Cadang wajib guru baru di pedalaman

BALIK PULAU: Kementerian Pelajaran bercadang mewajibkan guru baru untuk bertugas di pedalaman selama tiga tahun bagi memberi pengalaman serta pendedahan kepada mereka mengenai keperitan bertugas sebagai pendidik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi, berkata pihaknya tidak lagi akan menempatkan guru baru di kawasan bandar atau berhampiran tempat tinggal seperti kini.

“Ini masih pada peringkat cadangan dan kajian mengenainya sedang dilaksanakan,” katanya selepas menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang sekitar Parlimen Balik Pulau dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Berita Minggu (14 Februari 2010)

Perkasa BI Tahun Satu

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Azman Mahmood

Kurikulum ‘fun learning’ diperkenal 2011 mantap penguasaan murid

JERTIH: Kerajaan akan memperkenalkan kurikulum baru bahasa Inggeris kepada murid Tahun Satu mulai tahun depan dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa itu di kalangan murid di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui kurikulum baru itu, murid sekolah akan mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih menarik dengan pendekatan sesuai yang memberi penekanan terhadap aspek penguasaan bertutur dan menulis dalam bahasa itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kurikulum baru itu sudah siap diteliti dan satu projek perintis yang dijalankan menggunakan pendekatannya menunjukkan hasil yang sangat baik.

“Kita mahu melihat anak-anak kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi melalui pendekatan yang lebih sesuai ini.

“Perubahan pada bentuk atau formula yang ringkas seperti ‘language art’ atau komponen tatabahasa, tetapi dibuat secara ‘fun learning’ dan bertutur menggunakan nahu betul supaya kita kuasai bahasa Inggeris British yang standard,” katanya.

Untuk itu, katanya, kerajaan akan mengambil 365 tenaga pengajar pakar bahasa Inggeris dari luar negara, termasuk United Kingdom dan Australia secara kontrak yang akan dibahagikan mengikut zon untuk membimbing guru bahasa Inggeris tempatan teknik pengajaran yang dapat membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih baik.

“Kita percaya dengan cara ini, walaupun kita tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pembelajaran bahasa Inggeris akan lebih baik lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Juara Rakyat dan majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daerah Besut di sini, semalam.

Seramai 122 pelajar, guru, guru besar dan pengetua daripada 75 sekolah rendah dan menengah di daerah ini menerima sijil anugerah cemerlang yang disampaikan Muhyiddin.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengerusi Mara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.

Muhyiddin juga mengumumkan pemberian peruntukan khas masing-masing berjumlah RM200,000 kepada Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud sebagai penghargaan muncul sekolah terbaik seluruh negara bagi PMR dan UPSR tahun lalu.

Beliau juga berkata, kerajaan merancang memanggil guru bersara yang mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam bahasa Inggeris untuk membantu mengajar subjek berkenaan.

Mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang disalah anggap sesetengah pihak mendapat layanan istimewa dan dijadikan sekolah elit, Muhyiddin berkata, kementerian tidak pernah memberi layanan berbeza atau membezakan sekolah yang ada di negara ini.

“SBT bukan diwujudkan untuk kita menjadikan sekolah itu elitis kerana sekolah ini kalau kita tidak jadikan SBT pun sudah cemerlang. Ia adalah pengiktirafan di atas kejayaan sekolah itu dan ia boleh menjadi penanda aras kepada sekolah lain untuk maju. Kita juga mahu melihat sekolah yang tidak capai tahap cemerlang boleh berjaya lagi.

“Kita wujudkan SBT untuk menggalakkan lebih banyak sekolah mencapai tahap yang lebih baik. Dengan memberi pengiktirafan SBT, pelajar tidak lagi perlu berebut untuk masuk sekolah berasrama penuh kerana sekolah yang diberikan pengiktirafan itu adalah sekolah terbaik dan cemerlang,” katanya.

Beliau juga berkata, kementerian akan mengenal pasti murid yang masih lemah dan tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) untuk diberikan latihan khas bagi membolehkan mereka menguasai sepenuhnya 3M dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang.

Berita Minggu (14 Februari 2010)

Kementerian perjelas tiada kes lebihan guru

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada surat bertajuk ‘Lebihan pendidik tidak patut berlaku’ yang disiarkan ruangan ini 4 Januari lalu.

Untuk makluman, pada Januari 2010, dianggarkan wujud kekurangan sebanyak 11,238 guru di sekolah menengah selepas mengambil kira penempatan calon guru lepasan program yang tamat November/Disember 2009 iaitu DPLI seramai 1,136 dan B.Ed (TESL) seramai 250 orang.

Di sekolah rendah, wujud kekosongan jawatan guru sebanyak 5,211 selepas mengambil kira penempatan calon guru lepasan Program KPLI yang tamat pada November / Disember 2009 seramai 5,976, PISMPK seramai 1,387, B.Ed (TESL) seramai 250 dan keluaran IPTA Pendidikan Rendah/Prasekolah 171 orang.

Oleh itu, secara keseluruhannya, pada ketika ini lebihan guru tidak timbul sama ada di peringkat menengah atau rendah. Kesukaran atau kelewatan penempatan guru mungkin disebabkan oleh perkara berikut:

* Penempatan guru oleh BPSH, BPI, BPTV dan BP Khas dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut kelompok graduan daripada pelbagai IPTA dan keperluan opsyen guru di sekolah. Hal ini berikutan ketidakseragaman tarikh tamat pengajian dan kelulusan Senat IPTA berkenaan. Untuk makluman, akan terdapat Penempatan Lepasan Diploma Pendidikan dan B.Ed (TESL) pada 25 Januari 2010.

Guru Lepasan IPTA perlu melalui temu duga dan ujian Insak (Inventori Sahsiah Keguruan) sebelum dilantik sebagai Guru Sandaran Terlatih. Temu duga itu antara lain bertujuan memastikan guru yang dilantik memenuhi semua syarat ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Guru yang mendapat CGPA terlalu rendah mungkin tidak akan dilantik.

Pelantikan guru dibuat dengan memberi keutamaan kepada opsyen yang kritikal terlebih dulu.

Bagi peringkat rendah, sebilangan guru sukar/lewat ditempatkan berikutan keengganan sekolah jenis kebangsaan menerima guru yang tidak berkelulusan Mandarin walaupun bagi Tahap 2 (Tahun 4 hingga 6). Sebagai contoh, wujud lebihan 7,580 guru opsyen bahasa Melayu di sekolah kebangsaan sedangkan masih berlaku kekurangan 1,415 guru bahasa Melayu di SJK (C) dan 545 guru bahasa Melayu di SJK (T).

Unjuran keperluan guru bagi bekalan sekolah menengah dikemukakan kepada KPTM bagi tempoh lima tahun mulai ambilan 2007 – 2011. Bagaimanapun, semakan unjuran ambilan dibuat pada setiap tahun berdasarkan perkara berikut:

Kelulusan Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan oleh agensi Pusat (JPA) yang diperoleh dari setahun ke setahun.

Tambahan norma perjawatan 1.5 kepada 1.7 guru bagi setiap kelas dan 2.0 kepada 2.5 guru bagi setiap kelas dibuat secara berperingkat-pering-kat. Sehingga 2010, tambahan norma 1.5 kepada 1.7 guru bagi setiap kelas

di peringkat menengah sudah diperoleh bagi Tingkatan Dua hingga Tingkatan Lima dan norma 2.0 kepada 2.5 guru bagi setiap kelas Tingkatan Enam.

Perubahan dasar dari semasa ke semasa yang memberi implikasi keperluan guru seperti peluasan prasekolah dan memperkasa mata pelajaran Teknik, Vokasional dan Kemahiran.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian (2 Januari 2010)

20 sekolah hebat

Oleh Johari Ibrahim

Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

“Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

“Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:

  • Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
  • Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
  • Kolej Melayu Kuala Kangsar
  • Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
  • Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
  • Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
  • Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
  • Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
  • SMS Muzaffar Syah (Melaka)

Sekolah Menengah Harian:

  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
  • SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
  • SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
  • SMK (P) St George (Pulau Pinang)

Sekolah Rendah:

  • Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
  • SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
  • SK Bukit Damansara (KL)
  • SK Zainab (2) (Kota Bharu)
  • SK Convent Kota (Taiping)
  • SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)

Sekolah diberi autonomi:

  • Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
  • Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
  • Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
  • Memanjangkan waktu persekolahan.
  • Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
  • Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
  • Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
  • Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
  • Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
  • Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
  • Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
  • Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.

Kriteria pemilihan SBT :

  • Pencapaian akademik yang cemerlang.
  • Melahirkan personaliti unggul.
  • Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
  • Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
  • Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
  • Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.


Sumber:
Berita Harian (26 Januari 2010)

1,473 calon berjaya sertai KPLI sesi 2010

Oleh Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Hanya 1,473 calon daripada kira-kira 60,000 permohonan graduan di seluruh negara, terpilih untuk memasuki Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2010.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin, berkata semua calon ditawarkan mengikuti 17 bidang pengajian di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata, jumlah kemasukan menurun tetapi mengikut unjuran keperluan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Selain itu katanya, syarat pengambilan turut diperketat dengan menetapkan calon mesti memiliki kelulusan ijazah pengajian yang sesuai dengan kursus.

“Berbanding dulu kementerian tidak menekankan bidang pengkhususan, tetapi sekarang calon yang hendak mengajar Matematik mesti memiliki ijazah dalam bidang itu.

“KPLI menekankan aspek pedagogi, justeru kita berharap calon sudah mendapat ilmu dalam bidang mata pelajaran yang mereka dikehendaki mengajar ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

“Selain itu, kementerian juga membuat penambahbaikan dengan mengambil kira tempat asal calon yang memohon. Sebagai contoh jika kementerian ada keperluan guru untuk Sabah dan Sarawak, kita akan beri keutamaan kepada calon tempatan,” katanya.

Katanya selepas mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI Ambilan Januari 2010 di IPG Kampus Ilmu Khas di sini, semalam.

Katanya, kementerian sedang berusaha meningkatkan jumlah pengambilan calon lelaki bagi menyertai profesion keguruan.

Ketika mengulas dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa ada segelintir guru besar menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan guru yang ‘tidak sebulu’ Asariah berkata, beliau belum mendapat sebarang laporan rasmi tetapi guru terbabit boleh merujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing.

Berita Harian
20 Januari 2010

Pertimbang guru DG41 menjawat jawatan Penolong Kanan

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat “LALAK LILA, Sungai Petani, Kedah”, Kedah dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7 Januari 2010 (Pertimbang guru DG41 menjawat jawatan Penolong Kanan).

Untuk makluman, semua jawatan-jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar di sekolah rendah merupakan jawatan-jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 dan DGA34. Memandangkan ia adalah jawatan-jawatan kenaikan pangkat bagi PPPLD, maka seharusnya keutamaan diberi kepada PPPLD yang layak dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) bagi pemangkuan dari Gred DGA29 ke Gred DGA32 dan dari DGA32 ke DGA34 untuk mengisi kekosongan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, terdapat Penolong Kanan/Guru Besar yang telah melanjutkan pelajaran secara PJJ bagi mendapatkan Ijazah Pertama dan mereka telah dikekalkan sebagai Penolong Kanan/Guru Besar di sekolah asal secara Khas Untuk Penyandang (KUP) setelah perlantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41. Keputusan pengekalan ini adalah sejajar dengan matlamat Kementerian untuk meneruskan kesinambungan kepakaran dan kepimpinan mereka di sekolah rendah.

Oleh yang demikian, Guru-Guru Penolong yang telah dilantik sebagai PPPS Gred DG41 adalah tidak layak untuk mengisi jawatan Penolong Kanan/Guru Besar yang dinyatakan seperti di atas dan kerana tidak lagi berada di dalam skim perkhidmatan PPPLD bagi membolehkan dipertimbang mengisi jawatan Penolong Kanan/Guru Besar Gred DGA32/DGA34 di sekolah rendah.

Pihak Kementerian sedang berusaha dari masa ke masa untuk memantapkan lagi Profesion Keguruan agar guru-guru dapat berkhidmat dengan gigih untuk membangunkan modal insan anak bangsa bagi kepentingan akan datang. Kesungguhan dan keprihatinan penulis adalah amat dihargai dan diucapkan terima kasih.

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia
18 Januari 2010

Kajian Perlu Dilakukan Jika Mahu Perkenal Yuran Peperiksaan

Kementerian Pelajaran merujuk surat Rayat prihatin, Kedah dalam ruangan ini 11 Januari lalu bertajuk “Calon PMR, SPM wajar dikenakan yuran’.

Kementerian berterima kasih kepada pembaca kerana keprihatan terhadap perkemmbangan dunia pendidikan termasuk hal berkaitan pengendalian peperiksaan.

Dasar pemansuhan yuran peperiksaan sudah diperhalusi dan kerajaan amat prihatin berhubung masalah ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah.

Kerajaan melaksanakan bantuan agar calon peperiksaan dikecualikan yuran Ujian Penilaian Peperiksaan sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil pelajaran malaysia (SPM).

hasrat kerajaan ialah memberi akses dan peluang pendidikan seluas-luasnya kepada seluruh rakyat.

pemansuhan yuran yang dilaksanakan sejak 2007 harap dimanfaatkan oleh rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Di samping itu, bantuan juga termasuk melaksanakan skim bantuan buku teks kepada semua murid di sekolah kerajaan, pemansuhan yuran sekolah dan pelbagai insentif lain bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Dalam hal ini, kerajaan berharap rakyat terutama ibu bapa bijak membelanjakan kewangan mereka yang tidak digunakan untuk yuran dan buku teks bagi mempertingkatkan lagi mutu serta kemudahan persekolahan atau digunakan sebagai tabungan masa depan anak.

Cadangan pembaca prihati itu disambung baik oleh kementerian.

Bagaimanapun kementerian perlu membuat kajian terperinci bagi melihat kesan positif dan negatif cadangan itu dalam merealisasikan pendidikan percuma untuk semua.

Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
15 Januari 2010

Atasai Masalah Lebihan Guru

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk dan mengucapkan terima kasih kepada Surat Pembaca “ Lee Nyan, Langkawi Kedah” dalam ruangan Surat kepada Pengarang – Utusan Malaysia bertarikh 6 Januari 2010 – ATASI MASALAH LEBIHAN GURU.

Untuk makluman, kedudukan guru pada Januari 2010, dianggarkan terdapat kekurangan sebanyak 11,238 guru di Sekolah Menengah seramai 1,136 dan B.Ed (TESL)250 orang. Manakala di Sekolah Rendah terdapat kekosongan jawatan guru sebanyak 5,211 setelah mengambilkira penempatan calon guru lepasan Program KPLI yang tamat pada November /Disember 2009 seramai 5,976, PISMPK seramai 1,387, B.Ed (TESL) seramai 250 dan keluaran IPTA Pendidikan Rendah/Pra Sekolah 171 orang.

Secara keseluruhannya, pada ketika ini, isu lebihan guru sewajarnya tidak timbul sama ada di peringkat menengah atau rendah.

Untuk makluman puan, kerjasama antara KPM dan KPTM sememangnya telah lama wujud dalam menentukan unjuran keperluan guru bagi bekalan Sekolah Menengah.

Unjuran tersebut dikemaskinikan pada setiap tahun dengan mengambilkira perkara-perkara berikut.

a. Kelulusan Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan oleh agensiPusat (JPA) yang diperolehi dari setahun ke setahun.

b. Tambahan norma perjawatan 1.5 kepada 1.7 guru bagi setiap kelas2.0 kepada 2.5 guru bagi setiap kelas dibuat secara berperingkat-peringkat. Sehingga tahun 2010, tambahan norma 1.5 kepada 1.7 guru bagi setiap kelas di peringkat Menengah telah diperolehi bagi Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 dan norma 2.0 kepada 2.5 guru bagi setiap kelas Tingkatan 6. dan

c. Perubahan dasar dari semasa ke semasa yang memberi implikasi keperluan guru seperti peluasan pra sekolah dan memperkasa mata pelajaran Teknik, Vokasional dan Kemahiran.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
11 JANUARI 2010

Pengambilan Tak Selaras Punca Lebihan Guru & Lantikan Guru Lepasan Ijazah Ikut Kekosongan

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Berita Harian bertarikh 31 Disember 2009 & 3 Januari 2010 (PENGAMBILAN TAK SELARAS PUNCA LEBIHAN GURU & LANTIKAN GURU LEPASAN IJAZAH IKUT KEKOSONGAN).

Untuk pengetahuan, isu lebihan guru tidak sepatutnya timbul kerana KPM telah membuat unjuran keperluan guru bagi bekalan Sekolah Menengah dan ianya dikemukakan kepada KPTM bagi tempoh 5 tahun mulai Ambilan 2007 – 2011. Walau bagaimanapun, semakan unjuran ambilan dibuat pada setiap tahun berdasarkan perkara-perkara berikut:

a.         Kelulusan Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan oleh agensi Pusat (JPA) yang diperolehi dari setahun ke setahun.

b.         Tambahan norma perjawatan 1.5 kepada 1.7 guru bagi setiap kelas dan 2.0 kepada 2.5 guru bagi setiap kelas dibuat secara berperingkat-peringkat. Sehingga tahun 2010, tambahan norma 1.5 kepada 1.7 guru bagi setiap kelas di peringkat Menengah telah diperolehi bagi Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 dan norma 2.0 kepada 2.5 guru bagi setiap kelas Tingkatan 6.

c.         Perubahan dasar dari semasa ke semasa yang memberi implikasi keperluan guru seperti peluasan pra sekolah dan memperkasa mata pelajaran Teknik, Vokasional dan Kemahiran.

Ada guru yang lewat atau sukar ditempatkan di sekolah-sekolah dan ianya berlaku disebabkan perkara-perkara berikut:

a.         Penempatan guru oleh BPSH, BPI, BPTV dan BP Khas dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut kelompok graduan daripada pelbagai IPTA dan keperluan opsyen guru di sekolah. Hal ini berikutan ketidakseragaman tarikh tamat pengajian dan kelulusan Senat IPTA berkenaan. Untuk makluman akan terdapat Penempatan Lepasan Diploma Pendidikan dan B.Ed (TESL) pada 25 Januari 2010.

b.         Guru Lepasan IPTA perlu melalui temuduga dan Ujian INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan) sebelum dilantik sebagai Guru Sandaran Terlatih. Temuduga tersebut antara lain bertujuan memastikan guru-guru yang dilantik memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Guru yang mendapat CGPA terlalu rendah mungkin tidak akan dilantik.

c.         Perlantikan guru dibuat dengan memberi keutamaan kepada opsyen yang kritikal terlebih dahulu.

d.         Bagi peringkat rendah, sebilangan guru sukar/lewat ditempatkan berikutan keengganan Sekolah Jenis Kebangsaan menerima guru-guru yang tidak berkelulusan Mandarin walaupun bagi Tahap 2 (Tahun 4 hingga 6). Sebagai contoh, terdapat lebihan 7,580 guru opsyen Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan sedangkan masih berlaku kekurangan 1,415 guru Bahasa Melayu di SJK(C) dan 545 guru Bahasa Melayu di SJK(T).


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
8 JANUARI 201
0

Murid prasekolah naik 87% pada 2012

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan menyasarkan peningkatan 87 peratus pendaftaran kanak-kanak prasekolah kepada 447,556 murid pada 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meningkatkan jumlah kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu merupakan usaha menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan.

Menurutnya, pada masa sama, ia bagi mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

“Pertambahan 104,850 murid itu adalah penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,” katanya menjawab soalan Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif di kalangan kanak-kanak prasekolah mengikut kurikulum yang dikuatkuasakan sejak 2003 sama ada di sekolah kerajaan mahu pun swasta.

Katanya, kurikulum prasekolah sedia ada akan ditambah baik termasuk cadangan memanjangkan 50 peratus tempoh interaksi dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, 4,194 kelas prasekolah baru pula akan dibina menjelang 2012 selain menggalakkan penyertaan pihak swasta melalui cadangan pemberian insentif.

Tambah beliau, kementerian juga memberi latihan kepada guru prasekolah kerajaan dan swasta melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme.

“Penyeliaan serta pemantauan bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dijalankan dari semasa ke semasa.

“Bukan itu sahaja, pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa terutama di luar bandar serta yang berpendapatan rendah akan dijalankan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abd. Rahman mengenai masalah murid-murid normal yang keciciran membaca, menulis dan mengira (3M), Muhyiddin berkata, beliau yang menyedari perkara itu.

Menurutnya, masalah tersebut berlaku ekoran perbezaan kawasan pendidikan seperti di dalam dan luar bandar.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan peruntukan RM48 juta melalui Bajet 2010 bagi memperbaiki kelemahan aspek keperluan, kemudahan dan latihan yang tidak mencukupi itu.

Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Muhyiddin berkata, program Permata di seluruh negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kementerian bercadang mengembangkannya.

Sumber: Utusan Malaysia (3 November 2009)