajar akan memilih pusat tuisyen sebagai tambahan kepada pembelajaran anak-anak mereka.

Sesetengah pelajar yang lemah begitu sukar untuk memahami isi pelajaran yang diajar oleh guru di sekolah. Masalah ini berlaku terutama kepada subjek-subjek yang sukar seperti Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains Tulen. Oleh sebab itu, bagi mengatasi masalah para pelajar yang tidak faham isi pelajaran pada hari itu, jalan keluarnya adalah dengan belajar di pusat tuisyen.

Hal ini ditambah lagi apabila ibu bapa tidak dapat memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak mereka. Kerana bukan semua ibu bapa berpelajaran tinggi. Selain itu, sesetengah ibu bapa tidak memahami isi pelajaran bagi satu-satu subjek. Oleh itu, mereka sukar untuk menerangkan isi pelajaran kepada anak-anak mereka. Pilihan yang terbaik kepada ibubapa ini ialah menghantar anak-anak ke pusat tuisyen yang terletak berhampiran dengan mereka.

Oleh itu, ramai ibu bapa memilih pusat-pusat tuisyen sebagai tempat bagi menambahkan ilmu pengetahuan anak-anak mereka. Jelaslah bahawa ibu bapa lebih berminat menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen berbanding di sekolah bagi menyelesaikan masalah pelajaran anak-anak.