Bekerja untuk masa depan

“HIDUP mesti diteruskan, betapa berat pun rintangan dan kesusahan, kami percaya kami boleh bangkit semula dan kami akan membangunkan semula negeri ini, kerana Tuhan tidak suka mereka yang berputus asa.” Kata-kata ini dipetik dari sebuah rancangan majalah di kaca televisyen yang memaparkan kehidupan selepas bencana gempa bumi yang melanda Sumatera suatu ketika dulu.

Tidak lama sebelum itu mereka ditimpa bencana tsunami dahsyat pada 26 Disember 2004 yang menelan korban seramai 126 ribu orang. Dan berbagai-bagai lagi siri gempa bumi yang menghimpit rakyat Indonesia seperti gempa bumi di Yogjakarta pada Julai 2005 dan Bengkulu pada September 2007.

Apa yang menarik untuk direnungkan daripada bencana dan kemusnahan yang melanda Indonesia ialah tentang ketabahan rakyatnya untuk menghadapi bencana tanpa mengalah kepada nasib semata-mata.

Begitu juga dengan situasi yang sedang kita hadapi sekarang. Kenaikan harga minyak telah melarat menjadi inflasi yang telah memamah pendapatan kita.

Kuasa beli kita menjadi kecil apabila harga barang semakin meningkat secara mendadak sedangkan pendapatan kita tidak bertambah. Dan penulis kira ia juga boleh dikategorikan sebagai bencana kerana kita merasai kesusahan, keperitan dan kesan yang besar dalam kehidupan seharian.

Pada masa ini kerajaan sedang bertungkus-lumus berusaha untuk mengurangkan beban rakyat dan ada juga kumpulan yang mendakwa boleh menurunkan harga minyak sekiranya berkuasa. Penulis tidak berminat untuk mengulas dari sudut politik. Biarkan pihak yang berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka.

Tetapi apa pula peranan kita secara individu untuk berhadapan dengan bencana ini? Apakah kita harus menjerit dan menangis menghadapi kegawatan ini? Adakah kita masih mengharapkan harga minyak ini turun dengan mendadak pada masa akan datang? Dan jika turun pun, adakah harga barangan yang naik ini akan turun juga?

Kita harus menerima hakikat bahawa apa yang berlaku sekarang adalah realiti yang harus kita hadapi. Harga barangan kini semakin mahal dan kuasa beli kita semakin berkurangan.

Katakan dahulu kita boleh menabung sedikit daripada pendapatan bulanan kita, kini mungkin semua pendapatan habis digunakan. Dan kalau dahulu pada mereka yang langsung tidak dapat menabung, kini sudah pasti mereka terpaksa pula mengurangkan barang-barang yang boleh dibeli.

Kita pernah melalui zaman-zaman susah sekitar krisis ekonomi 1997/98. Pada masa itu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot daripada sekitar 7 peratus pada tahun 1997 kepada sekitar negatif 7 peratus pada tahun 1998.

Dan pasaran saham Malaysia kehilangan lebih tiga suku dari nilai modalnya, atau lebih RM567.34 bilion wang rakyat negara ini hilang begitu sahaja akibat daripada kejatuhan harga saham dari Julai hingga September 1998.

Bagaimana caranya kita perlu mempersiapkan mental kita untuk berhadapan dengan krisis ini? Kita biasa mendengar seseorang yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser boleh memanjangkan hayat sekiranya mereka berusaha melawan penyakit dan tidak hanya melayan kesakitan. Melawan penyakit ini adalah peranan mental atau otak dan perasaan. Dan ia mempunyai kesan psikologi yang besar.

Di sinilah peranan psikologi dalam menghadapi bencana ekonomi ini. Merungut, meratap dan menangis tidak akan merubah apa-apa.

Yang penting kita mesti sama-sama berfikiran positif mengharunginya dan terus bekerja keras memperbaiki taraf hidup.

Kalau kita terus melayan kebimbangan dan kesedihan ini, kita mungkin tidak boleh bekerja dan termenung yang akhirnya memburukkan lagi keadaan. Atau mungkin ada yang bunuh diri atau menjadi gila.

Setiap kita harus berusaha untuk menambah pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat kerana inflasi.

Kerajaan sendiri telah pun memberikan keizinan kepada kakitangan kerajaan daripada kumpulan sokongan untuk menjalankan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.

Penulis berpendapat kebenaran ini harus juga dipanjangkan kepada golongan pengurusan dan profesional seperti kumpulan guru untuk menjadi guru tuisyen kerana golongan ini juga turut menerima kesan dengan masalah ekonomi terutama mereka yang mempunyai keluarga yang besar.

Satu perkara yang kita jangan lupa ialah untuk sentiasa berdoa kepada Tuhan agar bencana yang kita sedang hadapi ini akan berakhir juga satu masa nanti.

Dalam dunia ini tidak ada yang berkekalan. Percayalah bahawa kesengsaraan adalah sementara dan kebahagiaan juga sementara. Satu hari nanti semuanya akan pulih seperti sedia kala sekiranya kita berusaha dan tabah mengharunginya.

Kita telah membuktikan bahawa kita telah berjaya keluar daripada krisis ekonomi lepas dengan cara kita sendiri dan kemudian kita kembali makmur.

Anggaplah kemewahan kita yang lepas sebagai sesuatu yang telah berlalu dan tiada lagi. Tapi kita masih ada ruang untuk memperbaiki masa depan. Hidup mesti diteruskan.

Kita harus mengharapkan yang terbaik tetapi bersedia untuk yang terburuk. Kita perlu terus bekerja keras membina sesuatu untuk generasi akan datang dan mengharungi krisis ini dengan tabah dan berani.

Seperti yang dinyatakan dalam sebuah iklan Petronas; “Adakah apa yang kita ada sekarang mampu membawa kita ke masa depan?” Suatu perkara yang harus kita renungkan.

Advertisements