48 jam di Wellington

Tersenarai di kedudukan ke-12 mempunyai kualiti kehidupan terbaik di dunia, nikmati hujung minggu yang ringkas tetapi penuh dengan pengalaman di Wellington, New Zealand.

PATUNG ukiran singa di hadapan bangunan Parlimen New Zealand yang juga dipanggil Sarang Lebah.

WELLINGTON merupakan ibu negara dan pusat politik New Zealand di mana Parlimen terletak di negeri ini. Ia juga menempatkan pejabat semua Kementerian Kerajaan dan Jabatan serta pangkalan misi diplomatik antarabangsa.

SEORANG lelaki mengayuh basikal melepasi arca unik hasil tangan Para Matchitt.

Dikenali sebagai sebuah bandar yang padat, Wellington merupakan antara destinasi menarik yang boleh dilawati oleh pelancong. Bandar itu juga terletak di pusat industri perfileman dan teater New Zealand.

Te Papa Tongarewa (Muzium New Zealand), New Zealand Symphony Orchestra dan Royal New Zealand Ballet semuanya terdapat di sini. Selain itu, Festival Seni Antarabangsa New Zealand juga diadakan dua tahun sekali di sini.

KANAN: HIDANGAN makanan tengah hari piza di restoran Sin Bar Hell Pizza.

Menurut kajian yang dijalankan oleh sebuah syarikat konsultan, Mercer, Wellington berada di kedudukan ke-12 dalam mempunyai kualiti kehidupan terbaik di dunia. Meluangkan masa hujung minggu di Wellington membawa 1,001 kenangan dalam ingatan. Ikuti catatan Tim Wimborne.

JUMAAT

6 petang: Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut di sekitar Wellington. Namun, adakalanya ia bertiup dengan kencang di bandar yang terkenal dengan gelaran Windy Wellington. Tetapi penduduk tempatan tidak menyedarinya atau bercakap mengenainya kecuali jika ia bertiup lebih daripada 50 kilometer sejam. Jika datang ke sini, anda berpeluang mengira kelajuan angin di sebuah lokasi iaitu Mac’s Brewery yang terletak berhampiran Cable Street.

8 malam: Wellington merupakan sebuah kawasan padat. Kebanyakan tempat mudah untuk dituju hanya dengan berjalan kaki. Saya mengambil kesempatan berjalan di sekitar bandar ke Boulcott Street Bistro yang terletak di dalam bangunan bersejarah Plimmer House. Menu kambing panggang yang disediakan amat lazat dan menyelerakan.

10 malam: Selepas menikmati makan malam, anda boleh bersantai ke pusat bandar di Courtenay Place, sebuah kelab dan pub sehingga larut malam.

KIRI: ARCA batu menyambut pelancong masuk ke Te Papa, Muzium New Zealand.

SABTU

9 pagi: Sebaik-baiknya anda merakamkan gambar sebagai kenangan terlebih dahulu. Jika cuaca baik, teruskan perjalanan merentasi Cook Strait ke Picton menghala ke South Island.

Selain itu, sekiranya menetap di bandar, anda boleh mengunjungi pelabuhan yang terkenal dengan pelbagai jenis kapal layar, kafe, Muzium Maritim, memorial dan arca termasuk Len Lye’s Water Whirler yang dikenali untuk membasahkan seseorang.

Selain itu, anda juga boleh merentasi jambatan City-to-Sea dan melalui Civic Square yang terdapat di dalamnya glob gergasi tergantung, galeri seni dan pohon palma tembaga yang tinggi yang menyokong sebahagian kawasan tersebut dan menuju laluan ke bangunan Parlimen.

11 pagi: Luangkan masa untuk menjelajah ke bangunan Parlimen yang pasti menjanjikan satu pengalaman politik yang menarik.

12.30 tengah hari: Di seberang jalan dari bangunan Parlimen ialah pub Backbencher, sebuah tempat yang menjadi kegemaran pengunjung untuk bersantai di samping menyediakan makanan tengah hari yang lazat. Sambil menikmati hidangan, anda akan dihiburkan dengan pameran boneka, dan aktiviti sukan yang menyeronokkan.

BAWAH: PENGGUNA komuter berjalan kaki melintasi jejantas berdekatan Wellington Waterfront.

2.30 petang: Wellington mendapat reputasi tersendiri sebagai lokasi penggambaran beberapa filem popular selepas pengarah Peter Jackson membuat trilogi Lord of The Rings di tengah bandar Miramar, berhampiran lapangan terbang. Baru dibuka adalah Weta Cave dengan muzium dan informasi mengenai rekaan Weta Workshops yang digunakan dalam filem trilogi Lord of The Rings dan beberapa filem blokbuster termasuk siri Narnia serta King Kong. Kemudahan melawati lokasi Lord of The Rings di Wellington ada disediakan.

5 petang: Bas akan kembali membawa anda ke bandar dan nikmati minuman sejuk di The General Practioner, sebuah pub berkonsep moden tradisional yang terletak di sudut Willis dan Boulcott Streets.

7 petang: Terletak sejauh satu blok di Cuba Street terdapat sebuah restoran Logan Brown yang terkenal dengan hidangan segar yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.

10 malam: Nikmati keindahan waktu malam di Cuba Street yang mampu memberi ketenangan kepada anda.

AHAD

9 pagi: Anda boleh menaiki bas atau teksi ke Mount Victoria untuk menyaksikan pemandangan 360 darjah bandar Welling, Hutt Valley dan jika cuaca baik, anda juga boleh melihat pemandangan South Island.

9.30 pagi: Berjalan kaki semula ke bandar menuruni Mount Vistoria yang digunakan oleh pelawat untuk sampai ke Shire in Middle Earth bagi trilogi Lord of The Rings.

10 pagi: Lawatan ke muzium kebangsaan, Te Papa Tongarewa adalah satu kewajipan. Terdapat lima tingkat bangunan yang penuh dengan pengetahuan, sejarah, seni dan hiburan.

12.30 tengah hari: Makan tengah hari di medan selera yang terdapat di Te Papa atau bar SYN di Bond Street di mana menu Hells Pizza akan menyajikan anda dengan hidangan yang dipanggil Lust, Gluttony dan Envy.

2 petang: Rasai keseronokan menaiki kereta kabel untuk menyaksikan pemandangan keseluruhan bandar di Kelburn dan juga muzium kecil. Kemudian teruskan perjalanan ke Karori Wildlife Sanctuary, satu projek pemulihan hidupan liar yang terletak di kawasan sepanjang 8.6km.

6 petang: Akhiri hujung minggu anda dengan menikmati minuman terakhir di bar St. Johns. Ia dibina di bekas tapak stesen ambulans berhampiran pusat bandar sebelum berkemas pulang dengan meninggalkan pengalaman berharga selama dua hari di Wellington.

SEBUAH kapal persiaran berlepas dari Pelabuhan Wellington menuju ke Pulau Selatan, New Zealand.

Amsterdam ibarat syurga dunia


Oleh: ASMIZAN MOHD SAMIRAN

“DUDUK di bilik hotel sajalah.” Itu sindiran seorang rakan ketika bersama penulis menukar mata wang Ringgit Malaysia (RM) kepada Euro sehari sebelum bertolak ke Belanda untuk mengikuti program temuramah eksklusif bersama penerbit, pengarah dan pereka bunyi filem animasi Wall.E atas jemputan Buena Vista Columbia Tristar Films (Malaysia) Sdn Bhd, baru-baru ini.

Bukan apa, ketika itu mata wang Euro yang diterima hanya beberapa keping walaupun rasanya banyak RM dikeluarkan. Ia sekali gus memberi bayangan, peluang untuk penulis melawat lokasi menarik di Belanda tipis.

Begitupun, apabila di Belanda, semua kebimbangan itu hilang kerana penulis tidak duduk memendam rasa di bilik hotel.

Sepanjang tiga hari di negara kincir angin itu, puas rasanya apabila berjaya memanfaatkan masa terluang dan wang yang ada dengan berkunjung ke beberapa lokasi menarik.

Di Belanda, penulis menetap di Grand Hotel Huis Ter Duin yang terletak dalam daerah Noordwijk — satu lokasi pinggir bandar yang mempunyai kampung dan pantainya sendiri.

Memandangkan penulis kini di Noordwijk, masa terluang untuk hari pertama dimanfaatkan dengan berkunjung ke Amsterdam.

Bersama rakan dari akhbar The Star dan Sin Chew Daily, kami berbincang bagaimana untuk ke Amsterdam dari Noordwijk. Pada mulanya kami memilih jalan mudah iaitu menaiki teksi, tetapi apabila bertanya kakitangan hotel, kami diberitahu perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya 100 euro (RM500).

Selepas saling berpandangan, kakitangan hotel mencadangkan kami menaiki bas dan kemudian tren ke Amsterdam kerana kosnya jauh lebih rendah.

Perjalanan dimulakan dengan berjalan kaki ke perhentian bas berhampiran hotel yang mengambil masa hanya lima minit. Kami menaiki bas berwarna hijau yang menggunakan nama connexxion.

Keadaan bas itu tidak banyak bezanya dengan bas Rapid KL. Tambangnya pula dibayar kepada pemandu untuk mendapatkan tiket.

Dengan tambang sebanyak 2,20 euro (RM11), kami berhenti di stesen Laiden Centraal selepas menempuh perjalanan selama 20 minit.

Tiba di stesen itu, kami cuba mendapatkan tiket tren untuk ke Amsterdam menerusi sebuah mesin tiket yang tersedia di pintu masuk.

Memang canggih mesin itu kerana ia turut menerima kad kredit, tetapi dalam pada canggih, rupa-rupanya ia hanya menerima wang syiling.

Hendak masuk ke dalam, bimbang tidak boleh masuk kerana kami sangka ia pintu masuk automatik yang hanya boleh digunakan jika ada tiket.

Bagaimanapun, seorang gadis Belanda bermata biru dengan penuh ramah menegur dan memberitahu, kami boleh masuk saja tanpa memerlukan tiket.

Gadis itu turut memberitahu, kami boleh mendapatkan tiket menerusi kaunter yang disediakan di dalam. Belum sempat bertanya nama, gadis itu berlalu sambil mengusung basikalnya.

Bercakap mengenai basikal, di Belanda, kenderaan itu menjadi pengangkutan utama penduduknya. Tidak hairan, di mana-mana saja ada basikal, termasuk di dalam tren!

Dari Laiden Centraal, kami perlu ke stesen Amsterdam Centraal untuk ke kota Amsterdam. Kami memilih tambang kelas dua dengan harga 14,90 euro (RM74.50) untuk perjalanan pergi dan balik.

Tak sempat pula penulis mengetahui lebih lanjut apa perbezaan kelas pertama dan kedua, tetapi bagi penulis, kelas kedua yang disediakan cukup selesa.

Di dalam tren, bayangan suasana berkunjung ke Amsterdam yang diuar-uarkan sebagai ‘kota kebebasan’ mula terasa apabila penulis melihat seorang remaja dengan selamba membalut rokok yang diisi ganja!

Melihat penulis asyik memerhatikannya, remaja itu menunjukkan isyarat bagus kepada benda di dalam genggamannya. Bimbang menjadi ‘panjang cerita’ penulis senyum kepadanya dan pura-pura tidur.

Hanya dalam tempoh 30 minit, kami tiba di stesen Amsterdam Centraal dan tanpa berlengah kami berjalan keluar dari stesen berkenaan.

Kami berpecah untuk meneroka Kota Amsterdam dengan berjalan kaki mengikut kemampuan masing-masing dalam tempoh empat jam sebelum berjumpa semula di pintu keluar stesen berkenaan.

Dalam suasana hiruk piruk pelbagai jenis manusia yang lalu lalang, seni bina bangunan di kota berkenaan nyata memukau pandangan dan menyejukkan mata memandang.

Lebih menarik, kota yang padat dengan bangunan dan manusia itu boleh dijelajahi menggunakan jalan air dengan menaiki ‘Canal Cruises’ (bot).

Berdasarkan maklumat diperoleh di Internet, Amsterdam dikatakan ada banyak muzium dan ia ternyata benar apabila hanya dalam tempoh lima minit berjalan, penulis secara tidak sengaja menemui sebuah muzium. Bukan sembarangan muzium, tetapi muzium seks!

Selepas itu, dalam tempoh 10 minit, penulis terjumpa sebuah lagi iaitu Muzium Madame Tussaud yang terkenal dengan patung lilin tokoh terkemuka seluruh dunia. Pengunjung terpaksa beratur panjang untuk masuk ke muzium ini.

Terletak di Dam Square, dataran ini dikatakan ‘jantung’ Amsterdam. Tidak hairan ia sentiasa dipenuhi pengunjung tidak kira pelancong atau penduduk tempatan.

Selain tempat untuk bersantai, kunjungan ke dataran itu tambah menarik apabila ada beberapa individu mencari rezeki dengan melakukan pelbagai aktiviti.

Antaranya memakai kostum seperti Darth Vader (Star Wars) dan menunjukkan aksi luar biasa kemampuan melepaskan diri walaupun tangan dan kaki diikat rantai, besi dan kayu. Yang menarik, mungkin bimbang berlaku kejadian tidak diingini, sepanjang lelaki itu menunjukkan aksinya, sebuah ambulans diletakkan di kawasan berhampiran.

Selepas berehat sebentar di dataran itu, perjalanan diteruskan mengikut langkah kaki. Tidak semena-mena seorang lelaki menegur sambil menghulurkan sesuatu dan bertanya: “Awak mahu ini?”

Rupa-rupanya lelaki itu mahu menjual ganja dan baru penulis sedar, langkah kaki ini membawa penulis ke ‘Red Light District’ — lokasi yang memang tercatat di dalam peta dan ‘menghalalkan’ dadah serta pelacuran.

Pelawaan itu penulis tolak dan perjalanan menjadi semakin ‘mencabar’ apabila terpampang di depan mata deretan kedai barangan lucah, termasuk video cakera padat digital (DVD). Itu belum lagi deretan kedai ‘Head Shop’ yang menjual pelbagai barangan berkaitan dadah, terutama ganja seperti benih, alat menghisap bahan itu, pakaian dan cenderamata bermotifkan ganja.

Di ‘Coffee Shop’ pula, paling menarik perhatian, hiasan meja makan yang disediakan adalah pokok ganja yang segar bugar!

Dikhabarkan, lokasi berkenaan meriah pada waktu malam dan tidak hairan perjalanan pada siang hari boleh dikatakan biasa saja. Begitupun, ‘wanita di dalam cermin’ sudah memulakan operasi dengan mengetuk cermin bagi menarik perhatian sesiapa yang lalu lalang.

Kunjungan ke lokasi panas itu berakhir dengan sesi makan tengah hari di kedai makan halal diusahakan warga Arab yang ditemui secara tidak sengaja.

Satu nasihat untuk sesiapa yang berkunjung ke sebuah negara yang tukaran mata wangnya lima kali ganda daripada RM, jangan terlalu memikirkannya, kerana nanti tak lalu makan.

Di kedai makan itu penulis memilih untuk makan spaghetti dengan harga 12 euro (RM60), manakala minuman pula air mineral berharga 6 euro (RM30). Penulis harus pasrah dengan harga itu.

Hanya tinggal sejam sebelum kembali ke Amsterdam Centraal, masa yang ada dimanfaatkan dengan berkunjung ke kedai cenderamata yang pasti membuatkan sesiapa melihat rambang mata.

Tidak keterlaluan dikatakan kedai cenderamata terlalu banyak, tetapi tiada gunanya jika sekadar melihat. Kesudahannya, sambar juga beberapa helai kemeja T dan cenderamata seperti rantai kunci, walaupun harganya menyesakkan dada.

Apa tidaknya, untuk kemeja T bersaiz dewasa, tiada yang berharga di bawah 10 euro (RM50). Kebanyakan yang penulis temui berharga 14 euro (RM70).

Tanpa sempat berkunjung ke kilang keju dan terompah kayu — sesuatu yang lazimnya dilakukan pelancong — penulis pulang ke hotel penginapan dengan perasaan puas apabila dapat melihat sendiri kota Amsterdam.

Ehsan: Harian Metro (Ogos 2008)

Rahsia Belum

Oleh Wan Noriza Meor Idris dan DJ Dolasoh

MELIHAT kehidupan masyarakat Orang Asli dengan mata sendiri membuatkan hati kagum dengan ketabahan mereka menempuh cabaran hidup di Hutan Royal Belum yang menyimpan seribu satu rahsia.

MELIHAT kehidupan masyarakat Orang Asli dengan mata sendiri membuatkan hati kagum dengan ketabahan mereka menempuh cabaran hidup di Hutan Royal Belum yang menyimpan seribu satu rahsia.

Penulis diberitahu Orang Asli di sini adalah dari suku kaum Semai dan Jahai yang memburu harimau belang untuk makan malam satu ketika dahulu.
Cerita ini membuatkan penulis ghairah untuk mengenali suku kaum yang dianggap berani ini.

Pulau Banding di utara Perak bersama 20 pulau kecil di Tasik Banding menjadi pintu masuk ke Hutan Royal Belum, satu daripada hutan simpan yang masih kekal terpelihara, tetapi berusia lebih 130 tahun.

Penulis yang gemar alam semula jadi tidak melepaskan peluang apabila dijemput Yayasan Emkay untuk menikmati keindahan anugerah Ilahi itu selama tiga hari dua malam.

Di Hutan Royal Belum, mata penulis terpaku dengan keindahan alam semula jadi, suasana hutan hijaunya yang mendamaikan dan bunyi unggas rimba yang menghibur kan.

Selesai makan malam, kami mendengar taklimat Ketua Promosi dan Publisiti Pulau Banding, Roslan Ali dan Pe ngurus Besar Resort Hutan Royal Belum, Rostam Mu hammad sebelum beradu di katil empuk di bilik ma sing-masing yang berdindingkan kayu hutan.

Esoknya, seawal jam 7.30 pagi, kami menaiki bot ke Sira Tersau, lokasi yang dikenali sebagai sungai air panas.

Sepanjang perjalanan menaiki bot, saya mengintai kebiruan air tasik yang indah, umum diketahui dihuni ikan toman, kelah, kaloi dan molek.

Sesekali mata menjeling Hutan Royal Belum yang masih dara, cantik dan memukau.

Jurupandu kami, Mohd Afzaimi Mohd Shah atau Mie memberitahu kadangkala pelancong boleh melihat pelanduk, kijang, harimau belang, gajah atau badak Sumatera di tebing tasik menghirup air.

Selepas setengah jam perjalanan, kami singgah di Pulau Batu Putih, pusat sarang lebah dan sarang helang.

Kira-kira 15 minit kemudian kami meneruskan perjalanan ke Sira Gajah, kawasan pasir berbukit yang ditarah hidupan liar terutama gajah untuk mendapatkan bekalan garam galian dan mineral semula jadi.

Baru membuka langkah, kami dikejutkan dengan kesan cakaran harimau di sebuah pokok dan kesan tapak kaki beruang.

Mie yang bekerja sebagai jurupandu pelancong di Hutan Royal Belum lebih dua tahun dan anak jati Gerik men tenteramkan kami dengan mengatakan kesan itu berusia hampir setahun.

Sira berlopak, kering atau berair di situ turut ‘ditandakan’ gumpalan sisa najis gajah yang dikatakan singgah di situ beberapa bulan lalu.

Garam galian berkenaan yang menghasilkan sumber mi neral semula jadi penting bagi hidupan liar sebagai sumber tenaga alternatif.

Gajah umpamanya, memakan pasir sira, menjilat dan meminum air daripada celahan pepasir yang dikorek haiwan berkenaan sebagai suatu sumber keperluan tenaga.

Puas menjejaki lokasi Sira Gajah, perjalanan diteruskan ke Sira Tersau dengan menaiki bot.

Sepanjang perjalanan kami dijamu dengan beberapa pulau kecil yang dihuni dua rumah Orang Asli dipercayai kaum Jahai, yang menetap secara nomad iaitu berpindah-randah.

Kami turut melalui permukaan kawasan Kampung Belum lama yang ditenggelami air dan melihat Empangan Chen deroh.

Asalnya, sebahagian Lembah Belum ditenggelami air ekoran pembinaan Empangan Temenggor pada 1974.

Nama hutan itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu iaitu Kampung Belum Lama meliputi enam per kampungan kecil yang wujud sejak 1952.

Kampung Belum itu sendiri pula dikatakan mendapat nama sempena bunyi ‘belum…belum…’ daripada sejenis belalang hijau besar yang banyak menghabiskan masa di pucuk pokok rotan.

Lembah Belum juga pernah disenarai sebagai kawasan hitam pada 1948 kerana aktiviti pengganas komunis.

Hutan hujan tropika yang tertua dan hutan dara yang terbesar di Semenanjung Malaysia itu diisytihar Royal Belum oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Kuala Sungai Kejar, Banding pada Julai 2003.

Sampai di Sira Tersau, kedatangan kami disambut seekor pelanduk yang kemudian melompat melarikan diri gara-gara terkejut dengan deruan enjin bot.

Puas dengan bahang kehangatan Sira Tersau kami me neruskan perjalanan ke perkampungan Orang Asli Kampung Chueh.

Saat-saat manis bila berkesempatan menikmati makan tengah hari di tepi air terjun Sungai Nam. Kemudian, kami mendaki puncak bukit Sungai Nam untuk melihat keindahan air terjunnya.

Di Kampung Chueh, penulis mengambil kesempatan men cuba sumpit buatan tangan Pak Ahim, 56, yang katanya menjadikan koleksi sumpitnya untuk didagangkan di bandar Gerik selain tongkat ali dan gaharu.

Menurutnya, dengan satu sumpitan, seekor gajah dewasa dapat ‘ditumbangkan’ apatah lagi Pak Belang.

Penulis melihat masyarakat Orang Asli menggunakan ung gun api dalam rumah untuk memasak dan menghangatkan suasana malam.

Ekspedisi diteruskan ke Pulau Besar iaitu lokasi bunga Rafflesia Azlanii yang dikatakan unik.

Namun, kami kurang bernasib baik kerana gagal melihat Rafflesia berkembang.

Ekspedisi hari terakhir, kami dibawa ke perkampungan Orang Asli Sungai Tiang dan ditemani Pengerusi Eksekutif Yayasan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal.

Di Sungai Tiang, kami dikejutkan 415 penduduknya yang mesra serta didedahkan dengan dunia pendidikan oleh pihak Emkay.

Kanak-kanak Orang Asli asyik bermain di taska pertama dibina syarikat Emkay.

Sebelum berangkat pulang, kami beramah mesra dengan masyarakt Orang Asli yang nyata menerima kehadiran kami dengan baik.

Pengalaman bersama mereka meninggalkan seribu ke nangan yang sukar dilupakan apatah lagi saya tidak pernah berada di perkampungan mereka sebelum ini.

Orang Asli dan Hutan Royal Belum adalah sinonim kerana kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Dan, inilah uniknya rimba yang menjadi khazanah negara.

>Bagaimana Ke Sana

Untuk ke Hutan Royal Belum, anda perlu ke Hulu Perak sama ada melalui jalan raya (bas di Hentian Duta sekiranya daripada Kuala Lumpur dan teksi), kereta api atau udara.

Jika melalui jalan raya, anda perlu menyusur Lebuhraya Selatan-Utara jika dari Kuala Lumpur dan selatan serta melalui Jalan Raya Timur-Barat jika dari Kelantan atau pekan Baling, Kedah dan Pengkalan Hulu jika dari utara.

Pengunjung mempunyai pilihan sama ada untuk memilih mendirikan khemah ketika bermalam di tepi tasik atau menginap di Resort Hutan Diraja Belum. Sebarang maklumat diminta melayari laman web http://www.belumresort.com

Pantai Morib belum dilupakan


Ingin mencari pantai yang tenang tanpa perlu jangkaan komersial tinggi? Pandulah bersama teman-teman ke arah selatan Selangor untuk ke Pantai Morib.


BAZAR bermusim, taman permainan, medan selera dan gerai jualan adalah antara entiti yang memeriahkan kunjungan seseorang ke Pantai Morib.



pabila tiba giliran Morib untuk menjadi destinasi persinggahan minggu ini, terlintas juga di hati; ‘Apakah yang ada di situ? Masih bernyawakah pantainya?’

Tanggapan itu segera berubah saat kami tiba. Nyata sudut istimewa di daerah Kuala Langat, Selangor ini amat relevan dengan produk pelancongan itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Walaupun nilai komersial Pantai Morib tidak sehebat pantai popular lain di sebelah barat Semenanjung Malaysia, ia masih menyimpan banyak tarikan rekreasi, sejarah lampau dan kenangan percutian.

Terletak berdekatan Simpang Morib, kira-kira 10 kilometer dari pekan Banting, Morib adalah kawasan pesisiran pantai yang menarik kedatangan ribuan pengunjung setiap tahun.

Suatu ketika dahulu, ia pernah menjadi pintu masuk terawal bagi angkatan tentera British dan India ketika Perang Dunia Kedua. Hari ini, sebuah tugu bagi mengingati peristiwa tersebut masih boleh ditemukan.

“Orang masih datang ke Pantai Morib terutamanya di sebelah pantai yang landai di sana. Hujung minggu lebih meriah kerana ramai pengunjung.


SEMENTARA urusan riadah boleh dilakukan di banyak bahagian Pantai Morib, tuntutan ibadat pula selesa ditunaikan di Masjid Jamek Morib yang terletak berdekatan.



“Medan selera pun nampak bernyawa. Itu belum termasuk keseronokan mereka yang mencuba bakat nyanyian karaoke berdekatan auditorium,” ujar salah seorang penjaja gerai di pantai tersebut.

Diberitahu oleh penduduk tempatan, apabila air pasang, paras air dikatakan hampir sama tinggi dengan tebing batu di sepanjang kawasan medan selera pantai itu.

Namun, apabila air surut, seseorang perlu berjalan di atas pasir yang rata dan landai sejauh 400 meter dari pantai untuk sampai ke gigi air. Sesiapa yang berminat menambah koleksi cangkerang laut, inilah masanya!

Terdapat dua buah penginapan yang paling hampir dengan pantai. Sementara Hotel Sri Morib menambah nilai penginapannya dengan akses ke kelab golf, Impian Morib Hotel pula merangkaikan tarikan penginapannya dengan pakej kursus selain kolam renang yang besar.

“Ramai datang ke Morib untuk beristirehat dan menikmati keringkasan gaya hidup. Biasanya tetamu hotel kami disyorkan untuk melawat perusahaan membuat kerepek dan ladang buah-buahan yang terletak di sekitar Tanjung Sepat,” kata penyelaras jualan Impian Morib Hotel, Siti Faradilah Tamby.

Apa yang jelas, kebersihan Pantai Morib kekal terjaga. Biarpun airnya belum tentu menjanjikan warna kebiruan, ia masih lagi menjadi tumpuan pengunjung dalam kumpulan teman mahupun bersama keluarga untuk mandi-manda.

Namun, jika tidak bercadang untuk membasahkan diri, mungkin aktiviti bermain layang-layang, beriadah atau berkelah di hamparan rumput hijau yang diredup pohon-pohon rhu dan palma boleh menceriakan hujung minggu seseorang.

Selain itu, aksi lasak boleh disaksikan di Padang Awam Pantai Morib kerana ia banyak kali menjadi gelanggang bagi sukan ragbi dan bola sepak pantai.

Anda kaki pancing? Mungkin gian itu boleh dilepaskan di beberapa tempat di sepanjang pantai. Tanyakan saja pada penduduk tempatan untuk tip dan panduan lokasi.

Sambil keperluan beribadat boleh ditunaikan di Masjid Jamek Morib yang terletak tidak jauh dari padang awam itu, keinginan selera pula boleh dilunaskan di medan selera dan bazar bermusim.

Deretan gerai yang menawarkan pelbagai snek tradisi juga boleh didatangi jika sekadar hendak mengisi perut sambil menikmati hembusan angin dan panorama matahari terbenam.

“Tulis yang baik-baik ya,” kata seorang mak cik yang leka menyusun barang jualannya di sebuah gerai. Mungkin bimbang jika masih ada yang tidak percaya bahawa pantai tempatnya mencari rezeki itu masih indah dengan pelbagai tarikannya.

Ya mak cik, Pantai Morib pastinya belum dilupakan! – HAMZAH ABDUL HAMID

Tetamu Tanjung Tuan


Pelbagai tarikan boleh ditemui di sini yang menjadi tumpuan pencinta alam sekitar, penggemar sejarah serta kelompok burung migrasi.


BURUNG pemangsa menjadikan tanjung ini tempat persinggahan dan mencari makan.



MENGAPA unjuran hijau yang menghadap Selat Melaka ini sungguh istimewa? Sebenarnya destinasi ini menyimpan banyak tarikan yang bersifat akademik, lasak dan berorientasikan keluarga.

Penginapan paling ideal di Tanjung Tuan ialah Ilham Resort yang menyediakan sejumlah 56 unit apartmen yang lengkap dengan perabot dan kemudahan asas.

Bagi yang ingin mencabar fizikal dan minda, petugas resort sedia dihubungi bagi sebarang urusan penganjuran aktiviti seperti selam snorkel, memancing, meniti jambatan gantung, jet ski serta aktiviti bertali termasuk terbang keluang (flying fox).

Menyusur laluan dalam kawasan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan (yang hanya bersebelahan dengan resort) untuk sampai ke Rumah Api Tanjung Tuan akan membawa seseorang merasai pengalaman treking yang berunsur sejarah, lasak dan mistik.




Sebelum tiba di rumah api tersebut, seseorang boleh singgah menyaksikan beberapa telaga usang, bekas tapak kaki Hang Tuah, pantai tersembunyi yang indah serta lereng-lereng bukit yang mencabar fizikal.

Ingin melihat keajaiban air mata air yang mengalir dari rekahan batu tebing pantai, di sini ia boleh ditemukan dan diminum terus!

Saat tiba di puncak bukit, pengunjung mudah mengenal pasti sebuah rumah api yang juga dikenali dengan nama Rumah Api Cape Rachado.

Tapak rumah api yang pernah musnah akibat perang yang meletus pada abad ke-16 ini boleh dikelilingi untuk melihat pemandangan laut luas.

Jika tidak mahu terlalu letih, tetamu Ilham Resort boleh sekadar beristirehat di pekarangannya yang dilengkapi kemudahan kolam renang dan halaman rumput hijau. Resort ini juga menguruskan lawatan ke tempat pelancongan berdekatan.


TELAGA usang ini dipercayai wujud sejak Hang Tuah menjadi Laksamana Melaka.



Menariknya, di halaman resort itu jugalah, menjadi lokasi tahunan bagi menjayakan program Raptor Watch Weekend. Ia merupakan program anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan mendapat kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Negeri Melaka.

Raptor Watch mengajak orang ramai menyaksikan kedatangan beratus-ratus burung migrasi ke kawasan hutan Tanjung Tuan.

Bertindak sebagai lokasi transit, hutan di kawasan tersebut membekalkan burung-burung pemangsa ini dengan keperluan makanan, santuari rehat serta perlindungan sebelum meneruskan perjalanan bermusim melintas hemisfera.


HUTAN Rekreasi Tanjung Tuan untuk aktiviti lasak.



Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pernah merekodkan kedatangan lebih kurang 54 spesies burung di Tanjung Tuan. Apa tunggu lagi? Siapkan perkakasan bantuan penglihatan jarak jauh masing-masing dan datanglah ke sini! – HAMZAH ABDUL HAMID

Sehari di Yogyakarta



Walaupun sehari, ia sudah cukup untuk mengagumi Candi Borobudur yang terkenal dengan kehebatan arkitekturnya.


PEMANDANGAN Gunung Merapi yang memuntahkan lahar.



SEWAKTU menaiki penerbangan AirAsia AK 1004 ke Yogjakarta dari Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) Sepang baru-baru ini, penulis sempat berbual dengan Mas, 22, gadis Indonesia yang mahu pulang ke daerah yang terkenal dengan tarikan pelancongan itu.

Menurut Mas yang bekerja di sebuah kilang di Johor, Malaysia adalah negara makmur dan menjadi lubuk emas kepada sesiapa yang rajin berusaha.

“Di Jogja (panggilan Yogyakarta), anda boleh melihat rakyat Indonesia melakukan pelbagai pekerjaan demi sesuap nasi.

“Malah ada yang sanggup mengetuk pintu kereta yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya semata-mata untuk menjual surat khabar berharga kira-kira 50 sen,” katanya.

Pesawat AK 1004 AirAsia selamat mendarat di Lapangan Terbang Adisucipto, Yogjakarta tepat pukul 4 petang.

Penulis dan rakan-rakan media lain kemudian bergegas ke Hotel Hyatt Regency untuk majlis pelancaran penerbangan harian AirAsia pergi-balik Kuala Lumpur- Yogjakarta.


PEMANDANGAN Candi Borobudur.



Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandez dan Setiausaha Kerajaan Tempatan Yogjakarta, Tri Harjun.

Sebelum ini, penerbangan pergi balik Kuala Lumpur – Yogjakarta hanya pada hari Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat, namun dengan bilangan penumpang yang mencecah 75 peratus, AirAsia memutuskan membuat penerbangan harian.

Usai acara, kami bertolak ke sebuah restoran yang terletak berhampiran kompleks kuil Prambanan, 17 kilometer dari bandar Yogjakarta.

Berdasarkan perbualan dengan seorang pekerja restoran, kuil itu dibina oleh Dinasti Sanjaya pada kurun kesembilan Masihi.

Kuil Pramban turut mempunyai kuil kecil yang dipanggil pewara. Di bahagian utara kuil tersebut terdapat patung permaisuri yang cantik dikenali sebagai Roro Jonggrang.

Berdasarkan cerita klasik, Roro Jonggrang ialah anak Raja Boko, pemerintah Yogjakarta zaman silam yang disumpah menjadi patung kerana enggan berkahwin dengan seorang lelaki luar biasa bernama Bandung Bondowosono.


MENCARI sesuap nasi di Yogjakarta.



Kerana tidak mahu berkahwin, Roro membuat helah dengan meminta Bandung membina 1,000 buah kuil dalam tempoh sehari.

Dengan kesaktian yang dimilikinya, Bandung hampir menyiapkan semua kuil tersebut tetapi Roro telah membakarnya terlebih dahulu sebelum ia sempat disempurnakan. Akibat terlalu marah, Bandung menyumpah Roro menjadi patung.

Bagaimana pula dengan pengalaman gastronomi di Yogyakarta? Kebanyakan makanan tradisi Yogyakarta manis belaka. Namun ayam goreng kalasan atau dikenali sebagai ayam goreng mbok bere cukup mencabar selera.

Hasil ramuan yang terdiri daripada halia, daun ketumbar dan kerak serta daging ayam, ia bagaikan pisang goreng – lembut dan berkerak.


PENDUDUK Kampung Kinahrejo, yang berhampiran Gunung Merapi dalam satu upacara menolak bala.



Sup soto enak dimakan bersama tempe, bergedel dan hati ayam yang diperahkan air limau nipis.

Jangan lepaskan peluang menikmati minuman tradisi masyarakat di sini iaitu wedang ronde yang mengandungi kacang, serai dan kayu manis.

Lebih istimewa minuman ini dapat membantu menghangatkan tubuh pada malam yang dingin.

Suasana di bandar Yogyakarta jauh berbeza daripada Kuala Lumpur. Walaupun baru pukul 10 malam, keadaan seakan-akan mati dengan hampir semua kedai sudah ditutup.


KIRI: Menanam padi merupakan salah satu aktiviti pertanian terpenting di Yogyakarta.



Namun, masih ramai pelanggan yang dilihat leka menikmati makanan di warung-warung tepi jalan. Menariknya, mereka tidak duduk di meja sebaliknya bersila di atas tikar.

Terletak sejauh 42 kilometer dari bandar Yogyakarta, Candi Borobudur iaitu salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia merupakan destinasi kami seterusnya.

Selain binaannya yang unik, di dinding-dindingnya terdapat 27,000 gambar yang menceritakan kisah misteri candi itu.

Borobudur Silver terletak lima kilometer dari candi berkenaan. Di sana, pengunjung berpeluang membeli berbagai-bagai cenderamata pada harga yang berpatutan.

Dari situ, kami menuju ke Restoran Suharti untuk menikmati makanan tengah hari. Di sepanjang jalan, penulis kagum dengan cara rakyat Indonesia mencari rezeki, daripada penarik beca, penjual surat khabar sehingga penunggang kuda.

Petang itu juga, kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Walaupun hanya sehari di Yogjakarta, namun kembara sehari itu sudah cukup untuk memberi gambaran sepintas lalu mengenai kehidupan di bandar budaya dan kesenian antara yang terkenal di dunia ini.

Pesona dasar laut Farasan Banks

Arab Saudi sering dianggap pilihan percutian yang kontroversi. Tetapi bagi penyelam, ia menawarkan beberapa lokasi terumbu karang terakhir dunia yang masih belum disentuh.


TERUMBU karang Farasan Banks belum pernah disentuh oleh manusia sebelum ini.


JIKA anda seorang ejen pelancongan, anda mungkin mendapati bahawa Arab Saudi ialah salah sebuah negara yang sukar untuk dijual atau dipromosi sebagai sebuah lokasi percutian popular.

Apatah lagi negara Barat sering melaung-laungkan bahawa ia adalah sebuah negara yang penuh dengan ancaman pengganas, satu pandangan yang skeptikal dan tidak wajar.

Namun, mungkin ramai tidak menyedari bahawa Arab Saudi sebenarnya mampu menyediakan satu pakej percutian yang menarik iaitu di kawasan sekitar pesisir pantai Laut Merah.

Untuk pengetahuan anda, di Laut Merah terdapat beberapa lokasi atau kawasan di mana terdapat terumbu karang dara terakhir dunia yang masih belum disentuh atau tercemar, selain kawasan menyelam yang paling jernih di planet Bumi.

Itulah perkara yang menyebabkan saya begitu tertarik dan terpesona dengan keindahan pemandangan dasar laut di Laut Merah.

Saya sebenarnya telah dijemput ke Arab Saudi oleh Dream Divers, sebuah syarikat selaman yang beroperasi di selatan negara tersebut.

Selepas mendarat di landasan lapangan terbang Sultan Abdulaziz di Jeddah, kami memulakan perjalanan menaiki kereta selama dua jam setengah ke selatan Arab Saudi di mana jalan tersebut berakhir di Yaman.

PENYU Hawksbill adalah antara penghuni dasar Farasan Banks.


Untuk beberapa kilometer perjalanan dan setelah kami merentasi pesisir pantai Laut Merah, kami sampai di bandar Al Lith yang kelihatan banyak masjid, rumah dan padang bola sepak.

Ia juga merupakan rumah kepada ketua Al Ahlam Marina, Eric Mason, bekas rakyat Britain yang menubuhkan Dream Divers selepas tiba di negara tersebut 36 tahun lalu.

Kami kemudian bertemu Eric yang telah memeluk agama Islam tujuh tahun lalu sebelum dibawa menaiki bot dan meronda menyaksikan keindahan air laut yang begitu jernih.

Hampir dua jam setengah selepas itu, kami mula memasuki lokasi yang dikenali sebagai salah satu tempat paling berbahaya di dunia di mana lanun-lanun menjalankan operasi mereka dari Sudan dan Somalia.

Tetapi kami bernasib baik kerana dapat sampai di Farasan Banks, sebuah pulau kecil yang kaya dengan keindahan semula jadi, terumbu karangnya yang masih belum disentuh tanpa masalah.

Enam bulan lalu, saya tidak dibenarkan untuk menjejakkan kaki di sini. Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi mula mengeluarkan visa kumpulan pelancong pada penghujung tahun 2007.

HIDUPAN laut yang pelbagai menjadi tarikan.


Saya juga dimaklumkan bahawa saya merupakan pelancong Britain pertama yang berpeluang melawat tempat ini. Di dalam hati, terselit juga rasa bangga kerana mendapat kelebihan sebegini.

Eric memberitahu bahawa dia percaya negara ini mempunyai potensi pelancongan yang amat besar. Jika dimajukan, tidak mustahil Jeddah mampu menarik minat ramai pelancong dari serata dunia.

“Kawasan pesisir laut di Jeddah amat unik. Hanya terdapat dua buah bot yang berfungsi di pesisir pantai sepanjang 1,800 kilometer. Ia masih dara dan belum tercemar. Laut Merah mampu menawarkan satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan.

“Dengan keindahan terumbu karang serta spesies hidupan lautnya yang pelbagai, ia menjanjikan keseronokan yang tidak terhingga,” jelas Eric.

UNDANG-UNDANG ketat di Arab Saudi sebelum ini tidak begitu terbuka pada pelancongan.


HAMPARAN gurun menjadi pemandangan dalam perjalanan ke Al Lith.


Farasan Banks juga tidak kurang uniknya. Airnya yang jernih kehijauan serta pasir pantainya yang memutih memukau pandangan mata.

Untuk pengetahuan anda, Farasan Banks merupakan siri mengenai ribuan terumbu karang kecil dan beberapa buah pulau sebesar saiz padang bola. Ia terletak bersempadan dengan Sudan dan lebih ribuan kilometer ke selatan Sharm El Sheikh di Mesir.

Antara pulau-pulau kecil yang terdapat di Farasan Banks termasuklah Malattu, Dohar, Marmar dan Jadir.

Kawasan ini adalah tempat strategik untuk penyu Hawksbill dan Green Turtles bersarang.

Anda boleh menyaksikan penyu-penyu melintasi pantai-pantai di sini pada setiap petang sama ada untuk berehat atau menimbus diri di dalam pasir dan juga untuk bertelur. Namun, jika anda menghampirinya terlalu rapat, ia mungkin akan menyerang.

Tetapi keajaiban sebenar terletak di bawah air iaitu terumbu karang Long Reef yang masih belum disentuh atau dicemari ‘tangan-tangan manusia’ sambil dikelilingi ikan-ikan kecil yang berwarna-warni.

“Lokasi ini lebih baik berbanding Mesir kerana ia mempunyai lebih banyak ikan dan batu karang yang berwarna-warni,” kata Ralph, seorang warga Jerman yang bertugas sebagai instruktor di Sharm el-Sheikh.

“Semalam saya melihat beberapa ekor ikan jerung hammerhead. Mereka mungkin hanya melihat 50 orang penyelam dalam hidup mereka. Anda tidak dapat melihatnya di Mesir kerana terdapat lebih 20 buah bot berulang-alik di sana setiap hari.”

Selepas tiga hari di pulau tersebut, kami kembali semula ke Jeddah dengan perasaan yang berbelah bahagi kerana terpaksa meninggalkan kawasan yang indah ini.

Di Jeddah, kami dapat melihat ramai wanita Afrika menjual barangan cenderamata seperti tulisan khat dan sebagainya.

Untuk pengetahuan anda, tahun 2008 menyaksikan wanita di Arab Saudi buat kali pertamanya dibenarkan mengembara tanpa ditemani lelaki yang mempunyai pertalian saudara atau sebagai mahram.

FARASAN Banks menjadi syurga baru bagi para penyelam.


Bagaimanapun, menurut Eric, pada hujung tahun ini, dia percaya wanita juga akan dibenarkan untuk memandu. – Agensi

*** Untuk sebarang maklumat mengenai Dream Divers, bolehlah melayari laman web http://www.dreamdiver.net.

Kabus di puncak Ciremai



Ciremai adalah gunung tertinggi di Jawa Barat, Indonesia dan puncaknya terletak di ketinggian 3,078 meter dari paras laut. Ia dianggap gunung kedua paling ‘keras’ di Pulau Jawa.




“BANYAK plastik atau botol-botol bekas air mineral yang berisi air seni bergantungan di pohon kerana adanya larangan kencing secara langsung pada gunung yang dianggap suci ini,” – begitulah tulis Herman O. Lantang yang merupakan tokoh legenda dalam dunia pencinta alam di Indonesia dalam kata-kata pengantar yang dipetik dari buku tulisan Harley Bayu Sastha bertajuk Mountain Climbing For Everybody: Panduan Mendaki Gunung (cetakan 2007). Air seni bermaksud air kencing dan gunung yang dianggap suci ini merujuk kepada Gunung Ciremai.

Ciremai adalah gunung tertinggi di Jawa Barat, Indonesia dan puncaknya terletak di ketinggian 3,078 meter dari paras laut (dpl). Ia dianggap gunung kedua paling ‘keras’ di Pulau Jawa. Gunung paling ‘keras’ adalah Gunung Raung yang terletak di Jawa Timur.

Seperti benar apa yang dikatakan itu. Ini kerana saya melihatnya sendiri ketika mendaki Gunung Ciremai yang juga disebut sebagai Cereme, Careme dan Cerme pada bulan Februari lalu.

Berikut catatan pendakian kami seramai sembilan orang yang terdiri daripada pendaki Malaysia dan Indonesia ke puncak Ciremai pada 6 hingga 8 Februari 2008.

Hari pertama Awal-awal lagi, saya telah dimaklumkan oleh Kak Leha tentang betapa ‘keras’nya gunung ini.

Masih saya teringat kata-katanya: ”Kau nak daki Gunung Ciremai…keras tempat tu. Nak kencing…kena tadah. Tak boleh kena tanah.”

Jika mengikut jadual asal, kami sepatutnya mendaki sehingga ke Pos 11 (Pengasinan) untuk bermalam. Keesokan harinya, barulah kami mendaki ke puncak Ciremai. Namun, segala perancangan itu tidak menjadi kerana kami mengambil masa hampir empat jam untuk sampai ke Pos 3 (Condang Amis).

Biasanya, untuk sampai ke pos itu dari tempat mula mendaki di sebuah vila di kaki gunung, hanya dua jam diperlukan.

Oleh kerana itu dan ditambah pula dengan hujan maka pendakian hari pertama terhenti di pos ini pada pukul 1.45 petang. Faktor ini juga memaksa kami memulakan pendakian ke puncak pada pukul 2 pagi keesokan harinya.

Hari kedua: Kami memulakan pendakian pada pukul 2.15 pagi bertemankan lampu suluh. Yang tinggal di pondok bagi menjaga beg galas besar dan peralatan perkhemahan ialah Kak Leha, Ana dan Opek yang merupakan penduduk Desa Cilimus. Kak Leha dan Ana tidak mahu ke puncak kerana kata mereka: “Malas nak redah hujan.”


SALING bekerjasama menempuh laluan di tepi cerun yang curam.



Desa Cilimus terletak di kaki gunung Ciremai di Linggarjati yang terletak dalam wilayah Kuningan, Jawa Barat.

Kami hanya membawa beg kecil berisi bekalan minuman dan makanan untuk perjalanan sehari suntuk ke puncak dan berpatah balik ke Condang Amis.

Selain jalur Linggarjati, terdapat dua lagi laluan lain ke puncak Ciremai iaitu jalur Palutungan dan jalur Apuy.

Trek yang kami lalui ini adalah jalur yang paling panjang dan lebih curam berbanding dua trek tersebut.

“Kenapa pilih jalur ini. Lain kali pilihlah jalur yang paling mudah dan cepat,” kata seorang rakan pendaki yang merungut kerana katanya, saya telah membuat kesilapan kerana memilih jalur Linggarjati untuk ke puncak Ciremai.

“Mana aku tahu…Anton yang bawa,” jawab saya ringkas.

Anton ialah penunjuk arah yang merupakan kenalan kami dari Jakarta. Turut menyertai ekspedisi ini ialah rakan-rakan pendaki Indonesia seperti Bismo, Stanley dan Lando. Dalam kegelapan subuh yang hitam pekat, kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di pos berikutnya iaitu Pos 4 (Kuburan Kuda). Trek yang dilalui terus menanjak dan semakin curam. Oleh kerana, sehari sebelumnya, trek disimbah hujan maka laluan amat licin. Kami memerah tenaga untuk sampai ke pos berikutnya iaitu Pos 5 (Pangalap) dan cerun yang didaki semakin curam di antara 65 hingga 75 darjah.

Sepanjang jalan ke pos ini, kami melintasi beberapa tempat yang dianggap keramat oleh penduduk kampung seperti Ceblokan dan Pangalas. Anton bercerita mengenai seorang pendaki yang kerasukan telah mencungkil kedua-dua mata rakannya sehingga buta di kawasan yang kami sedang lalui. Terasa seram tatkala dia bercerita.

Ceritanya: “Apabila tersedar rasukan, pendaki itu terus berlari turun ke desa untuk memberitahu penduduk yang kemudian membuat laporan polis.

“Apabila polis tiba, pendaki malang itu dibawa turun dan dihantar ke hospital,”ujarnya.

Ketika kami mendekati Pos 6 (Tanjakan Seruni), trek semakin tegak dan curam. Ini merupakan trek yang paling mencabar kerana kecuramannya. Cukup membuatkan kami ‘lelah’ kala melepasi kawasan ini. Selepas lebih satu jam menempuh trek ini, kami sampai di Pos 7 (Tanjakan Bapatere).

Semakin ke hadapan semakin mencanak cerun yang didaki sehingga memaksa kami menggunakan kudrat tangan dan kaki untuk melonjakkan badan bagi melepasi cerun curam. Nasib baik ada akar-akar pokok yang boleh dipegang untuk membantu kami naik ke atas.

Tidak lama kemudian, kami sampai di Pos 8 (Batu Lingga). Trek semakin menanjak dan tiada langsung kawasan yang landai. Pos ini merupakan dataran yang luas dan terbuka dan sesuai untuk didirikan khemah. Ia dinamakan Batu Lingga kerana dahulu, terdapat sebuah batu besar tetapi kini, batu itu telah tiada dan dipercayai hilang secara misteri.

Dari Pos 8 ke Pos 9 (Sangga Buana 1), trek yang ditempuh sama sahaja seperti sebelumnya. Kawasan di pos ini juga cukup datar dan luas dan sesuai untuk mendirikan tiga atau empat khemah.


JALUR Gemilang berkibar di puncak Gunung Ciremai.



Masih didominasi trek yang mencanak, kami kemudiannya sampai di Pos 10 (Sangga Buana 2) yang kawasannya tidak begitu luas. Kami berhenti rehat di pos ini agak lama untuk mengalas perut yang mulai berbunyi minta diisi.

“Ada satu lagi pos sebelum sampai puncak,” kata Anton sambil memberitahu kami perlu menempuh Pos 11 (Pengasinan) terlebih dahulu.

“Jauh lagi ke…,” saya bersuara dalam kepenatan.

“Sekitar 45 minit, sampai ke Pengasinan dan 45 minit lagi ke puncak,” jawab Anton. Ini bermakna kami memerlukan kira-kira 1 jam 30 minit untuk menjejak kaki ke puncak Ciremai.

Tanpa membuang masa, kami mengerah lagi sisa-sisa kudrat yang ada untuk menjejak puncak Ciremai. Trek yang dilalui mulai dipenuhi batuan. Dalam kalangan pendaki Indonesia, kawasan seperti ini dinamakan cadas.

Oleh kerana hujan mulai turun ketika kami berehat di Pos 10 maka laluan ke puncak yang curam menjadi amat licin. Sesekali kami terjatuh menyembah bumi. Ini membuatkan kami lebih berhati-hati mengatur langkah.

Setelah berhempas pulas hampir dua jam, akhirnya, kami sampai di puncak Ciremai pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Ini bermakna perjalanan dari Condang Amis ke puncak Ciremai mengambil masa hampir 10 jam.

Ia satu perjalanan yang amat jauh dan begitu memenatkan. Benarlah kata Anton bahawa trek Linggarjati merupakan trek paling sukar ditempuh.

Kami memanjatkan kesyukuran kerana semuanya selamat dan dalam kabus tebal serta suhu yang sejuk sehingga ke tulang, kami bergambar kenangan. Tiada pemandangan menarik yang dapat dilihat lantaran kabus terlalu tebal.

Oleh kerana terlalu sejuk dengan angin yang sesekali bertiup kencang, kami tidak berada lama di puncak. Selepas bergambar, kami terus berjalan turun menuju Condang Amis. Saya dan Lando sampai di pos ini pada pukul 4.30 petang dan yang lain pada pukul 6.45 petang dalam suasana hari yang semakin gelap.

Oleh kerana hari semakin gelap manakala Bib dan Jun pula terlalu lemah untuk berjalan turun ke kaki gunung, kami akhirnya bermalam sehari lagi di Condang Amis.

Hari ketiga: Menyedari hari semakin tinggi, kami secepat kilat berkemas dan meninggalkan Condang Amis pada pukul 8 pagi. Sepatutnya, perjalanan turun hanya mengambil masa kurang dua jam tetapi keadaan Bib dan Jun yang masih letih dan mengalami sakit kaki, menyebabkan perjalanan turun mengambil masa hampir empat jam. Menjelang tengah hari, kami tiba di sebuah vila di kaki gunung. Kami singgah di situ untuk membersihkan diri dan selepas itu, kami menempuh laluan berturap tar menuju ke rumah Opek. Selepas bersalaman dengan keluarga Opek, kami menaiki sebuah van yang disewa khas untuk meneruskan ekspedisi ke Gunung Galunggung yang terletak di Tasikmalaya, Jawa Barat.

Bermalam di bibir kawah


Penduduk desa di kaki Gunung Galunggung mengumpamakan gunung ini sebagai ‘Singa Yang Tidur Lelap’. Kenapa?


ANTON (kiri) bersama pendaki Malaysia di tepi kawah Gunung Galunggung di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia.



“KETIKA meletus pada tahun 1982, saya masih kecil. Tapi saya masih dapat mengingati langit yang gelap dan debu-debu halus memenuhi langit Jakarta,” kata penunjuk arah, Anton kepada kami.

Saya bersama enam rakan pendaki Malaysia ketika itu sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van yang meredah jalan yang rosak teruk dan berlubang besar di hampir seluruh permukaan jalan bertar di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.

Turut bersama kami dalam ekspedisi mendaki Gunung Galunggung ini ialah rakan pendaki dari Indonesia, Bismo Ariodewo, 19.

Gunung berketinggian 2,167 meter dari paras laut itu terletak kira-kira 20 kilometer (km) ke barat daya Tasikmalaya.

Dalam sejarahnya, ia pernah meletus beberapa kali dan terakhir pada 5 April 1982. Letusan terakhir dikategorikan sebagai vulcanian vertical iaitu seperti letusan cendawan bom atom dan mencapai ketinggian 20km ke angkasa.

Diikuti semburan piroclastic (debu halus) yang menghujani kota Bandung, Tasikmalaya, Garut, Cianjur dan kota lainnya dalam radius 100km. Debu tebal selama empat bulan terus menutup langit kota-kota itu sekali gus mendatangkan kesengsaraan yang cukup menyedihkan. Sebanyak 68 penduduk dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian ini.


MENURUNI 620 anak tangga dari puncak Galunggung.

Setelah letusan berlaku, kira-kira 100,000 hektar daerah sekitarnya rata dengan tanah diliputi batu, lahar dan debu. Puncak gunungnya juga telah runtuh dan hanyut dibawa lahar ke kawasan sekitarnya.

Pada saat letusan tersebut, sebuah pesawat Boeing 747 British Airways dan Singapore Airlines yang sedang melintasi kawasan berdekatan Galunggung hampir terhempas apabila enjin pesawat berkenaan terhenti akibat dimasuki debu-debu halus yang tersembur keluar dari kawah gunung ini.

Dalam detik cemas itu, enjin berjaya dihidupkan semula tetapi terpaksa mendarat cemas di lapangan terbang antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

Meneliti sejarah letusan gunung ini, dipercayai pusingan letusan berikutnya hanya akan berlaku dalam tempoh 43 tahun dari tahun 1982. Ini bermakna gunung yang digelar penduduk tempatan sebagai ‘Singa Yang Tidur Lelap’ itu dijangka akan terjaga semula pada tahun 2025.

Gunung untuk bersantai

Oleh kerana Gunung Galunggung sedang tidur lelap maka banyak aktiviti menarik dapat dilakukan di sekitarnya termasuk berkhemah di bibir kawahnya yang cantik dan dilatari cerun gunung yang menghijau. Kawahnya kini menjadi tumpuan pelancong yang sama ada datang untuk menikmati panorama pergunungan yang menakjubkan atau meneroka lantai kawah yang memerlukan sedikit kudrat untuk sampai ke sana.

Sebenarnya, ekspedisi ke gunung ini tidak ada dalam jadual pengembaraan kami di bumi Jawa Barat dari tarikh 5 Februari hingga 12 Februari lalu. Semuanya berlaku secara tidak sengaja. Ketika itu, kami sedang berkhemah di Pos 3 (Condong Manis) iaitu salah satu pos daripada 11 pos yang terdapat di sepanjang laluan ke puncak Gunung Ceremai di Linggajati, Kuningan, Jawa Barat.


TIUPAN angin yang terlalu kencang menyebabkan atap kedai di tepi kawah diterbangkan angin.

“Selepas Ceremai, mahu ke mana bu…,” tanya Ishak, seorang pendaki dari Jakarta yang berehat di Pos 3. Ishak bersama rakannya, Rizki ketika itu berehat di Pos 3 sebelum meneruskan pendakian ke puncak.

Ketika itu, hanya saya dan Kak Leha berada di Pos 3 kerana rakan-rakan yang lain sedang bekerja keras untuk sampai ke puncak Ceremai. Kami berdua tidak mahu meneruskan pendakian ke puncak kerana ‘malas’ meredah hujan.

“Mahu ke Tasikmalaya. Tapi kami tak tahu apa yang menariknya di sana,” jawab saya.

“Boleh ke Galunggung. Tasiknya cantik dan ada bumi perkhemahan,” kata Ishak sambil memberitahu, beliau berasal dari sebuah desa yang terletak di kaki Gunung Galunggung.

Mendengar itu, saya terus teruja untuk berkhemah di kawah gunung berapi itu. Justeru, apabila kesemua rakan-rakan selamat kembali ke Pos 3 selepas menggapai puncak Ceremai, saya kemukakan cadangan ini dan diterima oleh kesemua anggota ekspedisi.

Pada tengah hari 8 Februari, kami memulakan perjalanan ke sana dengan menaiki sebuah van yang disewa khas. Kami membayar RM236.00 untuk perjalanan yang memakan masa kira-kira dua jam.

Lewat petang barulah kami sampai di kota Tasikmalaya yang terletak kira-kira 17km dari kaki Gunung Galunggung. Kami sempat membeli-belah di sebuah pasar raya untuk juadah makan malam. Setelah berpuas hati dengan bekalan yang dibawa, kami meneruskan perjalanan yang penuh berliku.

Rupa-rupanya, pemandu van yang disewa tidak tahu di mana letaknya Gunung Galunggung dan setelah puas meredah seluruh pelosok kota dengan menempuh jalan tar yang rosak teruk, akhirnya kami menemui jalan masuk ke kaki gunung. Itupun, selepas bertanya beberapa kali kepada penduduk tempatan.

‘Cabaran’ naik ojek

Perjalanan ini menempuh beberapa buah desa yang begitu indah kerana dikelilingi sawah padi yang menghijau. Sesekali kami berselisih dengan kereta kuda yang membawa penumpang.

Akhirnya, kami sampai di pintu gerbang yang tertulis perkataan mengalu-alukan kedatangan pelancong.

Setelah membayar tiket masuk berharga kira-kira RM1.50 seorang, kami menaiki ojek (motosikal) dengan bayaran kira-kira RM3.50 seorang. Setiap orang menaiki sebuah ojek dan bermulalah cabaran membonceng ojek dengan menempuh jalan tar yang menanjak menuju ke kawasan parkir. Terdapat sederet kedai yang menjual makanan dan minuman ringan serta buah-buahan, masjid dan tandas awam di kawasan parkir ini.

Banyak pula halnya berlaku ketika kami menaiki ojek. Oleh kerana, kami membawa beg galas yang berat dan besar yang disandang di belakang maka apabila ojek menaiki kawasan tinggi, beg yang berat itu menarik kami ke belakang sehinggakan ada kalanya, kami terasa mahu terjatuh.

Bib pula lebih malang apabila ojek yang dinaikinya kehabisan petrol dan tuan punya ojek itu terpaksa meninggalkannya seorang diri di tepi jalan yang ketika itu sudahpun gelap gelita. Jarun jam menunjukkan hampir pukul 6.30 petang dan sayup-sayup terdengar suara azan Maghrib berkumandang dari desa berhampiran.

Saya pula hampir ‘tercicir’ apabila ojek yang dinaiki terlanggar lubang dan terus mati enjinnya. Latif, lain pula halnya apabila dia yang menjinjing dua beg plasik berisi barangan yang dibeli di pasar raya tadi terhidu bau ‘benda’ terbakar.

Selepas diperiksa, rupa-rupanya, beg plastik yang dijinjing terkena ekzos ojek dan melecur terbakar! Beberapa barang tercicir di jalanan termasuk uncang teh.

Mendaki 620 anak tangga

Kami tiba di kawasan tangga dalam cahaya terang bulan. Saya masih dapat melihat betapa tingginya tangga yang perlu didaki. Sebanyak 620 anak tangga perlu ditempuh yang berjarak hampir 200 meter. Saya menjadi insan pertama yang mendaki anak tangga ini tetapi di pertengahan jalan, Latif dan Kak Kay memotong saya. Dalam kegelapan malam dan bertemankan lampu suluh, saya terasa seperti ada ‘sesuatu’ yang mengikut saya. Ketika itu, saya berjalan sendirian. Saya cepat-cepat mengatur langkah dan akhirnya selamat tiba di bibir kawah pada kira-kira pukul 7.15 malam. Ini bermakna saya mengambil masa 20 minit untuk mendaki kesemua anak tangga ini tanpa berhenti rehat.


TUJUH pendaki Malaysia dan seorang pendaki Indonesia, Bismo Ariodewo (empat dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang di tangga menuju ke puncak.

“Untuk sampai ke tapak perkhemahan, kamu perlu berjalan kaki selama 45 minit mengikut arah kanan kawah dan terus turun ke lantai kawah,” kata pemandu ojek yang membawa saya ketika dalam perjalanan tadi.

Memandangkan hari malam dan tiada seorang pun dalam kalangan kami yang pernah sampai di gunung ini maka kami sepakat tidak mahu turun ke lantai kawah. Sebaliknya, kami memasang khemah di bahagian kiri anak tangga terakhir. Di situ, terdapat deretan gerai yang kesemuanya tidak berbumbung. Memang aneh melihatnya dan membuatkan saya tertanya-tanya, kenapa begitu jadinya.

Waktu malam di tepi kawah Galunggung begitu dingin dengan tiupan angin yang teramat kencang.

Mengecap ketenangan hakiki



Suasana hening pada waktu subuh di Brastagi cukup menggetarkan sukma ditambah pula tanaman yang subur dan hamparan padi menghijau menyejukkan mata memandang.


PEMANDANGAN Danau Toba yang memukau pelancong.



TIADA yang lebih indah apabila pesawat AirAsia AK939 meluncur laju memasuki ruang udara Sumatera Utara, Indonesia sekali gus menandakan kami semakin hampir dengan tempat dituju, Medan.

Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa bunga-bunga keriangan memenuhi ruang hati penulis dan rombongan Nestle, Shah Alam. Tidak sabar rasanya untuk menikmati keindahan dan pengalaman di kota terbesar di daerah Sumatera Utara ini.

Rombongan penulis yang dibawa oleh Nusa Leisure Travel Sdn. Bhd. disambut dengan senyuman mesra pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia yang menjadi salah satu gerbang masuk utama ke bahagian utara Indonesia. Sememangnya pengalaman melancong bersama Nusa Leisure Travel tidak sedikit pun membuatkan anda berasa rugi atau bosan kerana tempat yang dijanjikan menarik dan mempunyai keistimewaan tersendiri.


MAKAM Batu Raja Batak yang sangat menarik untuk dilawati.



Tidak hanya mementingkan masa membeli-belah, mereka turut menyajikan tempat-tempat bersejarah dan menarik untuk dilawati oleh kami.

Pakej paling murah yang ditawarkan oleh Nusa Leisure Travel ini bukan sahaja mampu dibayar tetapi juga memberi kepuasan.

Agenda utama percutian selama empat hari tiga malam tentulah menyaksikan keindahan Danau Toba atau dikenali sebagai tasik lautan.

Tasik seluas mata memandang yang terbentuk hasil letusan gunung berapi dan dikelilingi bukit bukau yang menghijau serta perairan yang membiru turut bertambah unik dengan kehadiran kaum Batak sekali gus tradisinya pasti menjanjikan kelainan dalam diari percutian anda.

Lupakan jarak perjalanan yang agak jauh iaitu 200 kilometer gara-gara kesibukan lalu lintas dan struktur geografinya yang berbukit-bukau kerana keindahan panorama sepanjang jalan cukup memukau mata.

Dengan menaiki bas, perjalanan menuju ke tempat idaman pencinta alam semula jadi ini lebih bertumpu kepada pemandangan pola penduduk dari segi taraf hidup, fahaman dan aktiviti seharian.


RUMAH-RUMAH tradisi kaum Batak yang masih gah untuk dilawati.



Kami menempuh beberapa daerah dan pekan sebelum sampai ke destinasi pilihan seperti Lubuk Pakam, Perbaungan, Sei Rampah, Tebing Tinggi, Pematang Siantar dan Tigadolok sebelum sampai ke Parapat. Ia cukup memberi perspektif baru kepada penulis dalam memahami cara hidup rakyat negara yang mempunyai umat Islam paling ramai di dunia.

Walaupun sebentar, persinggahan di pekan Pematang Siantar cukup menarik perhatian penulis kerana ia merupakan bandar kedua terbesar yang terletak kira-kira 128km ke selatan Medan. Sepanjang perjalanan ke sana, kami dijamu dengan panorama kawasan pertanian seperti pokok getah, pokok kelapa sawit, teh dan tembakau.

Menenggelamkan diri sebentar dengan hasil bumi yang menjadi eksport komoditi utama daerah ini, Permatang Siantar, ibu kota daerah Simalungan di Sumatera Utara ini cukup kaya dengan jualan produk makanan kering seperti biskut dan kerepek berasaskan kekacang.

Sesekali mata terarah ke beberapa lokasi persemadian di kawasan tertentu sekali gus membuatkan penulis faham mengenai populasi di tempat ini yang diwarnai dengan pelbagai agama didahului Kristian diikuti Islam, Hindu dan Buddha.

Keunikan kubur-kubur ini adalah kerana ia mudah sahaja dilihat di halaman atau belakang rumah atau kawasan pertanian.


PENGANGKUTAN utama untuk membawa pelancong ke perkampungan Batak.



“Dah sedia nak ambil gambar?” bisik seorang teman ketika bas yang dinaiki melalui satu kawasan. Dengan sedikit terpinga-pinga, ruang cermin bas itu dijengah dan hati mula berbunga apabila tasik yang membiru mula menampakkan dirinya di balik celahan pepohon kayu hutan yang merimbun.

Tidak dapat dinafikan bahawa saya benar-benar teruja apabila destinasi yang sering bermain di benak iaitu Parapat, terbentang jelas di depan mata.

Gah tasik seluas 1,130 kilometer persegi dengan kedalaman 450 meter serta 35km lebar tidak dapat disembunyikan lagi. Ungkapan mudah, penulis sendiri tidak pasti di mana hujung atau pangkalnya tasik ini. Memang benar, ia selaut mata memandang.

Usai mengabadikan diri dengan keindahan ciptaan Tuhan itu, kami bertolak pulang dengan segala kepuasan yang tidak dapat diungkap. Pastinya, hati cukup berat meninggalkan Danau Toba.

Fajar yang menjengah keesokan hari memberi laluan kepada satu lagi pengalaman berharga buat penulis. Kunjungan ke perkampungan kaum Batak yang terkenal dengan legenda tersendiri pasti tidak akan dilupakan.

“Kalau ikutkan hati, nak saja dibawa pulang ukiran kayu ini,” gurau seorang teman yang teruja dengan keindahan ukiran tangan di setiap sudut rumah kaum istimewa ini.

Melawat Desa Tomok dan Ambarita sebagai hentian seterusnya di Pulau Samosir yang merupakan perkampungan kaum Batak yang masih menyimpan pelbagai khazanah peninggalan nenek moyang termasuk adat dan tradisi tersendiri, ia cukup memberikan gambaran bahawa khazanah itu tidak dapat dijual beli.

Ternyata, kegusaran kunjungan singkat ke Danau Toba mengenai penginapan, makan dan minum tidak perlu difikirkan. Ini kerana anda hanya perlu memilih di mana untuk anda melabuhkan tirai malam sama ada di kawasan bukit atau di tepi-tepi perairan tasik.

Yang pasti, kedua-dua pilihan ini menjanjikan pengalaman menarik serta malam yang menyegarkan tanpa gangguan.

Bagi penggemar fotografi, pengabadian keindahan panorama di Bukit Simarjarunjung pasti memberi kepuasan kepada anda kerana sajian bukit bukau dan tanaman di lereng bukit cukup membuatkan lensa anda tidak henti dipetik.

Nasihat penulis bagi yang ingin berkunjung ke sini, jangan lupa menikmati secawan teh halia dan pisang goreng panas. Cukup lazat.

“Macam di Cameron Highlands,” kata seorang ahli rombongan setibanya di Brastagi. Pemandangan enak pada waktu subuh di Brastagi cukup menggetarkan sukma ditambah pula dengan tanaman yang subur dan hamparan padi menghijau. Melihatnya, seolah-olah menunaikan janji kepada ketenangan jiwa yang hakiki.

Destinasi terakhir penulis ialah Medan.

Perjalanan ke Medan hanya mengambil masa lebih kurang sejam membawa penulis ke pasar buah yang menjual pelbagai jenis buah-buahan segar seperti buah salak madu, pisang kaki dan buah cinta. Malah penulis sempat menikmati jagung manis yang dijual peniaga di situ.

Kemudian, penulis dan rombongan dibawa melawat Istana Maimoon. Istana ini merupakan antara warisan budaya nenek moyang yang masih segar dengan seni reka bentuknya tidak ubah seperti seni bentuk tradisional istana-istana Melayu.

Dilihat dari segi reka bentuknya, Istana Maimoon memiliki nilai tinggi dan mendapat tempat tersendiri dalam sejarah kesenian Islam di Indonesia. Melihat ruang dalam istana tersebut, nyata masih terpelihara segala ukiran malah singgahsana sultannya turut tersergam indah untuk dilihat.

Tidak lengkap rasanya jika tidak membeli-belah di pasar terkenal di Medan iaitu pasar ikan! Jangan tertipu kerana pasar ikan yang dimaksudkan ini adalah tempat menjual pakaian dan perhiasan diri.

Pelbagai jenis fabrik boleh didapati di situ malah, jika anda ingin membeli telekung, sejadah, kain batik dan pelekat untuk diberi kepada rakan-rakan atau ahli keluarga, inilah tempatnya.

Tentang harga, usah risau kerana ia pasti berbaloi dan sekiranya anda pandai tawar-menawar maka sudah tentu harga yang diinginkan boleh diterima. Untuk bakal pengantin, di sini juga anda boleh membeli fabrik yang cantik dan sesuai untuk dipakai pada majis raja sehari.

Pastinya, pengalaman penulis bersama rombongan berkunjung ke Medan menjadi satu peristiwa yang sangat berharga.


SEBAHAGIAN peserta rombongan yang tidak melepaskan peluang meneroka keunikan Istana Maimon.



Jika inginkan percutian yang lebih menarik dan berbaloi, Nusa Leisure Travel pasti menjanjikan kepuasan. Selain lawatan ke Medan, Nusa Leisure Travel turut menawarkan pakej ke Thailand, Indonesia dan Beijing dengan harga mampu bayar.

Sekiranya berminat untuk menyertai rombongan seterusnya dengan layanan lima bintang, hubungi Nazeran Jusoh di talian 012-3829202 atau 019-3829202 atau layari http://www.nusatra.com untuk keterangan lanjut.