STATISTIK

Advertisements

Aib juvana remaja

Oleh Nurul Adlina Kamaludin dan Hafizah Iszahanid


Remaja makin bangga, seronok buat jenayah

MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

“Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara,” kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

“Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

“Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah.”

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

“Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah.”

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak – ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

“Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

“Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka,” katanya.

Ehsan: bminggu@bharian.com.my (12 April 2009)

Benarkah wanita sensitif, lelaki ego?


Oleh: NOOR HASLIZA NUSI

LELAKI antara golongan yang paling peka terhadap perubahan sikap seorang wanita mahupun kekurangan yang ada pada diri wanita terbabit, lebih-lebih lagi insan paling dicintainya.

Sikap wanita yang terlalu cerewet, sentiasa inginkan kebenaran daripada penafian, keputusan sentiasa berpihak kepadanya dan tidak pernah berasa mengalah malah lebih bersikap egoisme, antara karakter utama wanita yang seringkali membuatkan lelaki berasa putus asa untuk memahami kemahuan mereka.

Namun, di sebalik ketidakpuasan hati itu, anda seharusnya mengkaji dulu akan kebenaran yang ingin mereka sampaikan dalam meniti pasca percintaan. Intim berkongsi mitos wanita pada mata lelaki dan kenyataan di sebalik kesulitan yang dihadapi.

Wanita cerewet dalam pelbagai perkara. Contohnya, idea, pendapat, cara kerja, makanan, tempat tinggal mahupun pemilihan pasangan yang ideal.

Menurut penelitian, setiap wanita mempunyai kemampuan dalam penggunaan bahasa yang baik jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Ini dapat dibuktikan apabila dia mula bicara. Pengunaan kedua-dua sisi otak secara serentak dengan memikirkan pro dan kontra sesuatu perkara, membuatkan wanita mampu menangani masalah yang dihadapi. Berbanding lelaki, mereka acap kali mencari jalan yang singkat dalam menentukan dan menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara yang berlaku dalam satu masa yang sama.

Tetapi, lelaki mempunyai kemampuan dalam penerimaan suatu informasi atau teguran dengan tabah dan profesional, sedangkan si wanita sering terbawa-bawa masalah yang dihadapinya itu ke dalam pemikiran.

Diingatkan, jangan sesekali mengutuk atau mencaci akan kelemahan pasangan anda kepada orang lain. Ia dapat diselesaikan dengan cara komunikasi dua hala, antara jalan terbaik untuk kamu mengatasi masalah yang dihadapi.

Kaum lelaki begitu sukar untuk memahami keinginan wanitanya, memandangkan pasangannya itu tidak pernah berasa puas dengan segala pengorbanan yang mereka curahkan selama ini.

Sesungguhnya anda sebagai kaum wanita perlu berpuas hati dan berasa bangga dengan apa jua penghargaan yang telah pasangan berikan. Tetapi, sebagai wanita, dia merasakan bahawa pasangannya dapat melakukan yang terbaik lagi.

Sekecil mana pun usaha yang si jejaka lakukan demi menyenangkan hidup anda, beri penghargaan terhadapnya.

Wanita terlalu sensitif sehingga tidak dapat menahan sikap rasionalnya.

Sedar ataupun tidak, wanita lebih banyak berkomunikasi dengan perasaan berbanding kaum lelaki. Kajian yang dilakukan oleh seorang neurologi dari University of Pennsylvania, Professor Ruben Gur mendapati, 70 peratus tenaga yang digunakan dalam otak lelaki akan berhenti ketika dalam keadaan istirehat. Sedangkan otak wanita, 90 peratus tenaganya akan tetap berkerja. Ia membuatkan wanita cepat sensitif dan dapat berfikir rasional dalam suatu waktu yang sama.

Wanita sentiasa mengawal pergerakan, kehendak dan cita rasa kaum lelaki, sehingga berjaya menguasai kemampuan mereka.

Wanita bukannya dilahirkan untuk mengawal setiap pergerakan kaum Adam. Mereka hanya ingin memastikan sahaja bahawa si dia, insan paling dicintai berada dalam keadaan yang baik dan terjaga.

Malah, mereka juga ingin menjadi insan pertama yang hadir di saat pasangannya menghadapi masalah, kesepian, dan kedukaan.

Benarkah wanita tidak perlukan kasih-sayang seorang lelaki?

Untuk menjadi seorang superwomen bukannya bererti wanita tidak memerlukan dirinya dihargai oleh seorang jejaka. Kepada wanita, katakan sahaja kepada pasangan, bahawa anda tetap memerlukan kasih sayang, perlindungan, belaian dan kenikmatan cinta daripadanya.

Wanita memiliki radar kepekaan atau six sense.

Wanita dilengkapi dengan kecekapan panca indera yang jauh lebih baik daripada kaum lelaki. Menurut penulis Sillyman from Mars, Pitywoman from Venus, Allan dan Barbara Pease, sebagai insan yang melahirkan dan menjaga rumah, mereka perlukan kemampuan dan kebijaksanaan dalam merasakan sesuatu perkara yang melibat dua hati dan perubahan sikap orang lain.

Kaum lelaki pula, diingatkan jangan terlalu terburu-buru buruk sangka akan kebolehan yang mereka peroleh, malah perlu selidik dahulu sebelum melakukan dan melafazkan sesuatu perkara.

Hari Kemerdekaan Ke-51

Rasional Logo

Rekabentuk logo ini diilhamkan dari 3 figura berpakat dan saling berganding bahu dan berpadu tenaga dalam menunju kejayaan ini melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.

3 figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.

3 figura manusia digayakan bekerjasama dan bergandingan bahu adalah mewakili 3 kaum utama di Malaysia  yang bersefahaman ini menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Warna merah simbol keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh ketiga-tiga kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan sistem beraja dan Yang di-Pertuan Agong dan juga bermaksud warna kegemilangan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN


Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa

Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Dipersada
Dalam Hidup Harmoni

Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Dihati Murni
Menjadi Kekuatan Kita

Bersatu…….Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan

Berpadu……Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan

Klik Lagu Tema

Gerhana Bulan Separa 17 Ogos Ini

 

Rakyat Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Separa dari bermula jam 2.25 pagi hingga 6.29 pagi, pada 17 Ogos ini.

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Rabu, orang ramai di Semenanjung Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Separa daripada pukul 2.25 pagi hingga 6.44 pagi.

Orang ramai di Sabah dan Sarawak hanya berpeluang menyaksikan gerhana daripada 2.25 pagi hingga fasa maksimum iaitu pada pukul 5.10 pagi memandangkan waktu bulan terbit dan terbenam yang berbeza mengikut lokasi.

Kali terakhir gerhana seumpana itu telah disaksikan pada 8 Sept 2006.

Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa sama bulan melintasi bayang Bumi.

Sempena Gerhana Bulan Separa itu, ANGKASA akan menganjurkan Program Gerhana Bulan Separa di Planetarium Negara pada 12 hingga 17 Ogos ini.

Siaran langsung fenomena itu juga boleh disaksikan di laman web Angkasa iaitu http://www.angkasa.gov.my/planetarium pada awal pagi 17 Ogos 2008.

Ehsan: BERNAMA

BUDAYA HEDONISME MELALAIKAN MASYARAKAT

Masalah lepak di kalangan remaja bukan lagi fenomena baru, malah seolah-olah sudah menjadi budaya yang boleh disifatkan sebagai berkesinambungan dari satu generasi ke generasi baru. Cuma bezanya dengan generasi terdahulu, remaja yang melepak sekarang kelihatan lebih mewah kerana ramai daripada mereka kelihatan bergaya dengan telefon bimbit, selain berpakaian berjenama, malah ada yang berkenderaan sama ada motorsikal ataupun kereta. Senario ini mencerminkan kehidupan generasi hari ini lebih senang dan mewah berkat hasil kemajuan yang dicapai sejak merdeka.

Masyarakat pada hari ini lebih cenderung untuk hidup mewah, bergaya dan berhibur secara berlebih-lebihan. Di rumah misalnya, segala kelengkapannya seperti perabot dan peralatan elektriknya mestilah yang serba moden dan canggih. Kenderaan pula bukan sahaja dari jenama yang terkenal, tetapi juga ia harus dilengkapi dengan pelbagai aksesori mutakhir yang memperlihatkan kehebatan pemiliknya. Begitu juga dengan pakaian, harus dari jenis yang berjenama dan bergaya dan kalau bersantai ataupun berhibur, harus pula di tempat-tempat yang ada kelas. Pengaruh budaya hidup serupa inilah yang menyebabkan masyarakat terus dibebani hutang. Keinginan untuk hidup mewah dan bergaya inilah juga yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah sejak kebelakangan ini.

Tidak menghairankan kita bila berita rompakan bank dan kedai emas, kehilangan kenderaan, rasuah, peras-ugut, pengedaran dadah dan lain-lain lagi hampir setiap hari menghiasi dada-dada akhbar. Kesemua jenayah yang dilakukan itu lebih bermotifkan untuk mendapatkan wang, justeru wang adalah umpama kuasa yang dapat menjana segala keperluan manusia seperti harta, hiburan dan sebagainya. Pendek kata, demi mendapatkan wang yang disifatkan sebagai sumber kesenangan dan kemewahan hidup di dunia, ada manusia yang sanggup melakukan apa saja pekerjaan meskipun barangkali terpaksa menjatuhkan orang lain dengan pelbagai tipu muslihat ataupun barangkali terpaksa menggadai nyawa dan maruah diri serta mengorbankan nyawa orang lain. Sesuatu hal yang amat membimbangkan kita ialah jenayah-jenayah ini turut membabitkan golongan remaja.

Kecenderungan untuk bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan diistilahkan sebagai budaya hedonisme. Budaya yang mengutamakan aspek keseronokan diri ini seperti memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, bermain muzik, berhibur di kelab-kelab malam dan sebagainya itu sememangnya mempesonakan dan menggiurkan golongan remaja. Gejala sosial yang kian membimbangkan pelbagai pihak ini dikesan dirangsang oleh pengaruh iklan, rakan-rakan serta keadaan persekitaran.

Sungguhpun keinginan untuk hidup senang dan mewah adalah sebahagian daripada naluri semula jadi manusia, namun bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan itu tidak boleh dibiarkan terus menular dan membudaya dalam masyarakat kita. Budaya hedonisme boleh mengakibatkan pelbagai gejala negatif. Di samping ia boleh menjerumuskan masyarakat ke dalam kancah jenayah, amalan berhutang dan fitnah menfitnah, budaya hedonisme juga berpotensi membuat manusia leka dan lalai daripada melaksanakan kewajipan hakikinya sebagai hamba Allah dan sebagai anggota keluarga ataupun anggota masyarakat.

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa bangsa yang lena dibuai dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan hidup serta didodoikan dengan pelbagai jenis hiburan akan menjadi lalai terhadap kewajipannya, malah menyebabkan mereka menjadi lemah dan terjajah. Pengajaran ini terungkap pada sejarah keruntuhan kerajaan Abbasiah, kerajaan Uthmaniah, kesultanan Melaka dan lain-lain lagi, di mana pemerintah dan rakyat lena dibuai kemakmuran negara sehingga lalai mengantisipasi ancaman musuh. Demikianlah juga dengan budaya hedonisme yang sedang menular dalam masyarakat kita hari ini turut mengakibatkan penyakit lalai di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang asyik berhibur dengan berkaraoke dan bersuka ria bersama rakan-rakan di kelab-kelab malam tertentu akan dilalaikan oleh perbuatannya daripada melaksanakan kewajipannya terhadap Allah seperti bersembahyang, berpuasa dan sebagainya di samping lalai terhadap kewajipannnya terhadap sesama manusia seperti memberi perhatian yang sepenuhnya sama ada kepada ibu bapa mahupun kepada isteri dan anak-anak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa budaya hedonisme atau budaya berhibur ini turut dikesan semakin menjadi kegemaran di kalangan kaum remaja di negara ini. Masalah ini sangat berat dan membimbangkan kerana ia membabitkan golongan muda yang bakal mewarisi dan memimpin negara ini pada masa depan. Justeru, pembabitan semua pihak perlu dalam mengatasi budaya ini tanpa diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata. Ia boleh dibendung jika semua pihak berganding bahu kerana kerajaan atau remaja tidak dapat mengatasi semua masalah berkenaan secara bersendirian.

Dalam hubungan ini, kita harus sedar bahawa masalah sosial remaja berkait rapat dengan pembentukan budaya yang tentunya bermula dari rumah. Para ibu bapa harus memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya hidup yang tidak sihat seperti budaya bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang mengundang banyak risiko kepada anak-anak itu sendiri di samping menimbulkan banyak masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sungguhpun ada di kalangan kita yang barangkali berkemampuan untuk memberikan apa saja kepada anak-anak, namun perbuatan menyogokkan mereka dengan wang ringgit serta pelbagai kemewahan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik dan menyayangi mereka kerana ia boleh menjadikan mereka materialistik dan lalai. Sebaliknya, suburkanlah anak-anak ataupun golongan remaja kita dengan iman dan takwa melalui didikan yang sempurna serta pemberian kasih sayang yang secukupnya.

Selain tugas ibu bapa, pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan perlu digerakkan bagi membentuk generasi remaja yang bersifat terbuka dan berlandaskan ajaran agama, budaya dan jati diri yang kukuh. Pengetahuan serta pemahaman terhadap nilai budaya dan moral serta kupasan masalah sosial daripada kaca mata saintifik, tingkah laku dan sosial perlu diterapkan kepada remaja secara berterusan. Ini penting kerana tanda keruntuhan nilai budaya dan moral di kalangan remaja semakin terasa di negara ini sejak kebelakangan ini.

Gejala Hedonisme menulari remaja

HEDONISME itu ringkasnya satu fahaman yang mementingkan kesukaan dan kemewahan dalam kehidupan tanpa menghiraukan larangan agama dan tatasusila. Hedonismelah yang melanda generasi belia kini. Ia menimbulkan kebimbangan negara terutama ketika Malaysia berhasrat menjadi negara maju.

Berdasarkan sejarah, amalan hedonisme berasal dari Eropah selepas zaman Ratu Victoria. Beliau yang begitu fanatik dengan ajaran Kristian melarang segala perbuatan yang dianggap boleh menghina agama.

Antara arahan yang dikeluarkannya ialah mewajibkan penggunaan penutup meja bertujuan menutup kaki meja. Kebanyakan kaki meja pada zaman itu mempunyai ukiran berbentuk kaki perempuan yang mengghairahkan. Oleh kerana perbuatan itu dianggap menghina perempuan dan bertentangan dengan agama, beliau mengeluarkan arahan supaya kaki meja ditutup menggunakan kain.

Selain itu, pelbagai arahan dikeluarkan bagi menyekat kebebasan rakyat seperti larangan mengenai seks yang dianggap keterlaluan oleh masyarakatnya, hiburan dan sebagainya.

Selepas pemerintahan Ratu Victoria, keadaan mula berubah. Penggantinya membenarkan semua perkara yang sebelum ini dilarang. Dengan itu bermulalah era dunia moden yang membenarkan semua amalan yang dulunya dilarang.

Kebebasan itu menular di kalangan masyarakat hingga melampaui batas susila dan agama. Pergaulan bebas, seks luar nikah, hiburan yang melampau dan seumpamanya. Pemerintah turut menggalakkan pelbagai pesta dan diadakan secara besar-besaran.

Hasilnya masyarakat hanyut dibuai hawa nafsu dan mengetepikan agama daripada kehidupan. Rakyat mula mengejar kepuasan nafsu semata-mata. Mereka sentiasa leka mencari kepuasan jasmani tanpa didasari asas pemikiran dan batas susila yang seharusnya dipelihara.

Melalui perkembangan masa, pengaruh budaya itu kemudiannya menular ke negara lain di dunia termasuk negara ini.

Secara umumnya, hedonisme itu boleh dianggap neokolonialisme yang dikhususkan serangannya kepada generasi muda oleh Barat. Pelbagai konsep dan cara hidup seperti cara hidup ‘happy go lucky’, melepak, mengunjungi pesta liburan, seks bebas dan sebagainya adalah termasuk dalam tabiat ini.

Secara jelas, konsep yang dikemukakan itu hanya mementingkan kepuasan nafsu tanpa wujudnya sebarang panduan atau batasan tertentu terutamanya ajaran agama.

Gejala ini timbul berikutan kegagalan manusia memahami konsep ajaran agama yang menekankan keseimbangan antara nafsu dan akal fikiran demi kesejahteraan manusia.

Budaya ini begitu cepat menular di kalangan remaja yang terpengaruh dengan keseronokan dan aktiviti yang dianggap dapat menghilangkan rasa bosan terutama remaja di bandar besar.

Dengan kemunculan pelbagai pusat hiburan dan kebebasan media yang tidak dikawal ketat, hedonisme merebak dengan pantas tanpa disedari mereka. Keadaan bertambah buruk apabila penyalahgunaan dadah begitu berleluasa. Ini termasuk penggunaan pil Eecstasy yang banyak digunakan oleh remaja kota.

Selain itu, peningkatan kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi adalah akibat gejala negatif di kalangan remaja yang terpengaruh dengan hedonisme.

Islam awal-awal lagi menolak gejala negatif ini. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sewaktu fasa pertama dakwahnya di Makkah menekankan keburukan hawa nafsu dan menyeru manusia mengamalkan akhlak terpuji.

Sewaktu Islam mula berkembang di tanah Arab, gejala buruk seperti minum arak, pelacuran dan berfoya-foya di kalangan masyarakat Arab Jahiliyah begitu ketara. Hanya selepas Islam bertapak kukuh perkara itu dapat dibendung dan diatasi. Islam juga mengajar penganutnya melakukan perkara yang berfaedah dan menjauhi perkara yang sia-sia dengan mengemukakan konsep semua perbuatan akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak.

Malah dalam hadis yang diriwayatkan, Rasulullah bersabda yang bermaksud bahawa Islam itu adalah pekerti yang terpuji. Hadis itu dengan jelas mengajar umat Islam bahawa sebarang pekerjaan atau sikap yang bertentangan dengan nilai dan norma agama akan mendapat balasan seksaan di akhirat dan terkeluar dari ajaran agama.

Punca gejala ini timbul akibat kurang didikan agama. gejala negatif di kalangan belia terutama remaja Islam. Didikan agama yang dimaksudkan ialah pendidikan yang dapat membentuk ketahanan dalaman generasi muda untuk menangkis sebarang gejala negatif yang disogokkan kepada mereka.

Pendidikan Islam negara perlu dirombak semula bagi memastikan keberkesanannya dalam jiwa pelajar. Walaupun semua komponen pendidikan agama sudah dimasukkan dalam kurikulum yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran tetapi pendekatannya kurang menarik minat mereka.

Realiti pelajar masa kini mempelajari agama semata-mata untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Pelajaran yang diberikan hanya untuk memberi pengetahuan bukan untuk diamalkan. Akibatnya walaupun pelajar Islam mendapat pendidikan agama tetapi daripada statistik yang dikeluarkan majoriti mereka yang terjebak dalam gejala negatif.

Ketika ini dianggarkan lebih 400,000 remaja Islam terjebak dengan penagihan dadah dan ini bermakna negara kehilangan 400,000 pemimpin generasi akan datang. Keadaan bertambah buruk apabila kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk memulihkan mereka kembali. Ini tidak termasuk mereka yang ketagih arak, melacur, terbabit dengan kegiatan kongsi gelap, punk dan gejala sosial lain.

Pusat Islam harus memikul tanggungjawab bersama menggerakkan semua agensi agama di seluruh negara termasuk pegawai majlis agama negeri menjalankan gerak gempur memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai bahaya gejala ini. Malah semua agensi kerajaan seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Belia dan Sukan akan menggembleng tenaga membina sahsiah generasi muda.